BAB 2: Maruah

839 28 1
                                    

Mata terbuka. Bangun dan turun dari katil. Terus melakukan tekan tubi, 30 kali. Kemudian berehat 10 saat dalam keadaan meniarap, sebelum disambung dengan aksi 'burpees' sebanyak 30 kali. Setelah selesai, dia baring dalam keadaan terlentang, rehat 10 saat, kemudian pergerakan seperti mengayuh basikal dilakukan selama 1 minit. Pergerakan ini diikuti dengan 10 saat rehat, sebelum dia melakukan 'pelank' selama seminit. Seterusnya dia bangun, dan melakukan 200 tumbukan, diikuti 200 tendangan, kanan dan kiri, dengan angin menjadi mangsa, sebelum semua itu disambung dengan lompatan tinggi sambil tangannya cuba menyentuh siling, sebanyak 50 kali. Kemudian dia berehat selama seminit, sebelum mengulangi itu semua sebanyak 5 set.

Peluh membasahi tubuh. Dada berombak kencang. Rongga tidak henti-henti menyedut dan melepaskan udara. Dia cuba mengawal pernafasan dan mengekalkan ketenangan. Setelah merasa selesa, dia duduk bersila dan bertafakur. Rasa melengas yang menyelimuti tubuh diabaikan. Dia cuba memberikan tumpuan kepada segala yang berlaku di sekeliling.

Dia dapat mendengar dengkuran jiran, embun yang jatuh menitik ke bumi, telapak kaki orang yang berumur sedang melangkah ke masjid, haluan angin, haiwan-haiwan kecil seperti tikus, lipas, cengkerik yang berada di luar rumahnya dan sebilangan yang berada di rumah-rumah jiran, pernafasan sebilangan anjing yang menjaga beberapa rumah, pergerakan kenderaan milik sebilangan jiran yang keluar awal mahu mencari rezeki juga mereka yang baru sahaja pulang dari kerja malam.

Dia dapat mendengar, dan menggambarkan semuanya, walaupun jarak rumahnya tidak hampir, atau pun perkara-perkara itu tidak dapat dilihat dengan mata kasar atau didengari telinga yang biasa. Hasil latihan yang diperturunkan oleh bapanya.

Latihan seorang Pemburu.

Pemburu tidak terhasil secara semulajadi. Seorang Pemburu mestilah melalui siri latihan yang panjang dan keras, serta melalui satu siri pembedahan untuk mengubah keadaan beberapa organ dalaman. Ini semua untuk mempertingkatkan deria, keutuhan tubuh, kekuatan tulang dan menjadikan seseorang itu sesuai untuk menggunakan minuman herba yang khas untuk mempertingkatkan kelebihan seorang Pemburu yang sudah sedia luar biasa itu. Ada minuman untuk memperkasakan tubuh, ada untuk membuatkan seorang Pemburu boleh memandang lebih jauh, ada yang bertindak mempertingkatkan deria seorang Pemburu beberapa kali ganda, dan pelbagai lagi. Sekiranya manusia yang tidak menjalani pembedahan tadi, minuman-minuman itu akan membunuhnya.

Bagi Pemburu juga, sekiranya minuman-minuman tersebut diambil secara berlebihan, nyawa mereka juga akan terancam.

Oleh kerana proses untuk menjadi seorang Pemburu itu tidak mudah, dikatakan telah banyak nyawa melayang menjalani proses tersebut, dan Pemburu yang ada di dunia ini hanyalah sekitar 50 orang sahaja pada satu-satu masa. Bertebaran di seluruh muka bumi ini untuk melakukan makar yang dikehendaki oleh Kesatuan Pemburu.

Namun tanpa pengetahuan organisasi tersebut, dia juga merupakan salah satu yang mempunyai kelebihan luar biasa itu.

"Bakri,"

Segera pertapaannya ditamatkan. Pintu bilik dibuka oleh pemilik suara. Lampu bilik dihidupkan. Wajah bapanya terzahir. Senyuman dilempar oleh lelaki berumur sekitar 40-an itu. Berambut hitam pendek dan kemas, tubuhnya tidak terlalu sasa tetapi tegap, disokong dengan tongkat.

PemburuWhere stories live. Discover now