BAB 12

1.8K 49 2
                                    

Pagi itu, Ara berpakaian formal untuk ke kelas memandangkan dia ada presentation. Rambut disanggul kemas. Perlahan-lahan, gadis itu mengatur langkah keluar dari bilik. Mata diliarkan memandang sekeliling. Mencari Eiyad. Dia perlu berterima kasih kepada lelaki itu.

Mengucapkan terima kasih kepada Eiyad merupakan sesuatu yang amat jarang Ara lakukan. Oh, bukan jarang. Tapi tak pernah. Cuma ada sekali sahaja gadis itu meringankan mulut untuk mengucapkan terima kasih. Itu pun sebab Eiyad hadiahkan kasut yang sudah lama menjadi idaman Ara.

Namun, mengenangkan apa yang Eiyad telah lakukan kepadanya beberapa hari ini, Ara jadi tidak sedap hati jika dia tidak berterima kasih kepada lelaki itu. Dia rasa terhutang budi pada Eiyad.

"Ara cari apa?" tanya Puan Yasmeen apabila melihat anak daranya tertinjau-tinjau mencari sesuatu.

Ara tersentak. Spontan, kepala ditoleh ke arah Puan Yasmeen yang muncul entah dari mana. Lambat-lambat Ara gelengkan kepala.

"Tak ada apa-apa."

"Ha, baguslah Ara dah turun. Jom breakfast sekali. Hari ni mama Ara yang masak tau," kata Cik Ina yang baru keluar dari ruang dapur. Ceria suara wanita itu.

Mama masak? Macam tak percaya aje.

Pandangan mata Ara dihalakan ke arah Puan Yasmeen semula. Terdetik rasa pelik dalam hati Ara apabila melihat Puan Yasmeen berpakaian kasual. Mamanya tak kerja ke hari ni?

Persoalan yang mengetuk mindanya, didiamkan sahaja. Tidak dilontarkan. Ara memang begitu. Tak suka bertanya apa-apa mengenai Puan Yasmeen. Dia lebih suka buat andaian sendiri. Sebab itulah dia tak tahu yang Puan Yasmeen sudah lama tidak masuk ofis.

Puan Yasmeen dan Cik Ina sudah duduk di meja makan. Ara sahaja yang masih berdiri macam patung.

"Apa yang Ara tunggu lagi? Jomlah... Cik Ina dah terliur nak makan nasi lemak mama Ara ni," tutur Cik Ina.

Ara mula mengatur langkah ke meja makan. Duduk di tempat biasanya.

"Errr... Yad tak makan sekali ke?" tanya Ara.

Sekali lagi Ara berasa pelik. Tambah-tambah lagi bila Cik Ina duduk di tempat yang biasa Eiyad duduk.

"Yad dah pergi kerja," kata Puan Yasmeen. Menjawab soalan Ara.

Ara tersentak.

"Tapi kereta dia ada aje kat luar..."

"Assistant Yad datang ambil dia tadi. Yad ada meeting dekat Taiping. Itu yang dia keluar awal. Lepas balik dari surau, dia terus bersiap-siap nak pergi sana," jelas Cik Ina.

Ara diam. Tidak berkata apa-apa lagi. Minda menerawang teringatkan Eiyad. Fahamlah Ara kenapa Eiyad berjaga malam tadi.

"Nasib baik Zahid yang drive. Boleh juga Yad tidur. Dia tidur satu jam aje semalam," kata Cik Ina lagi.

"Patutlah Meen tengok muka dia tak bermaya aje. Dia buat apa malam tadi? Setahu Meen, kertas kerja yang dia kena bentangkan tak banyak sangat."

Ara menelan liur. Wajah ditundukkan. Hanya dia sahaja yang tahu apa Eiyad buat malam tadi. Rasa bersalah mula terbit dalam hati gadis itu.

Tapi aku tak suruh pun Yad buatkan kerja aku, kata Ara dalam hati. Cuba mengusir rasa bersalah.

Usai bersarapan, Ara membawa diri ke ruang tamu. Jam baru sahaja menunjukkan pukul lapan pagi. Masih terlalu awal dia nak ke kelas. Gadis itu sengaja bersiap awal. Konon nak jumpa Eiyad sebelum Eiyad pergi kerja. Tapi hampa. Eiyad keluar awal pula hari ni.

Skrin iPhone direnung lama. Gadis itu sedang berkira-kira dalam hati sama ada ingin menghantar mesej kepada Eiyad ataupun tidak. Bibirnya digigit-gigit. Lama sungguh Ara nak buat keputusan. Seolah-olah nak buat keputusan antara hidup dengan mati. Padahal nak mesej Eiyad aje.

PELANGI UNTUK ARAWhere stories live. Discover now