BAB 13

1.7K 46 3
                                    

Lorong kecil itu disusuri sekali lagi. Kali ini Ara tidak berseorangan. Ada Huzair yang sudi menemaninya. Kali ini juga, Ara tidak datang dengan tangan kosong. Ada makanan dan baju baru dibawanya. Untuk diberikan kepada Encik Yusof.

Ara ingin memujuk papanya lagi. Memujuk supaya mengikutnya. Huzair pun ada tawarkan untuk menumpangkan Encik Yusof di rumahnya sementara Ara carikan rumah sewa untuk Encik Yusof.

"Kau sure ke papa kau kat sini?" tanya Huzair. Masih mencari Encik Yusof.

Ara menganggukkan kepalanya.

"Tapi dah nak setengah jam kita kat sini. Tak nampak pun papa kau."

"Semalam aku nampak papa aku kat situ," kata Ara sambil menuding jari ke satu arah.

"Dia dah pergi tempat lain kut."

Ara terkesima. Ada kemungkinan juga apa yang Huzair cakap tu. Gadis itu mula berasa gusar. Macam mana kalau papanya sudah pergi tempat lain? Macam mana dia nak cari lelaki itu?

"Kita cari lagi ya, Huzair? Cari sampai dapat."

Nada suara Ara sudah berubah. Kerisauan dalam hati tidak dapat diusir pergi. Gadis itu risau sekiranya dia tak dapat bertemu Encik Yusof lagi.

Huzair mengangguk.

"Jom cari kat situ pula," ajak Huzair dan Ara hanya menurut sahaja.

Huzair kerling Ara. Garis kerisauan jelas terbentuk di dahi gadis itu.

"Jangan risau. Kalau kita tak dapat jumpa papa kau hari ni, aku akan tolong cari kat tempat lain. Aku akan cari papa kau Ara," tutur Huzair, cuba menenangkan hati Ara.

"Huzair..."

Tiba-tiba Ara berhenti melangkah. Matanya terpaku ke satu arah.

Huzair turut berhenti melangkah. Ara dipandang.

"Kenapa?"

"Itu."

Ara menuding jarinya ke satu arah.

"Itu papa aku," kata Ara lagi dengan nada kelegaan. Senyuman terukir di bibir gadis itu.

Huzair mengalihkan pandangan. Memandang ke arah yang ditunjuk oleh Ara. Lelaki itu turut berasa lega.

"Apa yang papa aku tengah menungkan tu, ya?" soal Ara. Masih memerhatikan Encik Yusof yang sedang duduk bersandar di dinding sambil merenung sesuatu.

Ara mula mendekati Encik Yusof dengan langkah yang cukup berhati-hati. Tidak mahu lelaki itu sedar akan kehadirannya. Dia ingin tahu apa yang Encik Yusof sedang renungkan, apa yang membuatkan wajah papanya tampak sedih.

Huzair hanya mengekori Ara dari belakang. Hatinya disapa rasa sedih saat melihat keadaan papa Ara. Kalau Huzair sendiri sudah rasa sedih, apatah lagi Ara. Anak mana yang sanggup tengok keadaan papanya sebegitu?

"Papa masih simpan gambar kita sekeluarga?" tanya Ara riang sewaktu ternampak gambar mereka sekeluarga di tangan Encik Yusof.

Encik Yusof terpempan apabila Ara tiba-tiba muncul di situ. Segera dia sembunyikan gambar di tangannya. Air mata diseka.

"Kau buat apa kat sini?" tanya Encik Yusof dengan nada keras. Seolah-olah tidak suka dengan kehadiran Ara.

Ara ukir senyum. Cuba tidak ambil hati dengan bicara kasar Encik Yusof. Gadis itu duduk mencangkung di hadapan Encik Yusof.

"Jumpa papalah. Papa nak ikut Ara balik tak?"

Encik Yusof tidak memberikan sebarang respons. Wajahnya dikalihkan ke tempat lain. Tidak mahu memandang Ara.

PELANGI UNTUK ARAWhere stories live. Discover now