Bab 1

4.2K 52 2
                                    

"Bila aku kena mula kerja?" Zhafran menyoal rakan kongsinya yang sedang menyusun sesuatu di dalam fail. Dia yang baru sahaja turun dari pesawat terus datang ke pejabat atas permintaan Fitri.

"Esok! Mereka nak cepat memandangkan pengawal yang lama dah berhenti." Fitri menjawab soalan Zhafran.

"Kau tak kesian dekat aku ke, Fitri? Aku baru sahaja selesaikan segala urusan di Qatar, bagi la aku cuti sekejap. Aku pun nak rehat juga macam kau," rungut Zhafran yang masih lagi penat dengan urusan sebelum ini.

"Aku nak buat macam mana, Zhaf? Pelanggan yang nak cepat. Lagipun, kau sendiri yang cakap kau tak nak buat kerja di bahagian pengurusan. Aku dah bagi tawaran pada kau dulu, kau yang tolak. Terpaksalah." Fitri menjongketkan bahunya seakan-akan mengejek.

"Aku bukan tak nak buat, bosanlah duduk di pejabat lama-lama. Kau kan ada nak buat semua tu." Zhafran sedar diri, dia bukan seseorang yang boleh duduk diam di dalam bilik sambil memegang kalkulator dan pen.

"Jadi, kalau kau tak nak mati kebosanan, kau kenalah ikut cakap aku." Sengih Fitri.

"Khaled dengan Geoffrey belum ada klien lagi, kan? Kenapa kau tak nak hantar mereka?" Zhafran sekadar bertanya memandangkan mereka masih ada lagi pengawal lain yang layak.

"Khaled tak boleh sebab permohonan lesen senjata api dia ada masalah sikit. Lagipun, aku dah suarakan hal ni pada Puan Sri Zaharah tapi dia tolak mentah-mentah. Dia tak nak orang lain, dia nak kau juga." Fitri tersengih melihat Zhafran yang sudah tiada pilihan lain lagi.

"Aku hairan la, macam mana dia boleh kenal aku?" Sedikit sebanyak, ketegasan Puan Sri Zaharah yang mahukan perkhidmatannya menjadi tanda tanya dalam benak Zhafran.

"Puan Sri tu cakap, kawan dia dekat Qatar yang cadangkan nama kau pada dia. Maksudnya, majikan kau yang sebelum ni la. Rasanya mereka saling kenal kut."

"So, mana semua maklumat terperinci mengenai Puan Sri kau tu?"

"Ini maklumat mengenai majikan baru kau. Tapi, kau bukan kena jaga Puan Sri Zaharah tu, dia dah ada pengawal dia sendiri. Sekarang ni, kau kena jaga anak dara dia." Fitri meletakkan fail berisi maklumat pelanggan yang telah pun dikepilkan kepada Zhafran.

"Anak dara dia?" Kening Zhafran terangkat.

"Yup. Your very first 'anak dara' to be taken care off." Kening Fitri terangkat. Dia teruja sebenarnya mahu melihat reaksi Zhafran.

"Nipisnya?" Zhafran membelek maklumat yang diberikan. Tidak seperti selalu, maklumat yang diberikan kali ini nipis sahaja. Dia malas mahu ambil pusing dengan ayat terakhir Fitri. Zhafran tahu yang Fitri sebenarnya menunggu masa sahaja mahu menyakatnya cukup-cukup.

"Susah nak cari la maklumat pasal dia. Tak banyak sangat yang ada. Cuma ada dua tiga artikel sahaja yang aku dapat. Itupun semuanya berkaitan dengan projek syarikat parent dia," terang Fitri yang terkilan dengan hasil kerjanya.

Dia yang sememangnya pakar pengumpulan data sedikit kecewa kerana sukar benar mahu mencari maklumat mengenai pelanggan baru yang mahukan khidmat pengawal peribadi daripada OSC Security Service yang ditubuhkan hasil perkongsian di antara Fitri dan Zhafran.

Syarikat ini menyediakan perkhidmatan kawalan keselamatan yang menawarkan khidmat pengawal peribadi terlatih kepada Kerabat Diraja, badan korporat, pejabat kedutaan dan kenamaan tanpa mengira lokasi dan jarak.

Kebanyakan pengawal yang berkhidmat di syarikat ini datang dari pelbagai latar belakang menarik termasuklah dari kalangan anggota keselamatan yang pernah berkhidmat untuk negara. Disiplin tinggi, cekap serta peka dengan keadaan sekeliling merupakan asas utama yang perlu diamalkan oleh pengawal yang bekerja di sini.

KERNA AKU PERLU KAMUWhere stories live. Discover now