Bab 12

1.3K 16 0
                                    

Hana Zahirah hanya tersenyum apabila disapa oleh hampir kesemua pekerja yang ada tatkala dia berjalan keluar dari pejabat abangnya. Dia sengaja mengarahkan Zhafran untuk singgah sebentar di ibu pejabat Regalia Group kerana mahu bertemu abangnya untuk berbincang mengenai beberapa perkara.

"Hana buat apa di sini?" Satu teguran singgah di telinga Hana Zahirah.

Suara Puan Sri Zaharah kedengaran menyapa Hana Zahirah dari belakang. Langkah Hana Zahirah yang terhenti, menyebabkan Zhafran turut sama berhenti. Mereka berdua kini sudah kelihatan seperti kombo mini. Ke mana sahaja bersama, di mana ada Hana Zahirah di situ ada Zhafran seperti biasa.

Hana Zahirah langsung tidak kekok diekori begitu kerana sejak dulu lagi memang dia sentiasa ada pengawal. Pada Hana Zahirah, keadaan mereka berdua pasti tidak canggung kalau Zhafran sedikit peramah dan mesra seperti Encik Yusuf. Mereka berdua pastinya boleh berkawan. Namun, mamanya memang pandai memilih. Mungkin dia sengaja memilih pengawal paling dingin sekali sebagai pengawal baru Hana Zahirah bagi memastikan apa yang terjadi sebelum ini daripada berulang lagi.

"Datang jumpa abang."

"Datang sini tak cakap pun dengan mama. Kalau tak, bolehlah kita keluar minum bertiga. Lama sangat dah kita bertiga tak duduk semeja."

"Bincang pasal kerja, ma. Hana datang tak sampai setengah jam pun. Dah nak balik dah ni." Hana Zahirah memberi jawapan.

"Mama tak balik tau malam ni. Mama kena pergi Kota Kinabalu, esok petang baru balik semula."

"Buat apa di sana?"

"Ada pameran barang kemas berasaskan mutiara Borneo esok. Kawan-kawan mama ajak berjumpa di sana. Malam ni kami ada dinner di sana."

Jawapan Puan Sri Zaharah membuatkan Hana Zahirah tersentak. Iyad Zaim juga turut berada di sana sekarang bagi menghadiri pameran berkenaan. Hana Zahirah cuba mengawal riak wajahnya yang sedikit kaget. Kalau boleh, Hana Zahirah tidak mahu langsung Iyad Zaim dan Puan Sri Zaharah bertembung.

Walaupun hubungannya dengan Iyad Zaim masih lagi dapat disembunyikan, Hana Zahirah tidak mahu merisikokan apa-apa. Dia takut memikirkan apa yang bakal berlaku jika mamanya tahu akan kewujudan hubungan yang terjalin antara mereka.

"Tak apalah, lagipun Hana stay di studio malam ni. Hana balik rumah lewat sikit." Hana Zahirah cuba mengawal kelakuannya. Dia yang tidak senang duduk memikirkan segala kemungkinan memilih untuk memberi alasan biasa iaitu mahu menghabiskan masanya di studio.

Masa yang diberikan mamanya semakin lama semakin singkat. Bagi memastikan semuanya dalam kawalan, semua yang bekerja di studio perlu bekerja lebih masa hampir setiap hari.

"No, no, no. Malam ni tak boleh tau. Hana kena jadi wakil mama." Puan Sri Zaharah sudah pun punya rancangan lain buat anaknya.

"Pergi mana?" Mimik muka Hana Zahirah berubah 200 peratus. Dia sepertinya sudah dapat mengagak yang jadualnya pada hari ini akan terganggu.

"Post wedding party untuk Patrick Teo dan Michelle Yee malam ni dekat Hotel Emperor. Hana Zahirah kena pergi." Sengaja Puan Sri Zaharah lewat memberikan berita mengenai majlis ini pada Hana Zahirah kerana dia tahu yang Hana Zahirah pastinya memberikan banyak alasan.

"Ma, Hana ada jadual sendiri tau. Two month yang mama beri tinggal lagi beberapa minggu. Hana nak kena siapkan banyak benda. Lagipun ramai sangat orang, Hana tak nak."

"Kenduri kahwin la, Hana. Takkanlah mereka nak jemput enam tujuh orang tetamu sahaja? Bagi alasan yang masuk akal sikit boleh tak?" Puan Sri Zaharah menghela nafas panjang.

"Hana ada banyak kerja nak buat. Itulah alasan yang paling masuk akal sekali Hana boleh bagi pada mama," jawab Hana Zahirah.

"Maaf ya, alasan itu mama tak boleh terima. Mama dah susun semuanya elok-elok. Mama dah mintak tolong abang pergi ke majlis perkahwinan mereka di Birmingham dua minggu lepas, tapi abang tak boleh pergi untuk post party malam ini. So, Hana cuma kena hadir dalam post party mereka aje. Tak lama pun, dalam pukul sepuluh malam majlis selesai." Puan Sri Zaharah cuba meyakinkan anaknya.

"Itu lagi mengarut. Post party?"

"Sekejap sahaja, Hana tak payah stay sampai majlis selesai pun. Hana pergi sejam sahaja dah cukup. Just tunjuk muka. Itu sahaja." Puan Sri Zaharah cuba membuat tawaran lagi.

"Kalau tak pergi tak boleh ke? Party sahaja, kan?" Hana Zahirah masih lagi berat hati mahu menerima cadangan mamanya.

"Hana tahu kan siapa Patrick Teo?"

"Mestilah orang kaya. Sebab tu mama beria-ia nak Hana pergi." Hana Zahirah sekadar menyindir. Dia tahu yang keputusan sudah pun dibuat oleh mamanya. Mahu tidak mahu Hana Zahirah perlu berada di Hotel Emperor juga malam ni.

"Dia adalah anak Tan Sri Teo Teck Lee serta Pengarah Strategic American Airport Inc. Regalia Group sedang merancang untuk beli dua lot kedai di Lapangan Terbang Antarabangsa John Frank Kennedy. We need him for that and I need you for now."

"Hana dah agak." Hana Zahirah paling jelas dengan sikap mamanya. Mana mungkin dia didesak untuk satu majlis post wedding yang tak penting itu tanpa sebarang alasan.

"Hana, tolonglah. Penat la mama kalau macam ni. Abang tak cakap apa pun. Mama cuma kena beritahu dia tempat sahaja. Dengan Hana ni susah betul la mama nak deal." Puan Sri Zaharah merungut.

"Abang lain, Hana lain," jawab Hana Zahirah dengan wajah cemberut. Jadualnya yang padat bertambah padat.

"Baiklah, mama faham. Mama faham, Hana sibuk. Mama bagi extra tiga minggu pada Regalia Studio. Hana hadir post wedding party mereka dan mama bagi tiga minggu extra." Puan Sri Zaharah menawarkan ganjaran. Dia tahu yang sikap Hana Zahirah yang sering mendahulukan kerja hanya boleh diumpan dengan cara ini sahaja.

"Hanya untuk Hana dan teammate Hana. Tiga minggu extra." Puan Sri Zaharah tahu di mana kelemahan Hana Zahirah.

"Boleh ke tidak?" Reaksi beku Hana Zahirah membuatkan Puan Sri Zaharah meminta kepastian.

"Ya la. Hana pergi ajalah."

"Bagus! Baju Hana semua mama dah suruh Danny ambil dekat butik macam biasa. Bersiap di rumah la senang."

"Hana nak baju untuk dia sekali," pinta Hana Zahirah sambil dia memandang Zhafran di belakangnya.

"Baju apa?" Puan Sri Zaharah sedikit tercengang begitu juga dengan Zhafran.

"Tuxedo or whatever it is. Hana tak nak duduk dalam majlis seorang diri. Hana nak dia masuk dengan Hana sebagai tetamu juga," putus Hana Zahirah.

Hana Zahirah tidak mahu membawa 'pengawal' malam ini kerana jika dia membawa pengawal, Zhafran akan hanya diizinkan masuk sehingga ke pintu dewan sahaja. Selebihnya nanti, Hana Zahirah perlu menyendiri di sana.

"Hana?" Puan Sri Zaharah kurang bersetuju.

"Mama pilihlah. Kalau mama nak Hana jejak kaki ke sana, mama sediakan sut untuk dia juga. Kalau mama tak setuju, Hana tak nak pergi." Hana Zahirah memberi kata dua.

"Baiklah. Mama suruh Danny aturkan semua. Hana kena ada di sana tak kiralah apa pun yang terjadi." Puan Sri Zaharah mengalah dengan permintaan kecil anaknya kali ini.

"Ya, Hana akan pergi kalau dia masuk sekali."

"Baguslah. Hana hubungi Danny nanti untuk bincang pasal pakaian Hana di majlis itu nanti. Tahu tak?"

"Hana balik studio dululah, ma. Mama pilih ajalah baju mana pun. Hana saruk semua." Hana Zahirah malas mahu ambil pusing.

Kalau dia pilih sendiri pun belum tentu lagi mengikut tema dan sebagainya. Dia enggan membuang masa dengan benda yang tidak sepatutnya. Biarlah mamanya sahaja yang berbuat demikian.

"Mama percayakan Hana. Pastikan Hana sampai ke sana malam ni tau. Jangan tak pergi pula." Puan Sri Zaharah sempat menitipkan pesan. Seperti biasa, dia menang lagi dengan Hana Zahirah.

KERNA AKU PERLU KAMUWhere stories live. Discover now