Bab 8

1.7K 22 0
                                    

BMW X6 M milik Hana Zahirah yang sedang dipandu Zhafran kelihatan memperlahankan kelajuan bagi melepasi pondok keselamatan. Pukul sebelas setengah malam barulah mereka berdua sampai ke rumah agam mewah tiga tingkat yang terletak di atas tanah persendirian seluas lima hektar di kawasan Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Rumah agam seluas sepuluh ribu kaki persegi ini telah menjadi lambang kemegahan dan kekayaan keluarga Tan Sri Kamarul Bahrin iaitu pengasas Regalia Group, syarikat perlombongan batu permata serta pengedar produk barang kemas dan beberapa produk lain.

Rumah agam ini dibina serba lengkap, mewah dan sempurna. Sesiapa sahaja yang masuk akan disambut oleh pintu gerbang berwarna emas setinggi tujuh meter, pagar konkrit setinggi tiga meter yang dikawal oleh pengawal bersenjata di setiap penjuru dan deretan lampu neon bercorak bunga tulip memancarkan cahaya sepanjang jalan.

Tasik buatan manusia, rumah tamu dua tingkat, rumah para pekerja, rumah hijau untuk tanaman hiasan eksotik milik Puan Sri Zaharah pula terletak di bahagian utara. Di bahagian selatan terdapat pula kandang kuda yang menempatkan lima ekor kuda dari baka Friesian, Thoroughbred dan American Quarter Horse yang dijaga rapi oleh doktor veterinar.

Kawasan hadapan pula dilengkapi dengan air pancuran tinggi yang dihias lampu berwarna-warni. Selain itu, 'istana' ini turut dilengkapi dengan kolam renang yang berada di atas bumbung, garaj yang memuatkan lapan buah kereta mewah termasuklah Rolls-Royce Phantom, Bentley Mulsanne, Bentley Bentayga, Jaguar XJ dan Hummer milik Faiz Izzudin.

Sesiapa pun yang memandang, tidak perlu melihat keadaan rumah, pintu gerbangnya sahaja sudah cukup untuk menggambarkan betapa gahnya pemilik rumah agam yang dibina oleh Al Arsh Developer iaitu sebuah syarikat perumahan yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu.

Rumah ini turut mendapat sentuhan dekorasi ala Inggeris klasik daripada Syarikat Casa Del Mar dari United Kingdom. Lampu chandelier mewah bertatahkan batu permata yang dilombong oleh Regalia Mining, tembikar antik berusia ratusan tahun, lukisan-lukisan karya pelukis terkenal termasuklah Youseff Hussaini, Florentine Guzman dan Deborah Olsen terlihat sedia menjamu mata yang memandang. Beberapa buah arca kaca karya Ursula Agnihotri turut kelihatan megah berdiri di sudut rumah. Setiap satu inci ruang rumah ini dilengkapi dengan taburan kemewahan.

Zhafran yang baru sahaja mematikan enjin kereta mengalihkan pandangannya ke belakang. Wajah Hana Zahirah yang sedang nyenyak tidur kelihatan langsung tidak terkutik dek terlalu penat setelah sehari suntuk bekerja. Setelah hampir sepuluh minit berlalu, Zhafran mengambil keputusan untuk keluar dan mengejutkan Hana Zahirah.

"Saya boleh angkat sendiri," ujar Hana Zahirah tiba-tiba. Hana Zahirah terjaga dari tidurnya apabila Zhafran membuka pintu kereta. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia boleh tertidur dengan begitu mudah dan nyenyak sekali di dalam kereta.

Hana Zahirah menghabiskan masa hampir dua jam memilih buku-buku berkaitan barang kemas yang diperlukannya untuk mencari inspirasi sambil ditemani oleh Zhafran. Buku-buku ini amat diperlukan bagi membantu mencetuskan inspirasi baharu untuk projeknya yang tergendala.

"Saya angkatkan," jawab Zhafran ringkas dan padat. Sukar sebenarnya bertugas sebagai pengawal Hana Zahirah memandangkan semua benda mahu dilakukan sendiri oleh gadis ini.

Kotak yang sudah pun dipegang oleh Hana Zahirah bertukar tangan dan dibawa masuk ke dalam rumah. Hana Zahirah yang tidak sempat menghalang Zhafran daripada mengangkat kotak itu hanya mampu memandang dan mengekori langkah Zhafran dari belakang.

"Nak letak di mana?" Zhafran sekadar bertanya.

"Dalam bilik saya, di atas. Bak sini kotak tu pada saya, saya angkat sendiri." Hana Zahirah seakan enggan membiarkan Zhafran masuk ke biliknya.

"Hana dah balik?" sapa satu suara dari ruang makan.

Suara Puan Sri Zaharah bergema di ruang tamu tiba-tiba membantutkan niat Hana Zahirah untuk membawa sendiri buku-buku yang dibawanya tadi. Hana Zahirah tercengang mendengar teguran mamanya. Sebolehnya dia tidak mahu bertemu muka dengan mamanya hari ini mengenangkan apa yang terjadi pagi tadi.

KERNA AKU PERLU KAMUWhere stories live. Discover now