Adik abang dah pergi cari buluh sendiri.
Buntang mata Syed Haidar baca pesanan WhatApps yang dikirimkan adik iparnya. Biar betul adiknya senekad ini. Takkan nak masuk hutan dengan perut boyot macam tu. Gara-gara nak lemang yang dibakar sendiri, Suhaila sudah hilang waras.
Syed Haidar cuba tumpukan perhatian kepada pemanduan. Namun hatinya resah memikirkan Suhaila. Dia menekan ikon kunci. Cuba membalas mesej Khalis sambil memandu. Sekejap mata ke arah handphone dan sekejap menjeling ke depan. Tiba-tiba dia perasan tubuh seseorang di hadapan keretanya.
Sreet!!! Syed Haidar hampir tersembam ke arah stereng. Telefon di tangan tercampak entah ke mana. Dia perasan tadi ada orang di hadapan keretanya, sekarang sudah tiada. Orang itu dah kena langgar ke. Syed Haidar genggam stereng erat. Dia sudah menjadi pembunuh. Peluh merecik dari dahinya.
Untuk beberapa ketika dia menunggu di dalam kereta. Kalau betul dia dah langgar orang baik dia duduk diam-diam dalam kereta. Tak fasal-fasal nanti dia kena belasah dengan orang ramai. Syed Haidar pandang kiri kanan. Kenapa tak ada sesiapa pun? Orang berjalan selamba je. Macam tak ada apa-apa berlaku.
Tok!Tok!Tok! pintu cermin kereta diketuk berkali-kali. Syed Haidar menoleh ke kanan. Seorang perempuan sedang mengetuk cermin keretanya sekuat hati. Syed Haidar buat tak tahu. Kalau dia keluar habislah dia.
Tok!Tok!Tok! Kali ini ketukan lebih kuat. Dan perempuan tu menunjukkan penumbuk ke arah dia. Penumbuk comel lote pun nak tunjuk ke. Bukan dia takut pun. Tapi kalau dia takut kenapa tak nak keluar dari kereta. Pasti perempuan ni cap dia pengecut. Syed Haidar buka tali pinggang keledar. Pintu kereta di tolak perlahan.
"Kau bawak kereta pakai mata atau pakai lutut!" Tanpa sebarang salam perempuan itu terus menarik kolar baju kemeja Syed Haidar.
"Pa..pa..pakai mata." Jawab Syed Haidar gagap. Terkejut dengan tindakan perempuan tu yang ala-ala gangster. Tak padan dengan fizikalnya yang kecil molek. Memang sesuai kalau dia panggil Cik Mafia.
"Mata tu letak kat lutut ke sampai tak nampak manusia sedang melintas. Aku ni manusia tau bukan ayam sampai kau tak nampak!" Mata dibuntangkan tanda dia sedang marah. Memang dia sedang marah sekarang. Dia yang agak rendah menarik kolar baju Syed Haidar lebih keras hingga Syed Haidar terpaksa menunduk.
Syed Haidar tak perasan marah Cik Mafia. Matanya sibuk menjelajah segenap inci wajah Cik Mafia. Tipikal gadis Melayu, tak terlalu gelap dan tak terlalu cerah. Kening cantik terbentuk. Pipi mulus tanpa sebarang cela. Gigi putih bersih tersusun cantik. Mata Cik Mafia berwarna hitam pekat.
"Lutut aku dah luka tau tak. Jeans kesayangan aku pun dah koyak. Ni semua kau punya fasal!"
Syed Haidar kembali ke dunia nyata. Aduhai kenapalah gadis secantik ini ganas sangat. Tak reti adab sopan dan budi bahasa langsung. Memang sah tak boleh masuk senarai calon Puan Haidar.
"Maaf cik..." Syed Haidar hanya mampu meminta maaf.
"Maaf... maaf. Kau ingat dengan maaf kau lutut aku ni boleh sembuh. Luka kat tapak tangan ku ni boleh baik. Boleh jalan dengan maaf kau... telan je!"
Suara ibarat halilintar Cik Mafia membuatkan Syed Haidar kecut. Malang sungguh siapa jadi suami Cik Mafia. Memang tinggal tulang je nanti. Dah lah lehernya dah sakit ni. Nak tolak Cik Mafia nanti dia pulak nampak kejam.
"Habis tu saya nak buat apa?" soalan itu yang muncul dari Syed Haidar. Saat-saat begini otaknya jadi beku. Tak boleh fikir apa yang patut dia buat. Semua ni sebab Cik Mafia. Kena sergah je terus hilang kebijaksanaan dia.
"Kau dah langgar aku.. tentulah kau kena hantar aku pergi klinik... Bijak. Kenapalah bengap sangat. Harap muka hensem otak kosong!"
"Ok... saya bawak pergi klinik. Tapi tolong lepas dulu."
Syed Haidar meraba-raba lehernya. Mujur tak cedera. Setiap inci tubuhnya adalah aset yang mampu mendatangkan duit. Sebarang kecederaan akan membuatkan dia rugi. Sebagai model perkakas dapur jenama DAPUR dia harus menjaga diri dan penampilannya.
"Aduh..."
Syed Haidar terkejut bila tiba-tiba Cik Mafia terduduk di hadapannya. Takkan cedera teruk kot. Syed Haidar bertinggung di sebelah Cik Mafia. Cik Mafia sedang memegang lututnya yang berdarah. Syed Haidar pandang lagi dekat. Nampak kulit merah jambu. Agak teruk jugak luka Cik Mafia.
"Apa pandang-pandang nak kena tumbuk ke!"
Syed Haidar alih pandangan ke arah lain.
"Papah aku..."
"Hah..." Syed Haidar angkat kening. Betul ke apa yang dia dengar.
"Papah aku."
"Kenapa saya mesti papah awak. Tadi elok je jalan dari depan semata-mata nak ketuk cermin. Siap tunjuk penumbuk bagai." Syed Haidar menolak permintaan Cik Mafia. Kalau dia turut nanti ada pulak yang kena tuduh ambik kesempatan. Lagipun haram sentuh anak dara orang. Dahlah Cik Mafia pakai tshirt lengan pendek dengan jeans je.
"Tadi aku tengah marah... tak ingat sakit. Sekarang aku sakit sangat sampai susah nak jalan. Kau jangan sampai aku hilang sabar. Nanti kepala kau kat bawah kereta kang. Dah langgar orang tu cubalah bertanggungjawab sikit. Kau yang salah tau bawak kereta sambil guna telefon."
Syed Haidar mendengus. Kalau tak dilayan permintaan Cik Mafia memang dia tak boleh nak ke mana-mana. Susah sangat nak papah dia terus dukung Cik Mafia. Alang-alang tak boleh berjalan baik dia papah.
"Eeh... kenapa dukung aku ni."
"Awak tu katik... payah pulak saya nak papah nanti. Diam-diam je..."
YOU ARE READING
Tukang Masak Cik Mafia (RAW VERSION)
RomanceHidup Syed Haidar huru hara selepas kemunculan seorang gadis misteri bernama Orked.