Dia tahu matanya berkelip. Matanya yang masih terbuka, membuktikan dia terjaga. Dia tahu perkara itu namun kegelapan yang menyelubungi dirinya sangat menakutkan. Bagai mulut raksasa yang sedang menanti masa untuk menelan mangsa.
Sunyi.
Telinganya masih elok namun sedikit bunyi pun tidak dapat didengari olehnya. Pendengarannya bagai disekat. Dalam kegelapan yang nyata, tanpa sebarang bunyi membuatkan dia hampir gila.
Mulutnya disentuh dengan jari-jemari. Masih ada disitu. Namun sedikit pun tidak dapat berbunyi. Kotak suara bagai hilang dari tubuhnya. Walau macam mana dia cuba untuk bercakap, tiada sebarang kata yang mampu keluar.
Sunyi.
Saat itu, bagai mendengar rayuannya ada cahaya-cahaya kecil yang menerangi kegelapan. Terlalu kecil, bagai debu berterbangan. Cahaya tadi jatuh dari atas seperti pasir dan hilang apabila bertemu dengan lantai tanah.
Barulah dia dapat melihat keadaan sekeliling. Rumput-rumput hijau menari-nari bersama dengan melodi indah dari deruan angin. Langit gelap nampak begitu mengasyikkan dengan jutaan bintang-bintang yang bertaburan bagai manik.
Angin yang bertiup malam itu membawa bersama satu bau wangian. Kelopak bunga berterbangan bersama dengan angin. Dia memerhati arah dari mana datangnya bunga-bungaan tadi.
Dengan langkah kakinya, dia terhenti di depan pokok yang tidak tinggi namun tidak juga rendah. Sedang-sedang yang masih lagi mampu dipanjat oleh anak kecil. Debu-debu bunga dari pokok tadi berterbangan lagi apabila ditiup angin.
Dia menahan dengan tangan dan kemudian melihat tapak tangannya yang bertukar keemasan disebabkan oleh debu tadi.
"Jadi.. cahaya yang dating tadi adalah dari pokok ni." ujarnya dan saat itu dia sendiri terkejut.
Dia mampu bercakap.
Ada suara yang keluar dari mulutnya.
Dia melihat ke arah pokok tadi. Bunga-bunga yang indah berwarna emas, batang kayu yang berwarna emas malah daunnya juga berwarna emas. Setiap yang asalnya dari pokok itu mampu mengeluarkan cahaya keemasan.
"Golden Sand." satu suara memberitahu.
Dia menoleh dan seorang anak kecil tersenyum ke arahnya.
"Golden Sand?" soalnya kepada anak kecil itu.
"Pokok yang menyerap kegelapan untuk bercahaya. Disebabkan terlalu banyak kegelapan yang diserap, pokok ni dah bertukar menjadi warna emas. Walau banyak mana kegelapan diserap sekalipun, ia masih berlawan untuk mengeluarkan cahaya dan menerangi yang lain." cerita anak kecil itu.
Anak kecil itu berlari ke arah pokok tadi lalu berhenti di hadapan dahan yang paling besar. Dia kemudiannya mengambil setangkai ranting kayu yang masih berbunga dari dahan tadi.
"Nama kau?" tanya anak kecil tadi.
Nama? Apa benda tu?
"Kau tak ada nama?" anak kecil itu menyoal lagi.
Dia menggeleng.
"Dari mana kau datang?" tanpa bosan, anak kecil itu bertanya. Dia bersandar pada dahan pokok tadi.
Sekali lagi dia menggeleng. Dari mana asalnya? Dia tidak tahu. Sedar saja dia berada dalam kegelapan. Bila dia mampu melihat, dia berada disitu.
"Mmm.. mulai hari ni nama kau Hann Li. Fu Hann Li. Fu dari nama aku. Jom ikut aku balik, aku akan jaga kau." anak kecil itu tersenyum.
"Jaga aku? Anak kecil macam kau, jaga aku?" soalnya hairan.
"Hahh.. kau mungkin nampak aku sebagai anak kecil, tapi esok mungkin sebagai orang tua. Lusa mungkin anak muda atau mungkin sebagai gadis sunti." ujar anak kecil itu lagi.
YOU ARE READING
Love like Flowers [Revised Ver]
Romance#BOOK 1 (DUNIA MANUSIA) siri tiga alam dunia Xynn Ri cuma mahu jadi kuat. Dia berlawan dan mencabar sesiapa sahaja yang kuat. Impiannya cuma satu, mahu menjadi pahlawan terkuat dalam tiga alam dunia. Tapi.. Xynn Ri adalah perempuan. Masalah betul! ...