Rumah ini diselaputi dakwat rindu yang legam likat melekit, tepacat dan melekat disekeliling dindingnya. Bagai kesan kunyit di baju basuhan sabun tidak dapat menanggalkannya. Tidak, dia tidak mampu melupakan insan yang paling dia sayangi.Dia masih ingat waktu semua orang melangkah pergi daripada kubur ibunya. Tercatat di batu nisan yang dingin itu, 'Siti Rosiah Binti Hamid'. Bagai memahami kesedihan yang ditanggung, hujan meludahkan air jernihnya ke atas dia.
Bagus. Fikirnya. Tiada siapa akan sedar dia sedang menangis.
Kini dia pulang, tapi tiada pelukan hangat yang menyambut dia. Namun pekikan pergaduhan.
"Harta tu patutnya ke aku! Aku yang jaga mak bertahun-tahun ni!"
"Ahh! Aku anak sulung, duit tu aku punya!"
Dia marah. Dia tak mahu harta itu, dia cuma nak jaga rumah ni. Kenapa mereka tidak faham apa yang dia mahukan?
Tak! Kalau rumah ini bukan miliknya, ia tidak boleh menjadi milik sesiapa lagi. Dakwat rindu kini berbau minyak tanah. Termasuklah dia.
Mancis menyala menyuluh rumah ini yang dia saja biar lampu tertutup. Kalau persembahan bunga api perlulah pada waktu gelap. Baru meriah.
Mancis itu dia lepaskan, berpusing-pusing ia menyentuh lantai.
Kini rumah ini bukan milik sesiapa. Dia punya.
Dia punya.
Dia punya.Ibu, banggakah ibu kat adik? Fikirnya.
Sekarang harta dan barangan ibunya tidak akan disentuh tangan-tangan keji mereka. Api yang menjilat dirinya terasa bagai menyiat kulitnya. Bunyi desisan kedengaran.
Satu letupan kuat menghentam dia ke dinding. Telinganya berdengung. Bahang panas kini mengelilinginya. Mengurung dia untuk merasa peritnya. Dia biarkan. Cara ini dia boleh melihat kakak dan abangnya meraung kesakitan.
Bingit. Seperti bingit mereka berebut duit pencen mak.
Usai dia puas melihat kakaknya menjerit apabila besi panas terhimpit dengannya, dia menutup mata. Kini dia mahu mendengar pula. Laungan bagai muzik di telinganya.
Bahang terakhir dia rasa mengingatkannya pada ibu. Pelukannya.
Siapa sangka, pada waktu akhirnya, ibu masih mahu mendakapnya.
YOU ARE READING
pyromaniac
Mystery / Thriller"Kampung ni dah teruk sangat. Rumah arwah Ros dah terbakar, kandang kambing Hasyim tu, hangus!" "Apa-apa tindakan yang nak dibuat, buat dengan segera! Aku taknak anak aku mati katak, rentung dalam sekolah." Kampung Durjana Lampau. Katanya siapa yang...