Pagi itu, selepas langsung tidak boleh tidur, Seo duduk memikirkan kehidupannya yang sungguh 'tragis' ini. Sambil menunggu cerek untuk berbunyi tanda air sudah masak, dia membelek-belek laman instagramnya. Tiada apa yang menarik, cuma penuh dengan manusia-manusia yang mempunyai keyakinan diri yang lebih daripada cukup.
Cerek sudah menjerit nyaring, Seo bangkit dan pergi untuk membuat kopi. Mujur masih ada serbuk kopi yang tinggal, kalau otak Seo yang berpinar-pinar ini masih tidak dapat dos kafeinnya mesti migrain teruk akan mendatang.
Seo adalah salah satu orang isitimewa yang tidak boleh tidak tidur. Otaknya akan lupa bagaimana hendak berfungsi jika tiada rehat yang secukupnya. Mungkin itu ciri orang malas. Atau dia sebenarnya seorang genius tanpa dia sedari? Siapa kesah?
Sambil dia menghirup air hitam yang cukup pahit cukup manis itu, dia merancang apa yang perlu dicarinya pada pagi itu.
Seorang arsonis telah membakar rumah ibunya sendiri, kemudian lari memasuki hutan. Semestinya dia masih berada di dalam hutan itu. Kalau nak ke bandar, cuma boleh guna jalan raya, dan rumah Mak Rus waktu itu memang tiada kenderaan. Kalau ada pun mesti sudah diambil polis untuk dijadikan bukti. Satu lagi jalan keluar yang boleh dipakai ialah pergi ke kampung seberang. Tapi, kampung seberang dipisahkan sungai besar dan deras. Cara-cara ingin menyeberangi sungai sama ada dia menggunakan bot sendiri atau pun menumpang bot berenjin Wak Kempis. Pelbagai lagi probabiliti yang melayang di kepala Seo. Satu yang paling besar ialah dia menginap di hutan itu tanpa niat untuk melarikan diri.
Mungkin juga.
Rancangan sudah tersemat di dalam mindanya. Dia akan memeriksa hutan di rumah Mak Rus. Dengan keadaan hutan itu, memang tindakan yang bijak untuk tidak merayau lebih dalam. Dia akan cari apa-apa kesan yang ditinggalkan oleh arsonis itu. Dalam mindanya dia bersangka semuanya akan baik-baik saja. Kelakar bagaimana manusia boleh seyakin itu.
~•~
Jam pendek tegak ke kiri. Matahari di pagi-pagi seperti ini sungguh nyaman. Seo dan Lolita sudah sedia berdiri berdekatan halaman rumah Mak Rus. Seo mengerling lagi ke arah jam. Masa memang sering bergerak lambat apabila menunggu seseorang. Dan seseorang itu ialah Siti yang tiba-tiba mahu turut serta mengekori mereka mencari arsonis ini.
Aneh minah ni. Fikir Seo.
Siti kini muncul dengan baju hijau bercorakkan flaura dan legging yang jelas sekali sangat longgar untuknya. "Okey let's go." Seo hanya mengangguk sebagai balasan.
Mereka berjalan beriringan memasuki hutan itu. Kalau orang kampung yang melihat mereka tanpa ada apa-apa konteks pasti akan menfitnah Seo melakukan hubungan terlarang dengan Siti dan Lolita. Orang kampung memang selalu begitu.
Hutan pinggir Kampung Durjana, secara naturalnya, dingin dan dipenuhi laungan serangga. Nyamuk berkaki belang-belang berlegar-legar. Pokok-pokoknya bagai bernyawa dan merenung pengunjung yang memasukinya, bagai menghalau. Atau melindungi? Siapa kesah?
"So, apa plannya?" Siti menyuarakan soalan di benaknya. Seo menepuk dahi, bukan sebab nyamuk tapi sebab terlupa hendak memberitahu perancangannya.
"Kita ikut denai ni, straight sampai boleh dengar bunyi sungai. Aku syak arsonis tu masih ada dalam hutan. Kita cari apa-apa jejak manusia kita boleh jumpa," Seo berhenti sementara bercakap untuk mengibas nyamuk yang menari di tepi telinganya. "apa-apa je, bekas makanan, kesan kayu api atau pun...kau tahu, najis."
"First, ew and second, kau nak panggil dia arsonis je ke? Kenapa tak bagi nama yang lebih cool, macam...Jason!" Lolita mengangkat jarinya, mengira point ayatnya. "Jason dalam Friday the 13th pun kan ada masalah mental berkaitan mak dia jugakkan? Sesuai sangat lah tu."
YOU ARE READING
pyromaniac
Mystery / Thriller"Kampung ni dah teruk sangat. Rumah arwah Ros dah terbakar, kandang kambing Hasyim tu, hangus!" "Apa-apa tindakan yang nak dibuat, buat dengan segera! Aku taknak anak aku mati katak, rentung dalam sekolah." Kampung Durjana Lampau. Katanya siapa yang...