Seo berjalan di tengah hutan. Melaung nama Kurong, namun orang yang dicarinya kekal tidak menyahut. Seo tidak pernah berharap Kurong untuk menyahut. Lagipun budak itu bisu, baginya.
Nyamuk kian menggila, menaruh harapan untuk menghisap darah lazat Seo. Bukan apa yang dia harapkan. Apa yang Seo mahukan ialah duduk bersantai sambil mengira duit yang telag diterimanya. Lansung tidak terlintas di kepalanya tentang tugas yang dia perlu lakukan. Mencari orang gila yang suka membakar banggunan dan orang. Mungkin, baginya, api bukannya satu ancaman besar. Apa yang penting, dia akhirnya tidak perlu meringkuk bagai seorang tawanan yang tidak diberi makan.
Dengan bayangan sofa empuk di apartment sewanya itu, dia nekad untuk mencari Kurong secepat mungkin. Langkah demi langkah, laungan demi laungan, nekadnya makin pudar. Bagai teh ais yang telah cair aisnya.
Nasibnya jelas berubah apabila melalui semak yang membuat badan menjadi gatal. Disitu berdirinya Kurong, ekspresinya bagai orang baru putus cinta.
"Kurong, meh balik! Mak kau cari nuh. Dah maghrib, kau tak takut hantu ke?" Kurong berpusing memandang Seo tepat ke matanya. Bulu romanya melonjak naik, ada sesuatu dengan pandangan Kurong itu.
Aku kacau dia melepas ke?
Kurong berjalan melepasi Seo. Bergerak ke arah di mana Seo datang tadi, ke luar hutan.
~•~
Azan dari masjid menandakan sudah masuknya waktu isyak. Dah berapa lama Seo mencuba nasib, mengetuk-ngetuk pintu rumah Mak Syit. Orang yang ditunggunya masih belum tiba. Sabar di dalam dadanya kian menghilang, membiarkan api amarah membakar dadanya. Dan juga seperti setiap manusia, dia melakukan perkara bodoh bila kehilangan sabar.
"Kurong, Kurong duduk sini ya? Duduk diam-diam. Tunggu sampai mak buka pintu. Kurong jangan pergi mana-mana tau. Kat sana ada hantu. Kat sini takde. Ok, bye Kurong." kata Seo penuh dengan gula. Seo berlangkah pergi, cuma sekali menoleh balik, takut dia tertinggal apa-apa.
Dalam perjalanan pulang, lamunan demi lamunan tentang duit di benak. Seo menari-nari, sungguh gembira. Lega. Dia akhirnya mampu hidup senang, bukan, mewah!
Bagi seorang dewasa 20-an ini, duit adalah segalanya. Makan, minum, bil itu, bil ini dan dari a ke z semuanya duit. Dalam kampung di ambang kemodenan ini, kertas ini lah yang mampu meneruskan hidupnya. Dia tidak akan terkejut apabila suatu hari nanti, udara bersih dan segar pun perlu dibayar.
Apartment sewa sudah masuk ke dalam medan penglihatan Seo. Muka dihiasi dengan satu senyum bodoh. Dia mendaki tangga ke tingkat 7. Lif tidak pernah dibaiki, jadi dia perlu mengerah tenaga untuk ke rumahnya.
Usai berada di depan pintu buruk bewarna kelabu yang dihiasi dengan pelekat spiderman anak jiran sebelah, dia melangkah masuk. Benda pertama yang menyambutnya ialah bau rumahnya. Rindu. Selepas menghabiskan masa di rumah Mak Syit, kepalanya bagai dijerut dan dia rasa seperti nak mencabut-cabut rambutnya.
Katilnya, walaupun tidak empuk, kekal menjadi perabot kegemarannya. Dia menanggalkan baju dan meninggalkan seluar kecil sebagai penghalang daripada bogel. Dia terbaring, muka dahulu, di atas katil. Selang beberapa minit kemudian, dengkuran kecil kedengaran.
~•~
Gelap, benda pertama yang aku nampak. Aku terkapai-kapai mencari suis lampu. Jika tempat ni ada lampulah. Jap, tempat apa ni? Aku kat mana. Aku teruskan langkah sehingga aku terlanggar satu benda pejal. Macam, dinding.
Tiba-tiba satu cahaya melintasi aku, diikuti bunyi 'boom!' yang kuat. Daya tolakannya menolak aku kebelakang, terjelopok jatuh ke lantai. Aku tidak dapat mendengar apa-apa. Ada satu dengungan di telinga, membuatkan aku mual dan pening. Imej yang aku lihat nampak macam berbelah dua.
Setelah beberapa saat aku cuba memfokuskan pandangan aku, kini pandangan aku sudah kembali berfungsi. Benda kedua yang aku lihat, api. Api dimana-mana saja. Asap yang dibebaskan menyesakkan nafas. Aku cuba menutup mulut menggunakan baju kemudian baru aku sedar aku sedang bertelanjang.
Bahang api itu kian dirasa. Panas yang amat. Aku tak mahu mati, jadi aku cuba berlari menembusi api itu. Aku mengambil posisi, bersedia untuk pecut lari dari lingkungan api ini.
Satu..
Dua..
Tiga!Aku lari sepantas yang aku mampu. Tangan melindungi mukaku, takut hitam legam dibuatnya. Api-api itu menggigit badanku dan ia tidak mahu melepas. Namun, aku kekal berlari sehingga sakit yang dirasai hilang bersama api-api ini. Setelah yakin kulit aku tidak lagi diancam bahang api, aku melepaskan tangan aku dan melihat keadaan keliling aku.
Perkara yang ketiga aku lihat, api, lagi. Cemas mula menyelimuti hatiku. Aku rasa adrenalin mengalir di dalam badan aku. Luka lecur api itu tidak aku rasa sakitnya.
Aku memecut sekali lagi. Dan benda keempat yang aku lihat adalah, api. Termasuklah yang kelima, keenam, ketujuh, kelapan, ke-13. Aku berhenti. Perit. Bagai beribu-ribu jarum mencucuk badan aku dan menjahit aku menjadi satu kepompong benang.
Aku terduduk dan biarkan air mata aku mengalir dengan derasnya. Dalam hati aku berdoa supaya air mata aku mampu memadamkan api ini. Lansung tidak menjadi. Aku putus harapan. Kini, dibalik asap itu aku terlihat orang-orang memandang aku dengan hina. Dan itu perkara yang ke-14 yang aku saksikan.
Mereka mencaci dan menghina aku. Mereka kata ini semua sebab aku. Mereka kata mereka harap aku tidak lahir. Mereka kata aku ini raksasa. Mereka kata aku pembunuh.
Aku memeluk kedua lututku dan menangis semahu-mahunya. Dalam suara ejekan dan cacian itu aku terdengar suara kanak-kanak menangis. Meraung kesakitan.
Tidak, aku tak buat. Bukan aku.
Dia
Dia
DiaApi itu makin mendekati, mengurung aku. Aku bagai boleh mendengar suara api itu. Ia berkata ia mahu menghukum aku atas apa yang telah aku lakukan. Api itu makin mendekat dan menelan aku seluruhnya. Dan itu benda yang terakhir aku lihat, sebelum semuanya bertukar sangat terang.
~•~
Sunyi malam di rumah Seo dipecahkan dengan satu jeritan. Entah kenapa dia terjerit bagai baru menyaksikan hantu.
Jantungnya berdegup laju bagai baru lepas berlari marathon. Nafasnya tercungap-cungap macam ikan di darat. Dia memeriksa badannya, lengan, dada, kaki, betis dan peha. Gila. Apa saja yang telah tertimpa ke atasnya. Mungkin ia satu mimpi buruk.
Seo kembali berbaring. Menarik selimut ke atas sehingga kepalanya sahaja yang terdedah. Dia merenung siling. Duit bukan lagi perkara yang di dalam benaknya. Kepalanya kacau bilau dengan pelbagai imej. Beberapa minit, bukan, jam kemudian, masih tiada dengkuran kecil kedengaran.
YOU ARE READING
pyromaniac
Mystery / Thriller"Kampung ni dah teruk sangat. Rumah arwah Ros dah terbakar, kandang kambing Hasyim tu, hangus!" "Apa-apa tindakan yang nak dibuat, buat dengan segera! Aku taknak anak aku mati katak, rentung dalam sekolah." Kampung Durjana Lampau. Katanya siapa yang...