1

42 4 0
                                    

Tahun 2000

Langit malam terlihat pekat. Tiada bulan atau bintang yang menemani malam. Sesekali terdengar bunyi unggas-unggas yang bersorak riang disahut dengan lolongan panjang serigala yang berada di puncak gunung.

Di tengah hutan tebal Ecrya terdengar derap langkah yang berterusan dan cepat. Datang daripada dua pasang kaki, masing-masing milik seorang lelaki dan seorang wanita yang sedang mengendong bayi dalam dakapannya.

Si lelaki nampak comot dengan kemeja putih yang carik di beberapa bahagian. Mungkin kesan rempuhan kasarnya dengan ranting-ranting kayu yang tumbuh meliar di dalam hutan itu. Si wanita pula, rambut yang asalnya disanggul kemas sudah lama terurai. Menyisakan rambut yang terurai separas pinggang namun terlihat kusut.

Calar dan luka usah dikata. Hampir setiap anggota tubuh mereka terkesan, tapi mereka tidak ambil pusing. Yang penting, mereka selamat.

"Mereka dah jauh daripada kita ke?" Soal wanita tersebut sambil tercungap-cungap mengumpul nafas yang hilang sepanjang larian mereka.

Soalannya berbalas anggukan. Lelaki itu juga sibuk mengumpul nafas supaya cukup untuk mereka meneruskan perjalanan merentas hutan tebal itu. Atau setidak-tidaknya sehingga mereka tidak lagi dikesan.

Oleh tentera berkuda milik kerajaan Ecrya sendiri.

"Awak tak rasa kita patut serahkan dia semula?" Soal wanita itu lagi. Kali ini soalannya tidak mendapat jawapan sebaliknya dia direnung tajam oleh lelaki. Reaksi yang jelas menunjukkan bahawa dia tidak bersetuju dengan cadangan wanita itu.

"Kita dah sampai sejauh ini. Awak nak kita berhenti sekarang?" Tempik lelaki itu perlahan tapi terdengar tegas. Bimbang suaranya didengari oleh tentera berkuda itu. Mereka belum sepenuhnya selamat. Jika mereka tersilap langkah, bila-bila masa sahaja mereka akan ditangkap oleh tentera berkuda itu.

Wanita itu tunduk menikus. Dia memandang wajah polos bayi perempuan dalam gendongannya. Comel dan naif. Sejujurnya, dia berat hati mahu melakukan perkara yang bukan-bukan terhadap bayi itu. Walau bagaimana sekalipun, bayi itu tidak berdosa.

"Stop thinking too much. We got no time!"

Lelaki itu menarik tangan si wanita untuk terus berlari. Mahu atau tidak, wanita itu terpaksa akur. Kakinya sebenarnya tidak lagi berdaya. Tapi memandangkan nyawanya mungkin melayang bila-bila masa sahaja, dia jadi takut. Dia belum bersedia untuk mati.

Dan unggas malam terus menerangi langkah mereka dalam hutan yang penuh dengan flora dan fauna yang belum sepenuhnya diterokai itu.

[OG] tattoosWhere stories live. Discover now