Vila Quasar, Shah Alam.
Seorang lelaki muncul membawa pisau. Melangkah senyap memasuki kamar bacaan. Laptop, potret dan replika atom Bohr kelihatan tersusun baik di meja bacaan tetapi wajah Papa dalam kejutan. Papa meronta di kerusinya seakan melawan tenaga ghaib sewaktu dia didatangi pembunuh itu dari arah belakang. Terbeliak Papa melihat pisau itu mara mengorek matanya satu-persatu dan dapat dilihat tubuhnya menggigil kesakitan, sebelum akhirnya dia dibunuh kejam. Pembunuh kemudian terjun keluar dari jendela kamar.
"Papa!" Nea terjaga, hampir terlompat. Nafasnya tercungap. Meja di tangannya berselerak tapi hening. Dua pegawai polis yang sedang berbual di hujung foyer memandang ke arahnya.
"Cik Ranea okey?" suara polis itu merentasi lantai marmar dengan gema. Jawapan ditunggu.
"Saya okey..." Nea angkat tangannya.
"Betul?"
"Ya, sure..." Tiada lagi soalan. "God." Dia raup mukanya yang lembab berpeluh. Dia pasti mimpi buruk sebegitu akan berlarutan menghantui sisa hidupnya. Hidup yang pada hari semalam penuh kebahagiaan, hari ini berkecai bersama kematian Papa. Dia tersungkur. Dia tidak pernah bersedia untuk hidup tanpa Papa. Dadanya kembali membahang. Sebak itu cuba dia sekat namun kuasanya melonjak-lonjak. Dia tolak dua kitab usang tebal yang menjadi bantal tidurnya, dia katup monitor Macbook Pro. Dia capai iPhone X hitam di sebelahnya dan tengok jam – 19:03.
I should be at the hospital... beside him for the last time...
"Nea... ha bangun dah mung," kedengaran suara Nik yang muncul dari arah tandas. "Mung nangis tadi sapa tertidur aku nak kejut pung kesiang." Lelaki Terengganu kurus itu mara duduk di hadapan Nea. Muka Nik masih comot dengan lebam dan luka, dan kini membawa sejenis curiosity.
Nea kesat air matanya guna belakang tangan. "Urmm... kenapa Nik?" Suaranya keluar serak.
"Prof. Zack ada cerita ke mung fasal Lab Four dok?"
Jadi curiosity itu ialah Lab Four. "Kenapa?"
"Dia ada sembang dok dalang tu ada mende?"
"You assistant rapat dia kan?"
"Ye, tapi lab tu aku dok tahu setarang."
"Sorry, I pun tak tahu. Tak ada siapa tahu pun sebenarnya. Lab tu highly confidential. Kenapa? Dia ada update? Anything?"
Nik toleh ke belakang sekejap. "Tadi aku ada download video ni tapi dok dang habis, line kena block."
"Video apa?"
"Tak tahu. Blur. Download tak habis dekpung. Tapi macam ada mende pelek kat Agensi ler ning..."
"Hmm..." Nea genggam-genggam belakang lehernya. "Zack ada mesej?"
"Nok aku tolong picit ke?"
"Tak payah. Zack ada mesej?"
"Dok. Kalau dia ada mesej pong dok sampai ke kite la doh tentera block line. Signal jammer."
Signal jammer? Nea capai telefon dan tekan butang ON – No service. Ah, patutlah tak ada notification. Teks yang dia hantar ke Zack pun tak lepas sebenarnya. "Dia okey ke Nik?"
"Dok tahu." Muka Nik nampak stress. Matanya meliar di meja melihat buku-buku usang rujukan Nea, gambar simbol berhuruf Phoenician dan kertas-kertas contengan jurnalis itu.
"I nak kena ke hospital ni. Tengok Mama dan... jenazah Papa... urus mana patut..."
"Okey. Tapi lokasi rahsia tu macam mana?" Nik bersifat semberono seperti biasa.
Nea tenung muka lelaki di depannya itu. Dia ini orang kepercayaan Zack, bisik hatinya. Dia ambil telefon dan dia taip dua perkataan rahsia itu dan tunjuk ke Nik.
Nik angguk-angguk. "Jauh jugok tu," katanya.
Nea delete nota itu. "Biar pecah di perut, Nik. Maybe," dia mula berbisik, "kita ada gunting dalam lipatan."
Nik toleh ke belakang dan kembali. "Gile... sape?"
Nea angkat bahu. "Entah. Penat I nak teka." Dia bangun. "I kena gerak."
YOU ARE READING
Ranea
FantasyPublished by Antigraviti, Feb 2018 Sambungan novel Kasyaf. Prof. Zack, selepas makmal rahsianya di Agensi Nuklear Malaysia dicerobohi Lakhus (setan hitam yang mempunyai kuasa misteri), dia menjumpai Ranea di sebuah dunia asing yang memerlukan merek...