4

44 2 0
                                    

"Cantik betul dia. Lagi sedih lagi nampak cantik, original," bisik orang kanannya, Hairuddin, selepas dia bangun meninggalkan meja menuju ke tangga.

"Yang mana satu?" soal Baihaqi.

"Si Ranea tu la. Jarang dia keluar kat TV3. Tengok kes. Dalam TV nampak besar, tapi yang real kecik je."

"Kau nak yang besar mana?"

Hairuddin sengih lebar nampak sampai ke gigi geraham. Rahangnya memang lebar, dengan muka ber­segi. Tubuhnya pula tinggi lampai.

"Alamat rumah ni stroke satu ke dua?" Baihaqi menghulurkan fail di tangannya ke Hairuddin.

Hairuddin ambil. "Stroke 1, Seksyen 7, Shah Alam."

Baihaqi angguk-angguk. "Ada update apa-apa? Forensik? Siasatan luar?"

"Tak ada dah tu tuan, memang betul-betul kena isolate dah kita ni. Kalau betul siasatan dah selesai kita balik station je lah. Bagi tentera take over."

"Susah nak cakap tu Din. Arahan aku terima bukan macam tu."

"Nasib la tuan."

Langkah Hairuddin kemudian melencong dari halatuju bosnya.

Baihaqi menoleh. "Nak ke mana?"

"Tandas kejap."

"Cari sabun ke?"

Bahu Hairuddin terloncat. "Ish tuan ni. Ada ke sabun?"

"Manalah tahu yang real tak dapat tangan pun jadi."

Ketawa Hairuddin membesar, berdekah-dekah. "Tuan ni ada pula ke situ." Dia geleng-geleng kepala melihat bosnya itu tidak lagi berkata-kata melangkah ke tangga.

Orang jenis serius macam ASP Baihaqi tu apabila bergurau memang menusuk. Melepasi piano dan deretan arca dalam kaca di dinding, sengih Hairuddin hilang. Matanya menangkap sebuah arca tanah liat bakar yang berbentuk lembu bersayap tetapi kepalanya pula lelaki berjambang. Banyak-banyak arca di situ, yang lembu kepala manusia itu paling ekstrem.

Pelik, bisik hatinya.

Kakinya melangkah senyap di lantai marmar. Melilau ke sudut-sudut gelap terlindung dari cahaya senja yang dia akui agak menyeramkan. Pintu tandas dalam keadaan buka. Namun belum sempat dia melangkah masuk, pintu kayu pejal itu tertutup deras tepat di depan hidungnya dengan bunyi kuat bergema.

"Omak kau!" Dia tersentak, terkejut. Dia tolak hendal pintu tapi tersekat. "Ai, tiba-tiba je berkunci?" Dia lalu ketuk pintu. "Sapa kat dalam?"

Senyap, tiada jawapan.

"Sapa kat dalam?" dia mengulang. "Bukak pintu!" Dia goncang hendal pintu berkali-kali secara paksa se­hingga akhirnya pintu itu terbuka juga. Dia bergegas masuk, melilau melihat suasana bilik air moden yang luas tetapi hening dan suram. Dia jenguk ke bahagian tandas duduk. Tiada sesiapa. Dia lihat cermin sinki, nampak hanya diri sendiri. Angin senja berhembus merayapi bulu lehernya buat dia menoleh ke arah tingkap yang terbuka.

"Ceh... angin..." bisiknya sambil melangkah. "Gila tandas dia lagi luas daripada bilik aku. Ada tingkap pulak tu." Dia merapati tingkap melihat keluar sebentar sebelum menutup tingkap cermin hitam itu dan nampak dirinya sendiri. One-way mirror – apabila malam tingkap ini akan transparen dari luar. Dia lalu menurunkan bidai tingkap. Dengan perasaan tenang yang agak ragu-ragu dia masuk ke tandas yang tunggal itu, kunci pintu, buka seluar dan duduk. Kejap je ni...

Namun dia dapati kerjanya tidak semudah itu. Dia mula dengar bunyi seretan di siling yang bermula per­la­han, tapi makin lama makin kuat. Bunyi itu betul-betul di atas kepalanya tapi dia buat tak tahu. Namun, akibat berdebar, perutnya pula meragam.

"Haih, kuat betul angin kat luar ni ya. Hmm... nak terberak lah pulakkk..."

Seperti kebiasaan orang Melayu beradab, dia qada hajat merenung ke siling. Siling putih, yang sayup-sayup ada sisa bunyi seretan, berdesis. Seminit jadi dua. Tiga minit jadi lima... mindanya semakin galak berfantasi cerita-cerita seram yang pernah dia dengar.

"Cepatlah keluar taik bodoh!"

Blup!

"Hah jatuh pun kau. Time time macam ni nak buat hal."

Dia capai kepala mini shower, tangan kirinya mula menyental secepat yang boleh. Perasaannya semakin ter­ganggu. Matanya terusan di siling. Mungkin tikus, dia cuba sedapkan hati. Tiba-tiba sentalannya tergendala apabila jemarinya menjumpai bulu halus. Bulu-buluan itu semakin lama semakin banyak. Sampai nak kena selak? Ish! Apa benda ni... Dia meraba buluan lembut yang banyak itu yang pasti bukan miliknya. Serasa-rasa macam... rambut? Ah... sudah...

Dia telan liur, perlahan-lahan dia tunduk melihat ke dalam mangkuk tandas. Dia nampak di bawah punggungnya ada kepala budak berambut hitam, berwajah pucat lesi dengan mata katup.

"Anak haram!" Hairuddin melompat. Terjegil dia melihat ke lubang jamban tetapi kini dia tak nampak apa-apa dalam tu. "Huff, huff," dia tenyeh mata. "Sial apa benda tadi? Tak boleh jadi." Dia mula cemas terbongkok-bongkok mencapai seluarnya. Namun belum sempat menjumpai seluarnya itu, bunyi siling pecah kedengaran dari atas kepalanya. Dia mendongak laju dan seperti hujan, dirinya disiram deruan semangat ghaib yang berat dan hitam. Serentak dengan itu kepalanya bergetar, perut­nya kejang. Dunianya gelap.

Dia pengsan.


*************************


Ranea saya dah buat limited edition print - 500 copies. Ada dijual di kedai Fixi. Ranea juga boleh dibeli dari Google Play Store (Google Books) pada link di bawah. 


https://play.google.com/store/books/details/Khairi_Mohd_Ranea?id=jLJKDwAAQBAJ


Terima kasih kerana membaca Ranea. 

RaneaWhere stories live. Discover now