Nea berhenti di sinki saja untuk membasuh muka, sinki yang terletak pada ruang yang lebih dekat berbanding biliknya. Menongkat tangannya di situ, dia pandang dirinya sendiri di cermin. Satu pandangan yang kosong, ditemani rasa yang langsung tak tercuit oleh muka yang teruk. Matanya masih bengkak akibat menangis. Rambut perangnya sepatutnya lurus melepasi bahu tapi kini kusut masai malah ada yang masih menempel di pipi, pipi yang merah berbekas tidur yang tak dirancang. Wajah bujur bermata galak yang menjadi aset TV3 itu saat ini hilang seri. Pakaiannya masih tidak bertukar semenjak pagi, masih dengan kemeja putih kerja yang sudah renyuk dan jeans. Pada usia tiga puluh tahun, targetnya adalah untuk ke puncak karier tapi kehilangan Papa pada hari ini menjadi titik hitam yang tidak pernah dia jangka.
Dia mula membasuh muka, menikmati sejuk air demi secebis ketenangan namun otaknya terus berputar. Mengapa Baihaqi dan Ariff masih bincang kes yang dah lama tutup? Tak ada kaitan? Jika dia imbas kembali artikel yang dia tulis beberapa bulan lalu, Amsyar dan Marlisa dibunuh Karslinov iaitu kumpulan mafia dadah dari Rusia yang berdendam dengan Amsyar. Kes itu terpencil, seperti mana diumumkan polis berdasarkan bukti teknikal. Tetapi orang yang paling terkesan dengan kes itu, Zack, mempunyai teori berbeza yang lebih bersifat pseudosains. Bukan Karslinov, kata Zack, tetapi seorang lelaki misteri yang memiliki kebolehan paranormal, orang sama yang membunuh Papa pada hari ini. Tujuan pembunuhan pula adalah untuk mencari ancient cult, dark power, yang ditulis dalam sebuah kitab sihir purba. Walaupun Nea dibesarkan dengan pemikiran saintifik, malah memiliki Master of Archeological Science dari Cardiff University, teori Zack dan cara Papa dibunuh pada hari ini sangat mencabar rasional. Kecederaan Papa dibuat tanpa kesan rontaan dan di meja Papa ditinggalkan empat baris tulisan berhuruf Phoenician, ditulis guna darah, yang sebenarnya sebuah pantun cryptic kiriman dari seorang yang sudah mati empat ratus tahun dahulu.
It's too much! Bentak hati Nea.
Dia jegil-jegilkan matanya. Membiarkan bebola mata dibasahi air paip, memberi rasa sejuk yang saat ini dia dambakan. Dia juga dambakan bahu Zack untuk dia menangis, tetapi profesor muda itu sekarang ini berada di Agensi mengejar lelaki misterinya, yang digelar Lakhus, yang sudah berjaya memiliki akses ke Lab Four iaitu retina mata Papa. Kitab sihir, dark power dan makmal atom Lab Four, Nea tak tahu perancangan jenis apa yang difikirkan Lakhus. Agensi Nuklear Malaysia itu pula, menurut Nik tadi, ada hal pelik sedang berlaku.
Oh God... please... Nea menangis lagi, berpaut dan terbongkok di sinki. Dia pejam matanya. "Allah, please take care of Papa... please... I know he believed in You, and he tried very hard to serve humanity. Please forgive him for things he didn't know... Isk..." Dia terus menangis teresak-esak. Sehingga akhirnya dia paksa hati untuk telan semuanya. Dia capai tisu, lap mukanya, perbaiki garis wajahnya dan kemasan pakaiannya agar paras luarannya kelihatan kuat. Dia kembali ke meja yang kini hampir penuh. Hasnitah, gadis Melayu berbaju kurung ungu yang mempunyai roman wajah persis gadis Mediterranean turut ada di situ, duduk di sebelah Nik.
Nea berdiri di sisi kerusinya, dirasa tiada masa untuk duduk. "ASP, ahem, ada apa-apa update tak dari Agensi?"
ASP Baihaqi mendongak, menilik Nea. "Agensi bawah kawalan militari. Setakat yang saya tahu keadaan terkawal. Under control."
"Under control?" Intonasi Nea kedengaran tegang. "ASP, kalau ada apa-apa berlaku di sana kami patut tahu."
"Masalahnya saya pun tak tahu. Macamana?"
"So, signal jammer? Really? Supaya kita semua isolated?"
Baihaqi, dengan wajahnya yang serius, tunduk menatap fail di tangannya dan mula membelek. Persoalan Nea dia diamkan. Di meja ini dia ketua dan ketua itu nampaknya sekarang ini tidak membantu atau sengaja mahu berahsia. "Duduk, Nea."
"I nak ke hospital, nak tengok Mama dan Papa."
"Hmm... Macamana dengan awak punya study tentang simbol-simbol ni, sudah dapat finalize ke?"
Nea kedengaran mengeluh sebelum menjawab. "Tak boleh finalize." Dia kerling Nik. "Tak ada conclusion. Tapi sebab dia mahukan Hasnitah so tugas kita semua adalah untuk make sure Hasnitah secured kat sini. Saya nak ke hospital."
"Maaf, cik Nea... kami faham perasaan cik tapi... cik kena stay," kata detektif Ariff, suaranya serak basah. Kedengaran lebih toleran.
"Tapi, Mama Papa I kat hospital, I—"
"Datin stabil," tingkah Baihaqi, "uncle you ada di sana dan jenazah Datuk masih under autopsi, agak-agak tengah malam nanti baru dia orang akan release, jadi... elok awak pergi awal esok pagi, selepas semua ni selesai."
"Tapi semua dah selesai kan, why should I be here?"
"Sebab itu arahan Ketua Polis Negara." Suara Baihaqi kali ini muncul tegang penuh autoriti, jelas hasratnya mahu membunuh perbahasan. Namun dia sedari gadis bernama Ranea itu bukan sasaran mudah untuk emotional threat sebegitu.
Nea berpusing dan berjalan. "So beritahu Tan Sri I dekat hospital. Dia akan faham."
"Ranea!" Baihaqi bangun. "Kalau papa awak ada kat sini sekarang, rasa-rasa dia nak awak buat apa? Keluar ke hospital tanpa buat apa-apa kat sana, menangis, meratap atau stay kat sini, dengan team kita, selesaikan puzzle ni... demi kemanusiaan?"
Langkah Nea terhenti. Nampak bahunya turun naik bernafas. Wajahnya mencerlung saat dia berpaling dan kembali ke meja.
"Kes kita malam ni red coded. National security. Masih jauh dari selesai." Baihaqi yang kembali duduk mengerling Nea dan semua wajah di meja itu. "Waktu-waktu macam ni amat penting untuk kita semua mengikut arahan. Ada sebab kita semua kena isolate kat sini malam ni. Negara kita sedang berdepan satu ancaman dari luar. Datuk Hashim adalah bekas Senator Negara yang pakar dalam bidang kejuruteraan nuklear, dan lelaki yang bernama Lakhus yang membunuh Datuk ni cukup misteri, cukup profesional yang bermakna sukar kita jangka. Kat luar sana, unit komando dan apa nama... ATM, sudah set up defense dengan heavy artileri sebab kami semua dah dapat arahan. Paling penting, VVIP kami Hasnitah dan Ranea. Kami kena make sure awak berdua selamat malam ni."
Nea terpempan. "Saya?"
Baihaqi tunduk membelek failnya. "Saya difahamkan Hasnitah diperlukan pengikut-pengikut Lakhus untuk ritual ilmu hitam malam ni. Dan nota berdarah yang ditulis di meja studi arwah Datuk... kalau betul yang saya catit ni, bukan ditulis pembunuh tetapi pihak ketiga, dan ditujukan pada awak sendiri, Nea. Betul?"
Nea terdiam, bercelaru kepalanya.
"Cik Ranea," suara Baihaqi serius. "Ini bukan kes biasa. Kita berdepan kuasa syaitan... black magic... yang... emph," wajah polis senior itu mengendur. "Saya ni... dah dua puluh tahun dalam pasukan polis, sampailah sekarang saya pegang jawatan Ketua Pegawai siasatan jenayah negeri Selangor, tak pernah lagi saya jumpa kes macam ni. Ini first time dan saya amat memerlukan kerjasama semua orang. Kita kena tahu kat mana dia orang plan ritual tu. Kat mana setan tu nak bawa Hasnitah malam ni. Boleh finalize-kan tak?"
"I need to double check." Nea rasa mual dengan jawapannya itu.
"Hmp." Baihaqi menutup failnya. "Nanti share dengan detektif Ariff." Dia bangun. "Yang saya nak semua orang faham, vila ni akan jadi kubu kita malam ni. Nobody in, nobody out. Please." Dia beredar diikuti orang kanannya.
YOU ARE READING
Ranea
FantasyPublished by Antigraviti, Feb 2018 Sambungan novel Kasyaf. Prof. Zack, selepas makmal rahsianya di Agensi Nuklear Malaysia dicerobohi Lakhus (setan hitam yang mempunyai kuasa misteri), dia menjumpai Ranea di sebuah dunia asing yang memerlukan merek...