Bab 6

629 19 0
                                    

"MULAI esok orang dah tak payah ke sekolah lagi?" soal Orkid ingin kepastian. Sofea dilihat tersenyum paksa.

"Kenapa, umi? Sebab orang tak jawab Cikgu Daud panggil hari tu ke?"

Sofea mengeluh berat. Entah bagaimana hendak dia jelaskan kepada kanak-kanak perempuan yang duduk di hadapannya itu.

"Mulai esok, Orkid akan bersekolah di rumah. Privately. Umi akan upah cikgu untuk ajar Orkid. Umi dah uruskan semua. Orkid jangan risau."

"Hmmm. Orang akan belajar sorang-soranglah nanti? Tak ada kawan lain? Tak ada Fayadh? Aina? Aina pun akan bersekolah di rumah macam orang ke esok? Abang Aifan?"

"Eh... Saya sekolah macam biasalah. Mana seronok belajar kat rumah. Saya nak belajar di sekolah. Saya tak sakit. Abang Aifan pun tak sakit. Awak aje sakit!" Lancar sahaja kata-kata itu meluncur laju dari mulut kanak-kanak perempuan yang kemudian buat riak bersahaja cedok nasi tambah ke atas pinggan. Lauk kegemarannya iaitu ayam goreng butter ada di atas meja, mahunya dia tak berselera makan.

"Aina..." Sofea yang duduk di sisi Aina bersuara dengan nada amaran.

"Kenapa, umi? Salah ke apa Aina cakap? Aina pun kena sekolah kat rumah juga ke?" Wajah bersahaja Aina tadi kini serta-merta bertukar gusar.

Sofea pandang wajah Orkid yang dah berhenti suap nasi ke mulut sedari tadi. Dia kemudian pandang wajah Aifan yang duduk di sisi Orkid, langsung tak bersuara. Nek Som yang duduk di atas kerusi di kepala meja juga tak bersuara sama seperti Aifan. Hanya mendengar dan memerhati. Sofea kemudian pandang wajah Aina, yang masih menunggu jawapan daripadanya.

"Umi... Kenapa diam? Betul ke Aina kena bersekolah kat rumah juga sama macam Orkid?" soal Aina lagi dengan suara yang dah berubah nada sedih.

"Tak. Aina dan Abang Aifan akan sekolah macam biasa. Hanya Orkid." Sofea pandang wajah Orkid di hadapannya.

"Hanya Orkid yang akan bersekolah di rumah."

Sofea serba salah sebaik memandang tepat ke anak mata coklat cair milik Orkid. Maafkan umi. Mungkin betul cakap Cikgu Othman. Mungkin dengan belajar di rumah Orkid atau Serena akan lebih dapat fokus. Serena akan lebih senang 'pergi' masa hujan turun tanpa perlu menjelaskan apa-apa pada semua murid, semua cikgu yang ada.

Orkid akan punya lebih banyak ruang untuk jadi diri dia sendiri tanpa perlu ada sesiapa akan menghakimi, mengherdik atau mengejek. Niat umi hanya untuk melindungi Orkid Serena. Maafkan umi...

"Tak apa, umi." Orkid bersuara seraya tersenyum.

"Belajar kat rumah pun seronok kut? Kalau tiba-tiba lapar, Nek Som boleh masak. Kalau haus, pergi dapur minum air tak payah pergi kantin sesak-sesak pergi beli, kan?"

Nek Som dan Sofea sama-sama tergelak kecil. Aifan pun turut tersenyum. Aina hanya mencebik.

"Orkid nak tambah nasi lagi?" soal Nek Som, akhirnya bersuara.

Orkid menggeleng.

"Orang dah kenyang. Orang nak naik bilik dulu, boleh?"

Nek Som dan Sofea sama-sama berpandangan. Suara Orkid sedikit bergetar walaupun riak wajahnya sekarang ceria seperti selalu. Siap lengkap dengan senyuman di bibirnya.

"Boleh tak, umi?" soal Orkid lagi.

"Hmmm... Yalah. Orkid naiklah bilik dulu," jawab Sofea.

"Eh, bukan turn Orkid ke kemas meja lepas makan malam hari ni?" Aina tidak puas hati. Kebiasaannya, tiada siapa boleh tinggalkan meja makan selagi semua tak selesai makan lagi.

"Tak apa. Kerja rumah Aifan dah siap petang tadi, umi..." celah Aifan.

"Aifan boleh kemas meja. Orkid boleh naik." Aifan bagi isyarat mata pada Orkid untuk bangun dan pergi.

ORKID SERENAWhere stories live. Discover now