Bab 7

669 16 0
                                    

MENYUSURI kaki lima blok-blok kedai di SummerShine sambil menikmati aiskrim kon di tangan pada petang yang mendung membuatkan hatinya gembira. Melangkah seiringnya kini ialah ibunya, sedang sibuk bercakap di telefon. Siap sebut kiub ayam, santan dan udang. Fayadh dah dapat rasa yang ibunya kini sedang kongsi resipi dengan orang di hujung talian. Walau bagaimanapun, tangan kiri Fayadh masih di dalam genggaman kemas ibunya.

Fayadh bukan boleh bagi lepas sangat dalam keadaan begitu. Bukan dia tidak pernah tiba-tiba hilang di pasar malam, duduk bersila di gerai yang jual buku-buku lama sambil baca komik padahal Nurul dah mula menangis cari dia apabila Nurul terlalu leka berbual di telefon. Itu yang membuatkan Nurul jadi fobia padahal perkara itu berlaku dua tahun yang lalu. Nurul masih mahu ambil langkah berjaga-jaga, tak mahu perkara sama berulang kembali.

"Fayadh... Aunty Ziela buat laksa Sarawak esok. Kita lunch rumah dia, okey?"

"Oh, okey!"

Nurul kembali sambung perbualan dengan Ziela, memberitahu sahabat baiknya itu yang Fayadh sudah bersetuju. Sebaik mengucap salam, talian dimatikan dan langkahnya diteruskan menuju ke sebuah kedai bunga, kedai yang terletak di hujung blok yang dicat indah warna lavender.

"Buat apa di kedai bunga ni, ma?"

"Nak beli tukul dan paku?"

Fayadh buat muka pelik.

Nurul tergelak.

"Nak beli bunga laaa, Fayadh... Nak beli apa lagi?"

"Tau la. Tapi untuk apa?"

"Lepas ni kita pegi beli buah-buahan. Lepas tu kita akan ke hospital. Lawat Aunty Alyza."

"Hmmm? Aunty Alyza kenapa?"

Aiskrim di tangan sudah selamat masuk dalam perut yang tak berapa membulat dengan saiz badannya yang tak begitu kurus, dan tak pula gemuk berisi. Di tangan kini cuma ada tisu, tisu yang baru sahaja Nurul keluarkan dari beg tangannya. Fayadh lap jarinya yang terkena lelehan aiskrim perisa coklat dan mint sebelum lap mulut yang sedikit comot.

"Aunty Alyza kena keracunan makanan teruk semalam. Kita pergi lawat dia okey?"

Fayadh angguk perlahan.

"Ma... Boleh tak kalau Fayadh gi kedai buku sebelah ni aje. Fayadh tunggu kat kedai buku ni. Ma pergilah beli bunga. Tak lama, kan?"

Nurul renung muka kanak-kanak berusia sembilan tahun itu lama.

"Boleh tak? Fayadh janji duduk dalam tu aje," sambung Fayadh cuba meyakinkan ibu tersayang.

"Hmmm. Okeylah. Ma takkan lama. Kejap aje. Fayadh pergilah."

Nurul hantar pemergian Fayadh masuk ke dalam kedai buku Bukukita itu hingga Fayadh hilang di sebalik rak-rak buku di dalam kedai sebelum menyambung langkah menuju ke kedai bunga.

Fayadh belek satu demi satu sudut Lejen – di mana komik-komik lama ditempatkan. Ada komik Dragonball, second-hand yang dah mula kekuningan tapi Fayadh suka. Boleh dia beli dengan harga murah. Dia mula mengira-ngira jumlah tabungannya. Rasanya, sudah cukup untuk membayar harga buku komik itu. Kalau beli guna duit tabungannya sendiri, ibunya tidak akan banyak cakap. Cuma satu soalan yang Fayadh yakin ibunya akan ajukan kepadanya, 'Is it worth it?'.

DALAM perjalanan menuju ke hospital, cuaca yang tadinya cerah kini sudah berubah 360 darjah. Tak semena-mena, awan kelabu berarak laju membawa angin serta guruh dan kilat sebagai teman.

Fayadh renung ke luar dinding kaca di jambatan penghubung blok hospital. Ibunya masih di dalam bilik Alyza, berbual panjang. Fayadh minta diri pergi tandas sebelum kaki dia mula degil tak nak masuk balik ke dalam bilik wad Alyza ditempatkan. Langkah diayun tanpa tuju. Siap turun naik lif lagi dan kini terhenti di jambatan itu. Mata leka tengok corak yang rintik hujan hasilkan di dinding kaca.

ORKID SERENAWhere stories live. Discover now