Selat Singapura
Angin yang bertiup damai di selat itu menghembus lembut selendang songket penuh yang
dipakai Tun Teja. Di sisi permaisuri Melaka kedua itu, Sultan Melaka dan Raden Emas Ayu turut bersama dalam pelayaran itu. Kedua-dua permaisuri itu bergaul mesra meskipun berkongsi kasih.
Sultan Melaka sesekali membetulkan letak duduk persalinan diraja yang dipakai; baju melayu cekak musang yang diperbuat dari kain songket berbenang penuh, samping, bengkok dan tengkolok. Raden Emas Ayu dan Tun Teja anggun berbusana sedondon dengan sultan.
Pelayaran bagi memenuhi jemputan kerajaan Singapura itu ditemani oleh laksamana yang
terkenal dengan jolokan sakti dan kebal, Laksamana Hang Tuah. Beliau yang setia di samping Sultan Melaka sentiasa dalam siap siaga melindungi. Selama mana Hang Tuah bersama Sultan Melaka, baginda tahu dengan izin-Nya tidak akan berlaku seberang kecelakaan pada dirinya.
Di hujung kapal, kedengaran riuh. Anak-anak kapal memandang-mandang ke dasar laut. Salah seorang dari mereka datang menghadap baginda sultan.
"Ampun, tuanku. Di bawah kapal kita ini ada seekor ikan emas sedang berlegar-legar.
Cantik sekali ikan itu. Mahukah tuanku melihatnya?"
Sultan Melaka bangun dari duduknya dan bergerak ke hujung kapal.
Kesemua anak kapal yang teruja segera berdiri seraya memberi laluan kepada raja mereka.
Baginda sultan menjenguk-jenguk ke dasar lautan.
Dengan tidak semena-mena, mahkota warisan paduka ayahanda dari Bukit Siguntang itu
terjatuh ke dalam air dari atas kepala baginda sewaktu leka memerhati ikan emas. Tidak sempat mahkota itu disambut oleh sesiapapun termasuklah Hang Tuah yang berada di samping baginda. Tanpa menunggu barang sesaat, Hang Tuah terus terjun ke dalam laut dengan keris yang terhunus.
Baginda sultan berhati walang. Satu-satunya simbolik kekuasaan diraja telah hilang dari
tempat letaknya. Perihal Hang Tuah tidak pula dikhuatirkan. Baginda tahu laksamana itu
ampuh di darat juga di laut.
Beberapa detik berlalu, Hang Tuah muncul di permukaan air bersama mahkota dan
Taming Sari di kedua-dua tangannya.
"Tuanku, ini dia kepunyaan tuanku." Saat Hang Tuah menghulurkan mahkota itu, tidak
sempat disambut baginda sultan, entah dari mana seekor buaya putih datang menyambar
Si Taming Sari.
Hang Tuah laju mengekori buaya putih itu demi mendapatkan semula kerisnya.
Pertarungan aneh berlaku antara Hang Tuah dan buaya putih. Natijahnya, mahkota yang dipegang kejap terlucut juga dari tangan Hang Tuah sewaktu bergelut dengan si buaya putih. Ia tenggelam di dasar lautan dan semakin menghilang dari pandangan mata. Taming Sari masih berada pada buaya putih. Dilema antara mahu menyelamatkan mahkota yang sedang tenggelam dan keris yang sedang dibawa pergi, akhirnya Hang Tuah terlepas kedua-duanya apabila buaya putih itu sudah pun menghilang dalam sekelip mata. Mahkota milik baginda sultan juga tidak lagi kelihatan walaupun puas dicari dalam pekatnya gelap Selat Singapura.
Tidak jadi meneruskan tujuan bertemasya ke Singapura, baginda sultan mengarahkan rombongan berpatah balik ke Melaka. Kekecewaan melingkari suasana. Sultan Melaka sudah hilang mahkota, Hang Tuah pula sudah hilang Taming Sarinya.
Kehilangan 'kuasa' rupa-rupanya memberi dampak kepada baginda sultan dan Hang Tuah. Sultan Melaka sering sakit-sakit selepas kehilangan mahkotanya. Hang Tuah pula berasa lemah badan dan demam kerana hilangnya keris Taming Sari.
YOU ARE READING
Mengejar Sigan
Historical FictionSekitar tahun 2066, Neomalasia diancam serangan meteor. Saintis Neomalasia keluar dgn pelbagai kaedah untuk selamatkan dunia. Meteor berjaya diletupkan di luar atmosfera bumi tetapi serpihan kecil yang melayang masuk, memusnahkan banyak robot pertah...