Zaman Malaysia Pasca Merdeka
Kuala Lumpur
Gelanggang silat itu diwarisi dari Tuan Guru semenjak Cikgu Salleh masih bujang lagi. Mereka mengajar kanak-kanak pada sebelah petang dan membuka pengajian silat bertahap kepada dewasa pada sebelah malam. Pada sebelah pagi, Cikgu Salleh akan bersilat bersenjatakan kapur tulis mengajar mata pelajaran Sejarah di sekolah rendah berdekatan. Semenjak kecil, Arina membontoti sahaja papanya ke hulu dan ke hilir. Jarang dia melekat di rumah bersama mama kecuali ketika waktu makan.
"Aku nampak jiwa kau dalam jasad Arina. Di sebalik kesopanan budi, terserlah kecerdikan akal dan ketajaman firasat seorang pendekar. Rugi bakat sebesar itu disiasiakan, Salleh." Rokok daun digulung-gulung sebelum diselitkan tembakau kering lalu dicucuh api dan dihisap. Ismail atau Raja Cekak merupakan sahabat lama Cikgu Salleh dalam arena persilatan.
"Dia perempuan. Hanya lelaki yang dihantar ke medan perang mencantas leher musuh. Aku tidak sanggup melihat kulit mulus Arina dicalar oleh hirisan pedang tajam mahupun ditusuk peluru tidak bermata." Cikgu Salleh mendengus kecil.
"Kau seolah-olah memperkecil kemampuan Arina. Sekalipun sayang, jangan sampai cinta itu membunuh masa depan dan keinginan dia. Dia minta aku pujuk kau supaya benarkan dia sertai akademi itu. Dia mahu sambung cita-cita kau. Arina juga seperti kau, degil. Aku tidak rasa dia akan menolak tawaran itu meskipun kau membangkang." Asap rokok daun berkepul-kepul naik ke udara.
"Justeru, berikanlah izinmu Salleh. Iringi dia dengan doamu." Raja Cekak bangun dari bangku lalu menuju ke tengah gelanggang dan memperbetul bukaan langkah muridnya.
***
"Rafi, aku ada berita gembira." Arina mendahulukan kaki kanannya menyentuh tanah gelanggang. Doa lekas dibaca.
"Kau dapat sambung belajar ke luar negara?" Rafi, teman segelanggang meneka. Langkah mereka diayun seirama dan senada memperagakan bunga silat yang baru dipelajari.
"Bukan. Papa memberi izin aku menyertai akademi. Aku akan berangkat esok."
Senyuman bahagia masih bergayut di bibir Arina.
"Berapa lama?" Rafi mematikan langkah. Dia berdiri di sisi Arina yang masih dalam pergerakan.
"Selesai pengajian dua tahun, aku akan dihantar menyertai operasi pertama. Doakan sahabatmu ini, Rafi." Arina menyudahkan bunga silat itu lalu membasahkan tekak di tepi gelanggang.
"Kau tahu kan, operasi-operasi akademi sangat bahaya. Ibaratnya kau menyerah leher untuk dipenggal. Tinggallah di sini. Bangunkan tempat ini bersamaku." Rafi berharap Arina menukar fikiran. Gadis itu umpama merpati, sukar didekati apatah lagi ditebak fikirannya.
"Aku sudah bersedia untuk itu. Sekolah ini, aku serahkan untuk kau jaga, seperti nyawamu sendiri. Setiap anak-anak di daerah kita harus pandai bersilat dan mendalami ilmu ini sehingga ke akarnya." Ucap Arina penuh harap.
'Keberanianmu membuat aku bertambah kagum. Kau membuktikan padaku bahawa wanita yang penuh kesopanan itu bukanlah lemah. Ketegasan di balik kesopanan itulah senjatamu yang paling ampuh.' Hati Rafi berbisik.
Arina berjaya menamatkan pengajian di akademi dan lulus kesemua ujian saringan dengan cemerlang. Dia kini sepenuhnya bekerja bersama akademi tersebut.
***
Arina menghela nafas panjang. Menghembus keluar segala hawa kecewa dari paru-paru. Rongga sempit itu kian lapang, seperti pastura yang baru diragut segala yang tumbuh meliar.
"Sekiranya awak masih berkeras, saya terpaksa berundur dari perhubungan ini." Suara garau lelaki itu memecah sunyi ruang tamu yang menghubungkan dapur dan beranda.
"Saya tak mungkin akan berhenti, sekurang-kurangnya untuk setahun dua ini." Arina masih tunduk memandang lantai. Jarak dua depa antara mereka terasa begitu jauh. Tawa para ibu di dapur tidak mampu menenangkan suasana tegang itu.
"Kalau begitu, saya minta maaf." Faizul bangun dan menghampiri lelaki-lelaki di beranda. Dia duduk dan masuk dalam kotak sembang seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Arina sudah menjangkakan keadaan ini. Faizul pasti akan mengalah dan berundur. Lelaki
itu kelihatan begitu rapuh tekadnya semenjak hari pertama mereka diikat. Aturan keluarga adakalanya menjanjikan bahagia selepas akad. Namun barangkali Faizul bukan ditakdirkan untuk bersama Arina. Ikatan itu terputus, lalu manik-manik bahagia berjuraian jatuh ke lantai sebelum sempat digapai dan disambung semula.
Arina tidak pasti apakah reaksi kedua-dua ibu bapa mereka apabila khabar pembatalan pertunangan ini heboh esok pagi. Yang pasti, Arina tidak mungkin berhenti kerja hanya semata-mata mahu menurut kemahuan Faizul yang dirasakan berat sebelah.
Di meja makan itu, Arina memandang sekilas mama dan papa. Rasa bersalahnya menggunung. Sekali lagi mereka bakal dikecewakan. Ah! Kalaulah Faizul boleh bersabar. Arina tersentak apabila telefonnya menjerit-jerit minta disambut. Tertera nama Tauke
Pisang di skrin sentuh telefonnya.
"Arina naik dulu, mak cik, pak cik, Faizul, mama, papa. Ada kerja sikit." Arina memberi senyuman paling manis kepada papanya meskipun dia tahu perbuatannya itu kurang disenangi beliau.
Papanya menggeleng. Cikgu Salleh yang garang itu pun tidak mampu menghalang apabila satu-satunya buah hati mereka sudah membuat keputusan.
"Ye, tauke. Ada apa?" Ujar Arina separuh berbisik. Punat di tombol segera ditekan mengunci pintu.
"Pusat panggil. Operasi akan mula esok subuh. Pastikan kau sampai sebelum itu." Arina mengetap bibirnya. Dia baru sampai ke rumah pagi tadi dan subuh esok dia akan keluar semula. Pasti papa dan mama akan berleter lagi.
YOU ARE READING
Mengejar Sigan
Historical FictionSekitar tahun 2066, Neomalasia diancam serangan meteor. Saintis Neomalasia keluar dgn pelbagai kaedah untuk selamatkan dunia. Meteor berjaya diletupkan di luar atmosfera bumi tetapi serpihan kecil yang melayang masuk, memusnahkan banyak robot pertah...