Sempadan Korea Utara & Korea Selatan
Salji lebat setinggi paras betis melitupi jalan tar dengan kesan tayar kenderaan menindih gumpalan salji lalu membentuk laluan. Salji yang ditindih berkali-kali akhirnya menjadi ais mampat dan menyukarkan pergerakan kerana licin.
Tahun ini musim sejuk seperti tidak sabar mahu bertemu penduduk negara empat musim itu. Biasanya salji akan mula turun di penghujung Disember. Diikuti dengan musim bunga yang menjadi kegilaan para pelancong dari serata dunia untuk datang bergambar bersama sama bunga segar.
Kawasan sempadan itu pada zahirnya memang nampak tenang. Beberapa orang tentera Korea Selatan segak berseragam hijau tua bersenjata tegak berdiri. Pandangan mereka tepat menghala ke hadapan. Genjatan senjata yang sudah berlarutan dari 27 Julai 1953 itu turut memaksa tentera Korea Utara terpacak tegak mengawal di sempadan.
Kawasan Bebas Tentera atau Demiliterized Zone telah membahagikan Korea menjadi dua; Korea Utara dan Korea Selatan sejak kemenangan Blok Sekutu dalam perang dunia kedua. Korea Utara adalah negara komunis manakala Korea Selatan adalah negara demokrasi liberal kapitalis. Perang dingin yang tercetus hingga kini membawa pelbagai spekulasi buat kedua-dua negara Korea itu.
Kawasan Bebas Tentera itu berkeluasan 250km panjang dan 4km lebar. Hanya terdapat dua perkampungan Korea yang dibenarkan berada dalam kawasan berisiko tinggi ini iaitu Daeseong-dong dan Kijong-dong kerana tanah tersebut diwarisi oleh mereka sebelum tercetusnya Perang Korea lagi.
Berpandukan 38 darjah lintang utara, satu garisan demarkasi tentera selebar tapak kaki manusia menjadi pemisah antara dua negara. Ironinya, mereka sama-sama berdarah Han namun dipisah oleh ideologi yang berbeza.
Jarak antara mereka hanyalah sejengkal cuma namun hakikat sebenar peperangan telah mengakibatkan keluarga dan sanak saudara terpisah tidak bersua berpuluh tahun lamanya. Pelancong dari pelbagai negara kelihatan teruja. Pemandu pelancong membawa mereka masuk ke dalam sebuah bangunan yang dibina atas garisan sempadan selebar tapak kaki itu. Patung-patung diukir menceritakan suasana pada hari bersejarah itu. Di situlah diabadikan perjumpaan damai antara kedua-dua negara sebelum gencatan senjata dipersetujui. Pelancong juga dibenarkan bergambar dengan tentera yang tegak berdiri di sepanjang garisan sempadan itu.
Suasana sejuk menyebabkan hembusan nafas yang keluar dari hidung dan mulut kelihatan seperti kepulan asap. Kesejukan yang mencengkam terasa hingga ke tulang biarpun berlapis-lapis pakaian sudah membalut tubuh.
Di satu kawasan di sekitar sempadan, agak jauh dari tempat tumpuan pelancong dua orang lelaki sedia menunggu di balik pagar berdawai besi itu. Mereka meniarap dalam semak lalang yang tinggi. Teknik penyamaran ini agak berisiko namun kerana sudah mahir dengan selok belok sempadan, ianya mudah sahaja bagi mereka.
"Pukul berapa kau janji dengan mereka? Dah lama kita terbaring di sini. Bahaya."
"Kita tunggu lagi seminit."Dua lelaki itu kembali diam. Mereka menunggu dengan sabar.
Seminit terasa seperti satu jam lamanya.
Beberapa ketika selepas itu, kelihatan lalang bergerak-gerak dari balik pagar. Dua lelaki tadi merendahkan badan mereka dan menahan nafas. Sebarang bunyi atau pergerakan akan mengundang reaksi binatang buas yang akan membuat bising.
Kawasan itu adalah habitat haiwan liar seperti Harimau Siberia, Harimau Bintang Amur dan Beruang Hitam Asiatik. Ia adalah kawasan yang disasar sebagai tempat perlindungan hidupan liar. Selain dipenuhi dengan pos kawalan, kawasan bebas tentera itu juga ditanam periuk api bagi tujuan keselamatan.
Seorang wanita dan seorang lelaki merangkak perlahan-lahan menghampiri pagar. Dua orang lelaki tersebut tidak tergesa-gesa menghampiri sejurus melihat dua susuk tubuh yang baru sampai itu.
Lelaki dan wanita tersebut menghampiri pagar. Mereka mengorek tanah betul-betul di bawah pagar di sebelah Korea Selatan. Tangkas dan cekap mereka bekerja. Beberapa dokumen penting dalam sampul dimasukkan dalam peti besi dan diletak dalam lubang sebelum dikambus.
Dua lelaki tadi senyap memerhati dari jauh. Mereka menunggu sehingga isyarat rahsia diberikan. Mereka harus pastikan lelaki dan wanita yang datang tadi benar-benar membawa maklumat bukannya memasang umpan.
Sebatang kayu yang diukir 'Daehanminguk' dalam bahasa Korea dipacakkan di atas tanah yang dikambus tadi. Selepas dua perisik tadi hilang dari pandangan, perlahan-lahan mereka mengengsot menghampiri pagar sempadan. Tanah dikorek dari sebelah dalam Korea Utara sehinggalah mereka menemui peti besi tadi.
Perlahan-lahan peti besi ditarik. Timbunan tanah berbatu menyukarkan usaha mereka. Mereka ligat menggali lebih dalam. Akhirnya, peti besi berjaya dibawa masuk ke Korea Utara melalui bawah pagar.
"Rin, awak dulu." Wanita berkot hitam itu memanjat bangunan tinggi itu menggunakan tali.
Kemudian diikuti oleh lelaki yang juga berkot hitam. Mereka masuk melalui tingkap kecil yang dibina sebagai ruang udara tandas. Tanpa meninggalkan sebarang jejak, mereka menukar pakaian. Mereka kembali masuk ke dalam rombongan pelancong yang sedang menghala ke arah kafetaria untuk jamuan makan tengahari.
Selesai lawatan sekitar DMZ, bas yang membawa 40 penumpang termasuk Rin dan Park meluncur laju menuju ke Seoul. Tanpa disedari sesiapa satu rahsia besar telah berjaya dibawa masuk ke Korea Utara hari ini.
Kuala Lumpur
"Tahniah, Rin. Pusat sangat berbangga dengan apa yang telah awak lakukan. Dokumen itu nanti akan menjadi senjata Korea Utara untuk menghentikan rencana jahat Amerika.
Ia satu kejayaan besar untuk keamanan dunia. Ternyata akademi ini telah melatihmu dengan begitu cemerlang." Ketua menyambut kehadiran Arina pagi itu dengan wajah ceria.
"Terima kasih, ketua. Cuma saya tertanya-tanya, mengapa saya yang dipilih untuk operasi kali ini, gadis Melayu dari Asia? Bukankah barat pernah meremehkan kemampuan lulusan akademi kita?" Seribu persoalan di benak dapat dihidu dari balik senyuman yang tergantung di bibir Arina.
"Baguslah. Sekurang-kurangnya selepas ini pertubuhan yang mewakili suara dunia itu tidak akan memandang kita sebelah mata lagi. Arina, seorang gadis Melayu akhirnya berjaya menggagalkan satu komplot kuasa besar yang mahu menguasai dunia semata-mata untuk kepentingan peribadi." Ketua begitu bersemangat. Matanya mengecil tajam menembus cermin Menara Berkembar di seberang jalan.
"Dan mengapa kita diminta berkomplot dengan Korea Utara? Bukankah mereka yang selama ini mengancam keselamatan dunia dengan senjata nuklear?" Arina masih enggan berpuas hati.
"Hidup ini seperti lautan. Adakala laut itu menjadi tempat kita menjala ikan, mencandat sotong. Adakala ia menjadi musuh apabila arusnya mengganas meroboh rumah meranap segala yang kita ada. Melawan kuasa besar secara emosi umpama berteriak kepada laut. Kita pasti kalah dan pulang dengan tangan kosong!"
Ketua berhenti sejenak.
"Dan untuk terus hidup kita perlu guna akal, bukan dikuasai sehingga lemas di lautan. Tahu matlamat akhir ke arah mana kita menghala." Arina menyudahkan falsafah tersebut.
"Bijak, Arina. Tidak bersuara bukan bererti pengecut. Bertempik tidak kena pada tempatnya juga tidak memberikan kemenangan. Kena bijak merancang strategi. Selepas ini Rin, awaklah orang pertama yang akan menyaksikan pertelingkahan kuasa besar ini hancur, dengan mata awak sendiri. Sekejap sahaja lagi. Pusat mahu awak ketuai operasi seterusnya. Esok bertolak." Matanya berkalih sekejap ke arah Arina kemudian kembali menghadap mercu tanda negara.
Arina mengangguk dan keluar dari bilik Ketua. Dia perlu mengecas semula stamina setelah mengharung 12 jam perjalanan pergi dan balik ke negara kimchi itu. Esok dia perlu ke sana lagi untuk operasi selanjutnya.
YOU ARE READING
Mengejar Sigan
Historical FictionSekitar tahun 2066, Neomalasia diancam serangan meteor. Saintis Neomalasia keluar dgn pelbagai kaedah untuk selamatkan dunia. Meteor berjaya diletupkan di luar atmosfera bumi tetapi serpihan kecil yang melayang masuk, memusnahkan banyak robot pertah...