Melaka
Orang-orang Portugis sekali lagi belayar ke Melaka. Cadangan Fernandez diterima baik oleh semua ahli mesyuarat. Mereka meneruskan usaha menakluki Melaka dengan idea yang dicadangkan oleh Fernandez.
Kali ini mereka membawa kapal dagangan. Seperti kebanyakan pedagang lain yang singgah di Melaka, orang-orang Portugis itu hidup bermasyarakat dengan baik untuk beberapa tempoh sehingga tidak disyaki oleh sesiapa pun. Mereka bercakap bahasa Melayu dan berasimilasi dengan masyarakat setempat.
"Tuan Paulo, senjata dan peralatan perang semua sudah tersedia di gedung berdekatan pelabuhan. Orang Melaka tidak pernah sedar bahawa kita membeli tanah mereka, membina kubu kemudian bakal menyerang mereka di atas tanah mereka sendiri."
Mereka ketawa berdekah-dekah terutamanya Paulo.
Musuh sudah lama memijakkan kaki di bumi Melaka dan merancang pelbagai strategi tanpa disedari sesiapa. Dengan helah penyamaran, orang Portugis berjaya menakluki Melaka. Meskipun angkatan tentera Melaka menggempur musuh sehabis daya, persediaan awal oleh pihak musuh dan kelekaan Melaka menyedari ketibaan musuh mengakibatkan Melaka akhirnya kalah teruk. Bantuan ketenteraan dari Empayar Uthmaniah juga disekat di pertengahan jalan. Jatuh ke tangan Portugis yang telah lama mengimpikan kekuasaan Melaka berada di tangannya.
Puteri gunung Ledang melarikan diri ke Perak menyelamatkan diri. Baginda dirajakan disana. Manakala Bendahara Tun Mat, Temenggong Tun Karim dan Laksamana Tun Nadim serta rakyat Melaka telah melarikan diri ke Johor.
Dengan kejatuhan Melaka ke tangan Portugis, jurai pemerintahan keturunan Bukit Siguntang Mahabiru di Melaka tamat.
Berita penaklukan Melaka oleh tentera Portugis sampai ke pendengaran Hang Tuah. Galau hatinya tidak tertahan lagi. Tanah yang sudah tertanam setia dan cintanya itu akhirnya dinodai penjajah. Ditahan-tahan sebak di dada, namun manusia biasa seperti Hang Tuah juga punya perasaan yang halus. Air mata yang menitik di pipi tua segera diseka.
Di hulu Sungai Perak itu, Hang Tuah mengambil wudhu. Perlahan-lahan air disapu ke wajah, tangan dan anggota wudhu yang lain. Beralaskan batu beratapkan langit, Hang Tuah merintih sayu pada Sang Maha Kuasa.
'Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Tuhan sekalian alam...'
Rintihan hati Hang Tuah bergema sehingga burung-burung berkicau, pohon-pohon di rimba gemeresik dan daun-daun kering berterbangan dipuput angin lalu turut sama menghasilkan irama sayu.
Setelah kehilangan Taming Sari, Hang Tuah menyisipkan keris warisan dari Bukit Siguntang di pinggangnya. Keris warisan itulah yang menemaninya hingga ke Benua Rom. Hang Tuah bersama Maharaja Setia dan Maharaja Dewa dititahkan oleh baginda raja untuk membeli meriam bagi mengukuhkan lagi pertahanan Melaka.
Mereka pernah singgah di Bandar Acheh Darussalam, Jeddah, Mekah, Mesir dan akhirnya bertemu dengan Raja Rom. Setelah bersara, Hang Tuah memulangkan keris warisan itu kepada Sultan Melaka. Kini yang menemani Hang Tuah adalah biji-biji tasbih yang dianugerahkan baginda sultan sebelum perpisahan mereka.
Keadaan Hang Tuah sememangnya sudah semakin uzur. Usianya yang tua, kudratnya yang terbatas, membuatkan Hang Tuah sering menghabiskan masa bertafakur, bersendirian untuk beribadah.
Segelintir masyarakat percaya Hang Tuah sudah mati kerana tiada lagi khabar berita tentangnya sesudah bersara dari pemerintahan Raja Melaka. Segelintir percaya Hang Tuah masih hidup kerana pernah ternampak susuk beliau sedang duduk-duduk di hulu sungai Perak.
YOU ARE READING
Mengejar Sigan
Historical FictionSekitar tahun 2066, Neomalasia diancam serangan meteor. Saintis Neomalasia keluar dgn pelbagai kaedah untuk selamatkan dunia. Meteor berjaya diletupkan di luar atmosfera bumi tetapi serpihan kecil yang melayang masuk, memusnahkan banyak robot pertah...