Sepanjang malam itu, Datuk tidak tidur. Dia duduk termenung di anjung rumah hingga matahari pagi terbit di kaki langit. Cuma ada satu saja yang Datuk rasa agak ganjil, setelah menemui manusia berkepala anjing dia tidak mendengar suara perempuan pun menjerit atau menerima pengaduan dari anak buahnya sama ada mereka bertemu atau memburu manusia berkepala anjing.
“Agaknya, dia sudah lari dari sini,” beritahu Datuk pada nenek ketika sarapan pagi. Nenek tidak menjawab. Dia cuma merenung muka saya dengan wajah yang sangsi.
“Lari atau menyiapkan diri,” terungkap dari mulut nenek. Datuk tersenyum. Saya terus menghirup air kopi.
“Biasanya perkara yang jahat tidak lama berkuasa,” suara Datuk lembut.
“Maksud awak ?”
“Yang jahat tidak diperkenankan oleh Tuhan,” sahut Datuk dan terus bangun.
Datuk menyuruh saya pergi ke Paya Besar untuk melihat anak-anak getah yang baru ditanam semula. Dia juga menyuruh saya menebang pokok-pokok pisang di celah anak-anak getah.
“Tebang yang mana kau agak boleh merosakkan anak getah kita,” pesan Datuk. Saya mengangguk. Ke Paya Besarlah saya pagi itu dengan basikal tua membawa sebilah parang. Lebih kurang pukul tiga petang saya kembali ke rumah. Terkejut juga saya, bila melihat ada beberapa orang duduk di anjung rumah berbincang dengan Datuk. Saya kira mereka membincangkan peraturan berjaga malam. Saya terus ke sungai untuk mandi. Lepas itu makan dan membaca surat khabar jawi, memang Datuk tidak pernah tinggal membeli akhbar sejak dari zaman muda lagi.
Tanpa di duga Datuk memanggil saya. Cepat-cepat saya campakkan surat akhbar dan meluru padanya.
“Ada apa tok ?”
“Malam ini, kau turut sama berjaga.”
“Sayaaa…..” suara saya mati di situ. Kawan-kawan Datuk mengetawakan saya.
“Kau takut ?” tanya Datuk sesudah suara ketawa kawan-kawannya mati. Semua biji mata kawan-kawan Datuk tertumpu ke muka saya.
“Tidak,” jawab saya tegas. Kawan-kawan Datuk berpandangan sama sendiri. Saya ditugaskan berjaga dekat surau hingga ke rumah Haji Shafie, kawan saya yang disyorkan oleh Datuk ialah Bidin yang agak tiga suku sedikit perangainya.
Sementara menanti malam tiba, saya berpeluang menyoal Datuk tentang kehilangan Imam Hamid. Tidak banyak yang mahu diceritakan oleh Datuk tentang Imam Hamid. Datuk cuma mengatakan Imam Hamid meninggalkan kampung kerana urusan peribadi. Menurut Datuk manusia berkepala anjing ini memang sudah lama wujudnya. Tapi dapat diatasi oleh orang yang cukup handal dalam ilmu kebatinan.
“Tapi orang yang macam tu dak ada lagi,” keluh Datuk. Di mukanya terbayang rasa kecewa dan kesal yang amat sangat. Dia bimbang kalau manusia kepala anjing itu tidak dapat dihancurkan, bukan satu perkara yang mustahil ada gadis yang menjadi korbannya.
“Macam mana orang tu boleh jadi begitu tok ?” soal saya. Datuk renung muka saya tepat-tepat. Dia mengaru pangkal dagunya dua tiga kali. Matanya merenung kosong ke depan.
“Kadang berpunca dari keturunan, ” ujar Datuk.
“Caranya.”
“Boleh jadi masa dulu ada Datuk neneknya mengamalkan ilmu itu untuk mempertahankan diri, bukan untuk tujuan jahat, maklumlah orang zaman dulu banyak mengembara dalam hutan terpaksa banyak menggunakan berbagai ilmu,” Datuk berhenti bercakap. Dia telan air liur dua tiga kali. Matanya masih juga merenung ke depan.
“Biasanya yang datang dari keturunan tu,” jadi bila dia terdesak dan tak sedarkan diri, umpamanya dipukul oleh orang dengan tidak tentu fasal baru dia jadi, jenis ni tidak merbahaya, boleh dibuang dengan ancak dan rakit ke dalam tujuh kuala sungai. Dan orang itu akan sempurna terus,” saya mendengar cakap Datuk dengan penuh teliti.
YOU ARE READING
Bercakap Dengan Jin (Berdasarkan Pengalaman Sebenar)
ÜbernatürlichesKalau sesiapa berminat atau suka perkara misteri yang benar mesti sudah biasa dengan nama Tamar Jalis(nama pena penulis siri bercakap dengan jin). *disclaimer Cerita ini saya ulang tulis dari buku Siri Bercakap Dengan Jin yang sememangnya terkenal m...