Berjaga di Hujung Jambatan

54 2 0
                                    

Datuk amat merahsiakan peristiwa yang terjadi pada dirinya pada anak cucu. Pada orang lain perkara itu bukan rahsia bagi datuk. Dia boleh menceritakan peristiwa itu dari A sampai Z . Biasanya, perkara itu cuma sekali sahaja datuk mahu menceritakannya. Kalau ada orang minta datuk bercerita bagi kali yang kedua, datuk akan marah.

"Aku bukan tukang cerita," katanya. Dan ada orang yang tidak percaya dengan apa yang terjadi pada diri datuk. Malah, ada yang mengatakan datuk cuma mengadakan cerita itu untuk tujuan bersuka-suka pada sebelah petang, bila datuk tidak berburu. Datuk tidak marah dengan tuduhan yang dilemparkan oleh kawan-kawan pada dirinya. Cukup mudah bagi datuk menjawab cabaran itu dengan berkata :

"Mari ikut aku atau biar aku hantarkan kalian ke tempat tersebut dan kalian lihat nanti, apa yang akan terjadi." Anehnya, tidak ada seorang pun dari kalangan kawan-kawan datuk yang mahu menjawab cabaran itu. Akhirnya, cerita datuk bertemu dengan perempuan cantik dan bermalam di rumahnya, merupakan satu lagenda yang jadi buah mulut orang-orang setempat. Sekarang, cerita itu tidak lagi diperkatakan oleh orang.

Dua bulan berselang sesudah peristiwa itu., datuk telah diserang penyakit, seluruh badannya sakit dan bengkak-bengkak. Anak cucu membawa datuk ke klinik kerajaan dan swasta, tapi sakit datuk tidak juga mahu hilang. Bila anak cucu mengambil keputusan untuk menghantarnya ke Rumah Sakit Lumut atau Batu Gajah, bagi mendapatkan rawatan yang sempurna, datuk membantah dengan alasan, dia tidak suka duduk di hospital. Tidak ada seorang cucu datuk yang berani memaksa datuk untuk tinggal di hospital. Jadi datuk terpaksa dirawat secara kampung. Semua dukun dan bomoh yang terkenal dipanggil untuk merawatnya. Sakit nya tidak juga mahu hilang. Seorang dukun dari Mambang di awan dekat Kampar mengatakan sakit datuk sukar diubat, kecuali oleh pawang yang benar-benar handal.

"Kenapa tok bomoh ?" seorang cucu datuk bertannya.

"Sakitnya dibawa oleh orang atas," jawabnya pendek.

"Siapa orang atas tu tok bomoh," desak cucu datuk. Dan bomoh itu tidak mahu memberikan jawapannya. Begitulah datuk, ia terus terlantar di tempat tidur menanggung sakit. Walaupun sakit terlentang merenung atap rumah, datuk masih mahu bercakap, kalau ada kawan-kawannya yang datang melawat. Kadang-kadang datuk memaksa dirinya untuk duduk. Bila anak cucu mahu datang membantunya. Dia segera melarang dan menepis tangan anak cucunya.

"Aku masih kuat lagi," katanya. Dengan itu semua anak cucu pun menyepi. Pada sutu malam, semua anak cucu datuk berkumpul dan mengambil keputusan untuk memanggil dukun orang asli yang tinggal dekat Grik. Entah macammana rancangan itu sampai ke pengetahuan datuk. Dia jadi berang dan membuang semua benda yang berhampiran dengannya. Rancangan itu terpaksa dibatalkan. Kemudian datuk terus dipujuk untuk menerima rawatan doktor swasta yang sanggup datang ke rumah untuk merawatnya.

Memang di luar dugaan, anak cucu , datuk setuju dengan rancangan itu. Menurut doktor itu, sakit datuk tidaklah berapa serius sangat, tapi dia memerlukan rawatan yang agak lama. Sesudah menerima suntikkan dan memakan pil yang diberikan oleh doktor itu, datuk pun boleh bangun dan berjalan dari ruang tengah ke anjung ruamh. Mukanya nampak berseri. Tidak pucat lagi. Datuk mula boleh makan nasi. Sebulan, sesudah menerima rawatan dari doktor swasta ternyata datuk beransur sihat, tapi pada satu malam, datuk terus rebah sesudah menunaikan sembahyang Isyak. Dia tidak boleh bercakap. Terpaksa diusung ke tempat tidur. Semua anak cucunya mengerumuninya. Semua anak cucu yang mengerumuninya resah, bilik tidur datuk dikuasai oleh bau-bauan yang wangi, diganti pula dengan bau kemayan. Serentak dengan itu datuk mula terbatuk dua tiga kali. Dia terus duduk.

"Carikan aku tiga biji limau, tiga helai daun sireh putus urat, seulas pinang, kemenyan dan tempat membakarnya," ujar datuk tenang.

"Nak buat apa," tingkah nenek.

"Usah banyak soal, sediakan perkara yang aku mahu itu sekarang," datuk membeliakkan matanya. Semua keperluan itu disediakan. Diletakkan dalam dulang tembaga berlapikkankain kuning. Bila barang-barang itu tersedia, bau harum datang kembali menguasai bilik tidur datuk. Duduklah datuk mengadap dulang tembaga, asap kemenyan pun keluar dari dupa, bagaikan ada kuasa ghaib yang menaburkan serbuk kemenyan di dalam dupa.

Bercakap Dengan Jin (Berdasarkan Pengalaman Sebenar)Where stories live. Discover now