Mahu atau tidak mahu, saya mesti patuh pada perintahnya. Saya pun memilih beberapa pasang pakaian yang saya fikirkan sesuai untuk dipakai waktu malam.
"Berapa lama kita di sana tok," tanya saya sambil memasukkan pakaian ke dalam beg. Datuk yang sedang menghisap rokok daun berhenti dari menulis rajah di atas kertas putih. Memang itu perangai Datuk. Kalau mahu berjalan ke mana-mana. Dia buat rajah dulu. Dia mahu memastikan, apakah perjalanannya itu membawa tuah atau sebaliknya.
"Boleh jadi sehari dua, boleh jadi seminggu dua, bergantung pada keadaan."
"Keadaan mana tok ?"
"Kalau banyak burung yang kita dapat lamalah kita di sana."
"Bila kita nak bertolak."
"Aku fikir pagi esok saya."
Datuk bangun. Dia turun ke tanah. Saya kira Datuk bersiap-siap untuk pergi ke kampung bunian menemui isteri mudanya. Dugaan saya tidak tepat. Datuk cuma pergi ke belakang rumah melihat ayam dalam kandang. Saya barang yang mahu dibawa sudah saya kemaskan. Saya melangkah ke anjung rumah. Sebuah kereta tua masuk ke dalam kawasan rumah Datuk. Bila pintu kereta dibuka, keluarlah seorang lelaki Inggeris. Kepalanya separuh botak. Saya kenal orang Inggeris itu. Namanya Mr. Brown pengurus ladang getah, Sungai Beruas.
Mr. Brown terus mendapatkan Datuk di belakang rumah. Pengurus ladang getah itu, memang selalu menemui Datuk, kalau dia mengalami silap urat. Kalau dia diserang penyakit dia lebih dulu meminta ubat cara kampung dari Datuk. Kalau tidak baik baru dia menemui doktor. Pernah dia menawarkan kerja di ladang getah pada saya. Dia suruh saya jadi kerani. Permintaan itu saya tolak. Kedatangannya pada hari itu, tidak saya hiraukan. Saya agak tentu dia silap urat dan minta Datuk mengurutnya. Kalau tidak masakan dia datang, fikir saya. Lama juga Mr.Brown bercakap dengan Datuk di belakang rumah. Mr. Brown cukup fasih bercakap Melayu. Dia boleh membaca dan menulis jawi. Pernah dia bercerita pada saya yang dia lama duduk di Palestin dan Iraq masa perang dunia yang pertama dulu.
Saya terus baring di anjung rumah. Mr.Brown naik ke atas anjung bersama Datuk. Saya bangun dan duduk bersila macam mereka. Mr.Brown membuka peta.
"Di sini, harta itu ada di sini,' ujarnya dengan tenang sambil menandakan kawasan dalam peta dengan pensel merah. Datuk termenung panjang.
"Kawasan itu jauh, kalau silap masuk kita sesat dalam hutan," tingkah Datuk sambil memeluk lutut. Mr.Brown tersenyum. Dia melagakan gigi atas dengan gigi bawahnya beberapa kali.
"Minggu dulu mandur saya pergi menembak ayam hutan, mereka jumpa kubur besar dalam hutan, macam kubur raja. Ada emas atas kubur, tapi mandur saya tidak berani ambil," jelas Mr.Brown lagi,
"Saya dah minta kebenaran dari tuan OCPD untuk masuk kawasan itu dan membawa barang untuk meletupkan gua."
Datuk terdiam. Saya mula resah. Saya tahu kawasan yang disebutkan oleh Mr.Brown itu, ialah kawasan kerajaan Melayu Beruas lama yang sekarang menjadi hutan belukar. Satu ketika dulu, pernah orang-orang kampung yang sesat dalam hutan kerana mencari rotan terjumpa kawasan istana lama, lengkap dengan taman bunga, rumah batu dan kawasan permakaman di raja. Bila orang itu pergi untuk kedua kalinya mencari kawasan tersebut. Kawasan itu tidak dijumpai lagi. Malah orang pergi itu, diserang demam panas berbulan-bulan lamanya. Menurut cerita arwah Haji Hamid, kawasan itu cukup keras, Mahkota, emas berlian dan pedang kebesaran raja-raja dahulu tertanam di situ. Orang-orang yang jujur dan ikhlas saja yang selalu terjumpa kawasan tersebut. Arwah Haji Hamid dua kali terjumpa kawasan tersebut. Anehnya, kalau sesiapa yang berniat mahu mencarinya, sampai kiamat tidak akan terjumpa.
"Saya sudah lama menyiasatnya, sejak saya datang." Mr.Brown bersuara sambil melihat peta. Datuk terus tersenyum.
"Di kawasan ini, dulu ada kota kerajaan Gangga Negara," Mr.Brown tanda peta dengan pensel merah.
YOU ARE READING
Bercakap Dengan Jin (Berdasarkan Pengalaman Sebenar)
FantastiqueKalau sesiapa berminat atau suka perkara misteri yang benar mesti sudah biasa dengan nama Tamar Jalis(nama pena penulis siri bercakap dengan jin). *disclaimer Cerita ini saya ulang tulis dari buku Siri Bercakap Dengan Jin yang sememangnya terkenal m...