kisah perniagaan dan perkenalan

3.2K 66 0
                                    

Menurut Ibnu Athir dan Ibnu Hisyam, Siti Khadijah radhiallahu anha(r.a) adalah seorang saudagar yang sangat masyhur serta terkenal dengan sifat kemuliaan budi dan kekayaan hartanya. Sebagian besar masyarakat Arab pada saat itu meminjam sebagian hartanya itu sebagai modal bagi perniagaan mereka.

Saat Siti Khadijah mendengar mengenai perihal pribadi Muhammad bin Abdullah yang sangat mulia dan memiliki akhlak yang terpuji, ia terus menyetujui kepada Nabi Muhammad Saw, supaya menjalankan usaha perniagaan dengan hartanya dan sanggup memberikan keuntungan yang lebih dari yang pernah diberikan kepada orang lain. Urusan perniagaan Nabi Muhammad saw itu diiringi oleh seorang budak suruhan Siti Khadijah yang bernama Maisarah, sebagai pembantunya. Tawaran itu diterima baik oleh Nabi saw dengan penuh kerelaan hati.

Baginda berangkat ke negeri Syam untuk menjalankan perniagaan, dan dalam perniagaan tersebut, baginda memperoleh hasil keuntungan yang besar dan berlipat ganda. Saat pulang dan bertemu dengan Siti Khadijah, Nabi saw terus menyerahkan kepada Siti Khadijah apa yang perlu dan apa yang patut diserahkan dengan penuh amanah.

Semasa di Syam, pembantu urusan perniagaan nabi saw telah melihat dengan matanya sendiri perilaku dan akhlak nabi saw dan menceritakannya kepada Siti Khadijah. Siti Khadijah sungguh terpana dengan sifat amanah yang ada pada nabi saw dan budi pekertinya yang tinggi dan yang lebih mengherankan lagi ialah keuntungan yang sangat besar yang diperolehnya dengan berkat nabi saw.

Dengan perantara Nafisah binti Munabbah, Siti Khadijah telah menawarkan dirinya kepada nabi saw untuk menjadi teman hidupnya yang halal. Tawarannya tadi telah disambut baik oleh nabi saw dan dengan tidak membuang masa, nabi saw terus menyatakan hasrat hatinya yang mulia itu kepada bapak-bapak saudaranya. Rombongan peminangan terdiri dari Hamzah, ditemani oleh Abu Talib dan beberapa yang lain dan mereka pun melamar Siti Khadijah melalui bapak saudaranya, ‘Amru bin Asad. Perkahwinan pun berlangsung dengan lancar. Pada saat itu, nabi saw berusia genap 25 tahun sedangkan Siti Khadijah telah berusia 40 tahun.

Abu Talib dalam peristiwa pernikahan nabi saw sempat berkhutbah dengan berkata,

"Sesungguhnya Muhammad tiada bandingan di kalangan pemuda Quraisy, melainkan dialah yang paling cemerlang, dari segi keistimewaannya dan kelebihan keturunan, kelebihan akhlak dan kelebihan akalnya, sekalipun dari segi hartanya yang sedikit saja, tetapi harta itu ibarat bayangan yang hilang dan pinjaman yang dipulangkan. Ia ingin memperistri Khadijah dan Khadijah juga ingin kepadanya,".

Lalu wali Khadijah menyahut,

"Dialah anak lelaki yang tidak "disorong-sorongkan" hidungnya dan aku nikahkan dia dengannya.''

Inilah pernikahan yang pertama kepada nabi yang penuh dengan keberkatan dan rumahtangga keduanya berkepanjangan sehingga wafatnya Khadijah r.a. Hasil dari Siti Khadijah dan Nabi SAW, lahirlah semua putera dan puteri Nabi saw kecuali Ibrahim.

Petikan dari :Buku Fiqh Al-Sirah 1, Oleh Muhammad Sa’id Ramadan Al-Buti,m/s: 71-72

dan buku Fiqh Al-Harakah Dari Sirah Nabawiyyah siri 1 oleh Haji Abdul Hadi Awang m/s: 57-5

KISAH SITI KHADIJAH RA (COMPLETED)Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang