5 Cara Mudah Menamakan Watak

590 40 4
                                    

Apa khabar, penulis yang dihormati? Masih bergelut dengan plot, atau pening memikirkan penamat kisah yang digarapi?

Tahniah jika anda sudah sampai ke tahap itu, memandangkan masa untuk menghantar penyertaan Wattys sudah tidak lama berbaki.

Mungkin anda masih tersekat di awal kembara penulisan... dan sebabnya satu:
Anda tidak punya nama watak yang cukup 'umph' untuk dijadikan nadi cerita.

 dan sebabnya satu: Anda tidak punya nama watak yang cukup 'umph' untuk dijadikan nadi cerita

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Nampak leceh, tapi berat juga masalah ini.

Nama watak yang sedap penting kerana:
1. Dia hero/heroin! Watak utama tu!

2. Namanya bakal ditaip beribu kali, disebut orang nanti dan berlegar di fikiran pembaca yang meminati

3. Manalah tahu ada sambungan cerita selepas tamat buku pertama. Masuk buku kedua, ketiga dan seterusnya, kalau tak sedap namanya cerita mungkin jatuh jadi hambar saja. Nama haruslah menjana inspirasi, betul tak?

Kalau sudi nak terima cadangan daripada penulis amatur seperti saya, ini ialah
5 cara yang biasa saya gunakan untuk mencari nama yang sesuai.

1. Rujuk nama tokoh-tokoh terkenal
Pembina roket Elon Musk menamakan syarikatnya sempena Nikola Tesla, seorang jurutera dan ahli fizik terkenal. Saya sendiri pilih nama Ellie Arenawati sempena penulis terkenal tanah air kita, untuk cerita pertama saya di Wattpad, Jejaka Jelmaan Jemala. Mungkin anda peminat artis. Nama Idris, sempena pemain biola terkenal, Idris Sardi boleh jadi peneraju utama. Fikirkan juga apa akan jadi kalau nama itu dipermainkan. Kalau 'Idris' dibuli teman sekampung, mungkinkah dia dipanggil 'Derih'? 

2. Lihat objek istimewa
Saya pernah bertemu seorang lelaki bernama Permata. Senior di sekolah pula, namanya Tiara. Ambil contoh nama Kris, sempena keris - sesuai jika cerita anda mengenai seorang lelaki separa mat salleh yang cuba belajar silat namun sering diganggu makhluk halus. Bayangkan bila Kris berjaya memberanikan diri menghalau hantu. 'Kris tusukkan ayat berduri ke deria lembaga tinggi lampai yang mengganggunya di parkir bawah tanah Ikea Cheras itu: "Hoi Bulu Lonjong, tak tahu ke tempat ini ada peraturan had tinggi, 2.0 meter sahaja." Teguh namun sedikit takut, Kris panaskan enjin kereta dan berlalu dari situ bersama penggantung baju Stajlig.'

3. Bersandar pada alam
Di luar hujan, jangan ditangiskan ia bersama cerita anda yang belum siap. Banyak olahan boleh dibuat daripada keadaan alam sekitar. Jika hujan mendamaikan, pilih saja nama Tenang untuk watak utama, Embun untuk heroinnya. Kalau mentari terik berdesing, Suria. Di laman subur, Dahlia, Mawar dan Orkid menunggu dipetik sahaja. Nama lelaki pula, cuba Guruh atau Taufan untuk sedikit kelainan. Tak perlu jadikan ini nama sebenar watak, nama panggilan pun boleh juga.

4. Persetankan istana, rumah agam dan villa
Tengku, raja, dato, tan sri, puteri... Ramai yang suka gelaran-gelaran istimewa kerana ia jalan singkat untuk memberi gambaran tentang kehebatan watak utama. Mohon jangan ambil hati, tapi pangkat dan darjat ini agak klise bagi saya dan tak perlu ada dalam semua cerita. Kisah kekayaan manusia tak perlu diceritakan melalui nama.

Untuk isu ini, cadangan saya juga klise: ceritakan tentang kemewahannya. 'Yusuf masuk ke dalam masjid yang dibina seratus peratus dengan titik peluh ayahanda dan bondanya. Dalam hati dia meratap. Orang tuanya gemar bersedekah, tapi takkanlah anak sendiri pun nak disedekahkan juga? Sanggup mereka nikahkan dia dengan anak gadis pak imam yang tak pernah dia jumpa?'

5. Jangan lekehkan yang biasa
Auf. Budi. Chanika. Dilly. Emil. Firdaus. Gayathri. Hong. Nama-nama ini biasa, tapi kekuatan cerita anda bakal jadikan mereka luar biasa, kan? Tak salah mengambil nama yang selalu didengar kerana cerita anda tidak ada sesiapa pun pernah ketahui, selagi anda tidak penakan ia. Potensi watak itu terserah pada anda, jadi anda berupaya menguasai kebangkitannya dalam jalan cerita.


Artikel ini, pendapat saya saja. Kalau membantu, saya gembira. Kalau rasa tak logik, maaf, saya penulis jadian yang masih belajar juga.

Harapan saya, perkongsian ini membantu anda.

Ditulis oleh:
AdrianLiMy
Penulis buku Nujum Casiopeia

Edisi Khas: Wattys EkspressWhere stories live. Discover now