Aku tak marah Puan Mama ataupun benci Encik Papa sebab tak faham
aku. Kau gila ke apa nak ada perasaan yang tak baik kepada asbab kau lahir dekat muka bumi ni?Bila dah besar ni aku faham kenapa mereka macam tu.
Sebenarnya, mak dan ayah kita ni nak yang terbaik untuk kita. Setiap
tindakan yang dia buat, dia akan fikir bukan diri dia, bukan diri pasangan dia tapi anak-anak.Aku cerita sikitlah tentang dua manusia super ni.
Aku membesar dengan melihat Encik Papa sebulan dalam dua atau tiga
kali sahaja. Aku lebih kepada memerhati daripada bercakap. Double trouble yang biasa bertanya mana papa. Setiap kali pertanyaan itu diaju, Puan Mama akan cakap yang Encik Papa tengah selamatkan dunia.Puan Mama faham kerja Encik Papa. Mungkin sebab dia juga dalam Unit Khas dahulu sebelum bersara awal daripada PDRM untuk jaga kami tiga beradik dan jaga syarikat.
Aku tak tahu kekuatan dari mana Puan Mama dapat. Tak pernah
walaupun sekali depan kami adik beradik, Puan Mama menangis sebab Encik Papa. Tenang setenangnya air sungai waktu panas terik. Setiap kali Encik Papa balik, Puan Mama akan sambut dengan senyuman. Dilayan Encik Papa dengan sangat baik.Satu malam, aku berjalan depan bilik solat dan aku terdengar Puan Mama
menangis. Tak, merintih. Dia adukan rasa rindu dan takut pada Tuhan. Aku tak pernah nampak Puan Mama selemah itu.Kemudian Puan Mama pergi ke bilik memori. Dekat situ dia akan tengok balik semua memori dengan Encik Papa.Mereka berdua kenal sejak sekolah menengah. Semua orang kata, mereka highschool old couple tapi masing-masing tak mengaku.
Aku ingat Puan Mama tak perasan hadir aku malam tu, tapi aku silap.
Puan Mama panggil aku masuk bilik memori dan dia ceritakan tentang Encik Papa kepada aku. Satu per satu album dia selak untuk aku tatap. Betapa dia kasih kepada Encik Papa jelas terpancar pada matanya.Aku tanya Puan Mama, dia tak rindu papa ke?
Ini jawapan Puan Mama.
Tak pernah satu detik berlalu tanpa rasa rindu. Tak pernah satu saat
berlalu tanpa doanya mengiringi perjuangan Encik Papa.Sambil membelek memori, Puan Mama bercerita dekat aku tentang
kisahnya. Waktu itu aku kecil lagi, mungkin dia sekadar ingin bercakap. Jadi aku dengarkan sahaja.Puan Mama cakap, aku dan double trouble menjadi hiburan hatinya.
Cukup dia tahu Encik Papa masih hidup, dia sudah bahagia.Waktu aku sepuluh tahun, Encik Papa baru bersara. Kerja Encik Papa,
bersara umur 40 tahun bukan 60. Waktu tu kira Encik Papa muda lagi la. Dia ajak aku main gym weh. Kadang dia bawa aku masuk hutan ataupun ikut dia tengok anak-anak Rumah Kasih Syukur.Cara Encik Papa buat aku sedar kenapa Puan Mama terlalu mencintainya.
Dia, lelaki yang meletakkan agama sebagai yang utama, menjunjung kedaulatan negara di atas jemala. Memberi lebih dariada menerima. Dia seorang superhero tak bernama sama seperti yang seangkatan dengannya. Aku nak jadi macam
Encik Papa. Aku nekad dan aku tekad. Encik Papa cakap, dia tak kisah apa aku nak jadi, asal aku ingat dari mana aku datang dan ke mana aku akan kembali. Encik Papa ajar aku supaya sentiasa mengingati mati.Sebaik-baik tarbiah ialah tarbiah kematian.
Setiap kali senjata dia julang, nyawanya bukan lagi ada pada jasad. Ruhnya sudah kembali kepada Pencipta.
Setiap kali nak buat kemungkaran, sentiasa ingat lubang kubur jenis apa yang kita impikan. Yang wangi, luas dan terang. Disuluh dengan cahaya Al-Quran. Diteman amal kebaikan.
Apabila Munkar dan Nakir datang sebaik sahaja tujuh langkah
kaki terakhir meninggalkan perkuburan, segala anggota menjadi saksi kebaikan pemilik jasad. Mudah sahaja menjawab segala soalan yang telah dibocorkanjawapannya sejak di dunia lagi.Atau
Kubur busuk, sempit sehingga rusuk kiri bersilang dengan rusuk kanan.
Menghancurkan jasad. Gelap gelita. Tiada teman malah azab yang datang.
Munkar dan Nakir melibas kejam sambil bertanya soalan dengan nada yang menggerunkan. Cuba dijawab namun tak mampu kerana sepanjang hayat tidak pernah mengenal siapa Pencipta Alam.Jatuh dalam tipu daya dunia ibarat jatuh ke dalam sebuah lubang yang
dalam. Hendak naik sendiri terlalu sukar jalannya namun tak mustahil.Terkadang, Allah akan hantar seseorang kepada kita untuk menghulur tali kembali kepada realiti yang dunia ini cuma mimpi dan mati itu pasti.
Encik Papa pesan lagi, nak hidup mesti berani. Jangan takut, jangan
tunduk kepada telunjuk manusia andai Tuhan tak reda.Dua manusia hebat ini, anak-anak mereka bukan tiga orang. Ratusan
anak-anak tepi jalan dijaga. Anak-anak Rumah Kasih Syukur juga diberi perhatian.Kata mereka, kami adalah harapan baharu negara. Bahkan dunia.
Generasi yang hebat perlu dibentuk sejak daripada kecil. Sehari dua tak cukup untuk menjadikan seorang pemimpin yang benar-benar mampu membangunkan negara. Puan Mama dan Encik Papa ada impian, impian untuk melihat generasi Al-Quran menjadi benteng negara yang terampuh. Mereka tidak sekadar
bercakap tetapi menunaikan setiap apa yang dicakap.