13: Alya

143 10 4
                                    


Riyadh memandang mesej yang dihantar pada Ara semalam yang masih tidak menerima balasan sehingga ke hari ini.

'Ara...boleh jumpa abang? Really need to

talk to you.'

Riyadh mengeluh. Sungguh dia tidak tahu apa perasaan dia sekarang. Ya, memang dia terkejut bila melihat Ara bersama lelaki asing, lagi terkejut bila mendengar panggilan istimewa yang diberikan lelaki itu pada Ara. Riyadh sendiri tidak pernah memanggil Ara sebegitu. Begitu manja. Rasanya kali terakhir Ara bercakap manja dengannya adalah lapan tahun yang lepas. Ketika arwah mama dan Alya;kakak Ara masih lagi bersama mereka.

Alya....

Riyadh memejam mata sejenak. Cuba membayangkan bagaimana rupa Alya jika gadis itu masih lagi bersamanya kini. Pasti makin cantik. Pasti makin matang. Pasti sudah bergelar isterinya sekarang...

Cepat-cepat Riyadh mencelikkan matanya semula. Menghalau pergi bayangan ciptaannya sendiri. Bayangan yang tidak mungkin akan menjadi nyata walau apa pun terjadi. Alya tidak mungkin akan kembali dalam hidupnya. Dia sudah redha. Dia sudah melepaskan. Walaupun payah pada mulanya tapi betullah kata orang, waktu mampu menyembuhkan hampir semuanya. Cuma berikan lebih masa untuk hati kita menerima apa yang minda kita sudah tahu.

Walau dada rasa macam ditoreh pisau tajam dan luka torehan itu ditujah dengan garam saat menerima berita tentang kemalangan yang meragut nyawa insan yang bergelar tunangnya dan emak Alya dan Ara yang sudah dianggap bagai emak dia sendiri. Sakit. Sakit yang Riyadh tidak dapat gambarkan dengan kata-kata. Mungkin kerana dia terlalu sayang sehingga dia tidak mampu menerima kenyataan pada awalnya. Sehingga dia tidak dapat membezakan Alya dan Ara. Sehingga Ara terpaksa menjadi Alya untuknya yang masih cuba menidakkan takdir tuhan.

Ara... Maafkan abang.

Dia tidak melepaskan Ara dahulu kerana Ara sudah tidak punya sesiapa dalam hidupnya. Ayah Ara sudah lama pergi sebelum giliran Alya dan emaknya. Apabila Alya dan emaknya juga pergi, Ara jadi hilang tempat bergantung. Dan Riyadh sangat faham bagaimana sukarnya tidak mempunyai tempat untuk menumpang kasih.

Sebulan dia cuba menidakkan ketiadaan Alya dalam hidupnya dengan menggantikan Ara di tempat arwah tunangnya itu. Sebulan dia memanggil Ara dengan nama Alya, macam orang hilang akal. Padahal Ara itu jauh beza dari Alya. Ara masih lagi budak sekolah ketika itu.
Dia mula sedar yang Alya sudah tiada bila dia terjaga dari mimpi buruk. Dia bermimpi Alya terlibat dalam kemalangan teruk sehingga dia terus bangun mengejut dan mendail nombor telefon Alya. Berkali-kali dia mendail dan kesemua panggilannya dijawab oleh operator dan barulah dia tersedar...Alya betul-betul sudah tiada.

Selepas itu dia kembali memanggil Ara dengan namanya sendiri. Namun dia tidak melepaskan adik kepada arwah tunangnya itu. Bagi Riyadh, Ara itu tanggungjawab yang ditinggalkan kepadanya.
Kerana itulah dia menyara Ara sehingga gadis itu belajar ke luar negara dan balik semula ke sini setelah habis belajar dan mendapat tawaran pekerjaan.

Salah Riyadh kerana menganggap Ara itu akan sentiasa menjadi tanggungjawabnya sampai bila-bila sedangkan Ara tidak pernah menyayanginya lebih dari seorang abang. Riyadh tahu dia tidak berhak untuk marah sekarang ini bila Ara mempunyai kekasih lain dibelakangnya.

Marah ke dia?

Entah.

Mungkin sedikit terkejut. Tapi marah? Tak. Malah cemburu pun rasanya...tak ada. Dia cuma terkejut dan tertanya-tanya. Terkejut yang terus hilang bila dia sampai dibilik Amna dan melihat Amna didepan mata.

Bila tengok Amna, dia selalu terlupa tentang Ara.

Riyadh mengurut pangkal hidung.

Amna....Amna...

"Riyadh!"

Yakinlah Aku MenjemputmuWhere stories live. Discover now