ASAP colok menerewang ke seluruh ruang tamu rumah banglo dua tingkat itu. Baunya yang kuat menusuk ke hidung seorang wanita berbangsa Cina yang setia berdiri menghadap sebuah gambar di situ. Suasana malam yang sunyi itu hanya diserikan dengan bunyi putaran kipas angin dan juga kenderaan yang lalu lalang di luar rumah besar itu. Tiada sesiapa di situ yang menemaninya melainkan kesepian yang mencengkam jiwa.
Gambar tersebut masih setia ditatap oleh wanita itu. Sesekali air mata seperti menyerbu ke dada dan cuba ditahan daripada turun membasahi lantai. Colok yang dinyalakan dan dipacakkan di tepi gambar seorang gadis yang sedang tersenyum manis itu mengeluarkan asap yang membawa bersama bauan yang dihidu dan diserap ke dalam paru-parunya. Hatinya walang.
Tangannya mengusap-usap gambar gadis comel yang sedang tersenyum itu dengan perasaan hiba yang tidak mampu digambarkan dengan kata-kata. Tetapi dia tahu, walau sesedih mana pun dia, gadis comel itu tidak akan kembali lagi kepadanya. Satu penyesalan yang harus dibayar atas segala kesilapan yang pernah dia lakukan dahulu.
"Mama minta maaf sama lu, Carla. Mama berdosa sama lu."
Air mata yang ditahan akhirnya tewas juga. Titisan manik jernih menuruni kelopak matanya dengan laju lalu menjamah pipi kusamnya. Esak tangis yang ditahan akhirnya terburai juga. Perlahan-lahan dia terduduk di situ di hadapan gambar mendiang anaknya yang sudah tujuh hari meninggalkannya.
Sunarti yang sedari tadi memerhatikan tingkah laku majikannya juga tidak dapat menahan rasa hiba. Namun dia tidak berani untuk memujuk majikannya. Lalu dia melangkahkan kaki menuju ke dapur rumah banglo itu untuk menyelesaikan tugasnya. Biarlah majikannya reda sendiri.
Ingatannya pada Carla juga seperti ingatan majikannya terhadap mendiang. Sesekali hatinya sayu apabila mengenangkan keletah manja Carla walaupun sering disisihkan oleh majikannya. Namun apakan daya, usianya tidak panjang. Itu lebih baik buatnya daripada terus diseksa oleh ibunya, kir Sunarti.
Khor mencari sedikit kekuatan untuk bangkit daripada duduknya setelah kakinya merasa kebas akibat bersimpuh terlalu lama. Sebaik dia berjaya berdiri, dia melangkah menuju ke bilik tidurnya yang terletak di tingkat atas.
Pintu bilik tidurnya ditolak perlahan sebelum matanya menjamah isi kamar yang sunyi. Sungguh dia merasa sunyi. Tiada lagi Carla. Tiada lagi Edward. Hanya dia keseorangan di situ. Mengingatkan itu, hatinya menjadi semakin walang.
Langkahnya dihalakan ke arah meja solek yang tersergam indah di penjuru bilik mewah itu. Khor menarik kerusi kecil di hadapannya dan melabuhkan punggungnya di situ. Dia mengusap rambutnya yang panjang mengurai perlahan-lahan. Fikirannya terbuang pada masa silam.
"I tak boleh hidup dengan you lagi." Edward berdiri membelakangi Khor setelah menuturkan ayat itu. Khor mencelikkan biji matanya luas-luas. Serasa tidak percaya dengan apa yang dia dengar sebentar tadi.
"Tapi apa salah I?" Khor mendesak untuk sebuah jawapan sekiranya benar Edward sudah tidak mahu hidup bersama-samanya lagi. Walau pahit untuk Khor terima, tetapi dia harus telan segalanya.
"You tahu kenapa, jadi jangan tanya sesuatu yang you dah tahu sebabnya." Edward menjawab seraya meninggalkan Khor seorang diri di situ yang semakin sakit hatinya diperlakukan sebegitu oleh Edward.
Ingatan Khor terputus di situ apabila telinganya seperti menangkap satu suara seperti memanggilnya. Suara seakan-akan milik Carla. Khor meletakkan sikat rambut yang sedang dipegangnya ke atas meja seraya menapak menuju ke kamar Carla. Suis bilik segera ditekan dan serta-merta bilik itu menjadi terang-benderang. Tiada siapa yang berada di bilik itu. Tiada siapa yang memanggilnya. Suasana sunyi semakin menghimpit jiwa Khor.
Sebuah anak patung yang terbaring kaku di situ menarik perhatian Khor untuk menghampirinya. Tangan lembut itu mencapai anak patung itu dan dibawa ke dadanya. Dia mendodoikan anak patung itu seperti dia mendodoikan Carla walaupun hakikatnya dia tidak pernah memanjakan Carla sebegitu ketika hayatnya. Anak patung kesayangan Carla itu dipeluk erat seperti tidak mahu dilepaskan.
Anak patung itu dikelek masuk ke kamar tidurnya. Tubuh anak patung yang bersaiz kanak-kanak berusia dua tahun itu diletakkan perlahan ke atas katil. Khor berjalan menghampiri almari pakaiannya dan mengeluarkan sebuah kotak yang diperbuat daripada rotan mengkuang. Dia menarik kotak tersebut keluar daripada almari itu dan berjalan semula menghampiri anak patung yang masih terbaring kaku di situ.
Matanya memerhatikan wajah anak patung itu seraya tersenyum. Kotak rotan mengkuang itu dibukanya perlahan dengan mata yang bersinar-sinar. Demi menebus kesalahannya kepada mendiang anaknya, dia ingin mengabadikan sesuatu kepada anak patung yang pernah menjadi kesayangan Carla. Dia mahu Carla sentiasa ada di sampingnya walau hakikat Carla sudah pergi meninggalkannya.
Isi perut kotak rotan mengkuang itu ditatapnya sekali lagi lalu tangannya menarik segumpal rambut mendiang Carla yang sempat di ambil sebelum upacara membakar mayat mendiang dilakukan tujuh hari lepas. Gumpalan rambut itu disembunyikan di dalam saku bajunya secara senyap-senyap. Senyuman terukir di wajahnya tatkala menatap gumpalan rambut Carla di dalam genggamannya. Tangannya pantas mencapai jarum dan benang yang disisip kemas di dalam kotak itu.
Sehelai baju gaun yang dijahit khas untuk anak patung itu dengan menggunakan cebisan pakaian yang dipakai oleh Carla pada hari kematiannya diletakkan di sebelah kotak rotan mengkuang itu. Khor memasukkan benang berwarna hitam pada lubang jarum itu dengan teliti.
Helaian rambut itu dicapai lalu disusun di antara rambut yang bertocang dua di kepala anak patung itu. Seutas gegelang ikat rambut yang diperbuat daripada kain di ambil lalu rambut anak patung yang sudah bercampur dengan rambut mendiang anaknya diikat bersama-sama. Ikatan itu dikukuhkan dengan jahitan benang hitam di sekelilingnya.
Khor tersenyum lebar apabila melihat ikatan kemas pada rambut anak patung itu. Separuh daripada diri Carla seolah-olah kembali dekat dengannya. Baju gaun berwarna merah jambu lembut itu disarungkan ke badan anak patung itu. Khor memeluk anak patung itu erat-erat seperti dia memeluk mayat Carla di hari kematiannya. Hatinya merasa gembira. Dia akan menjaga anak patung itu sepertimana
Carla menjaganya ketika hayat Carla masih ada. Tanpa Khor sedari, kesan darah kering masih ada di helaian rambut mendiang Carla. Dan darah itu kelihatan seperti kembali berdenyut. Anak patung yang diberi nama Marie oleh Carla itu disimpan elok-elok di atas meja yang disusun dengan barang-barang kesayangan Khor. Lampu bilik itu kemudiannya dipadamkan dan Khor membaringkan dirinya di atas katil di bilik itu. Matanya dipejamkan. Seketika, hujan lebat kedengaran menujah bumi di luar sana. Suasana dingin membaluti malam itu.
Kilat memancar dan menerangi bilik Khor seketika. Anak patung yang tersandar kaku itu dipanah sinaran kilat yang sedang menggila. Cahaya memancar daripada bebola hitam anak patung itu. Seketika, kelopak mata itu berkedip-kedip. Marie seakan-akan hidup!
YOU ARE READING
Anak Patung Nana
HorrorAir mata menjadi teman hidup Nana. Dia dibenci oleh bapa kandungnya sendiri. Hidup Nana hanya dipayungi ibunya. Tiada teman untuk dirinya. Kesunyian Nana terubat dengan kehadiran sebuah anak patung. Diri Nana seperti dilindungi. Bencana pasti menim...