SUASANA di kompleks membeli-belah itu sungguh bingit. Muzik bergema memecahkan gegendang telinga di setiap ceruk bangunan setinggi tiga tingkat itu. Ramai pengunjung yang turut memenuhi kawasan kompleks itu termasuk Madiha dan Nana.
Madiha memimpin tangan Nana memasuki premis Toys N Kids yang terletak di tingkat dua kompleks membeli-belah itu. Haruman lavender menyambut kedatangan mereka berdua. Madiha menghidu bauan itu dengan penuh rasa tenang. Wanginya, bisik hati Madiha. Seorang gadis manis menyambut mereka dengan senyuman yang terukir di bibirnya. Madiha membalas mesra senyuman itu.
"Nana, tadi Nana cakap nak anak patung, kan? Pergilah pilih yang mana Nana suka. Hadiah daripada ibu untuk anak ibu," ujar Madiha sambil meletakkan tangan ke atas bahu Nana.
Nana membuntangkan mata. Jelas anak kecil itu begitu teruja dengan tawaran itu. Madiha tersenyum gembira. Hatinya tercuit dengan rasa terharu apabila melihat Nana teruja dan gembira begitu. Pantas Nana menghilangkan diri di sebalik rak-rak yang terdapat di premis itu. Madiha mengambil kesempatan itu untuk mencuci mata dengan melihat susunan alat permainan di dalam premis itu.
Sebaik sahaja kakinya dijejakkan ke kawasan yang mempamerkan anak-anak patung, Nana melompat keriangan. Mata Nana meliar memerhati susunan anak-anak patung di hadapannya sebelum pandangannya terjatuh kepada sebuah anak patung bertocang dua yang memakai gaun berwarna merah jambu lembut. Perlahan-lahan Nana menyentuh rambutnya yang turut bertocang dua.
Nana menghampiri anak patung itu dan kakinya dijongketkan untuk mencapai anak patung itu. Kaki anak patung yang terjulur keluar itu dicapai dengan susah payah. Satu senyuman kepuasan diukirkan sebaik sahaja anak patung itu berada di dalam genggamannya.
Mata Nana yang galak bulat memandang anak patung itu. Entah kenapa hatinya teruja untuk memiliki anak patung di tangannya walaupun masih banyak lagi anak patung yang lebih comel daripada itu. Sinar mata anak patung itu menusuk ke anak mata Nana. Jiwa Nana seakan-akan dirasuk. Ketika itu, hatinya bertekad, anak patung itu harus dimiliki!
Madiha berpaling sebaik sahaja mendengar namanya dijerit oleh Nana. Satu senyuman dilemparkan kepada Nana yang turut melemparkan senyuman manis kepadanya.
"Ibu, cantik tak anak patung ni? Macam Nana kan, bu?" soal Nana sambil memegang rambutnya yang ditocang dua.
Mata Madiha terpaku pada anak patung itu. Hatinya tidak mengalunkan irama yang menyenangkan. Sebaliknya rasa seram seolah-olah mula bertakung di dadanya apabila melihat anak mata kehitaman milik anak patung itu.
"Yang lain tak cantik?"
Madiha bersuara lembut yang jelas tidak bersetuju dengan pilihan Nana. Nana menundukkan pandangan ke lantai sebaik sahaja mendengar soalan Madiha. Senyumnya terus hilang ditelan kesugulan. Madiha mengeluh kesal dengan keterlanjuran katanya. Nafasnya ditarik panjang. Anak patung di tangan Nana diraih ke dalam pelukan.
"Comel anak patung ni, pandai Nana pilih. Okeylah, kita pergi bayar ya?" pujuk Madiha.
Perlahan-lahan Nana melemparkan senyuman yang sangat manis di mata Madiha. Madiha menarik nafas lega. Tidak susah untuk mengambil hati anak kecil itu bagi Madiha. Perasaan seram yang menujah di sudut hatinya dilemparkan jauh-jauh. Mungkin itu hanya khayalan sahaja.
Nana menyambut anak patung bertocang dua itu dengan wajah yang bersinar dengan kegembiraan. Anak patung itu dipeluk seolah-olah tidak mahu dilepaskan. Madiha hanya memerhatikan gelagat Nana dengan senyuman melebar. Hatinya puas apabila melihat Nana mampu tersenyum dan berasa gembira seperti kanak-kanak seusianya. Terasa segala penat lelahnya terbang melayang ketika melihat anak kesayangannya tersenyum girang.
YOU ARE READING
Anak Patung Nana
HorrorAir mata menjadi teman hidup Nana. Dia dibenci oleh bapa kandungnya sendiri. Hidup Nana hanya dipayungi ibunya. Tiada teman untuk dirinya. Kesunyian Nana terubat dengan kehadiran sebuah anak patung. Diri Nana seperti dilindungi. Bencana pasti menim...