BAB 2

62 2 0
                                    


CUACA pagi itu terasa hening. Salina sempat menyediakan sarapan sebelum bertolak ke kampung Sarah. Sandwic yang disediakan terasa sangat enak lebih-lebih lagi ketika dimakan bersama teh O panas. Salina melihat jam dinding. Sudah jam 7.00 pagi. Sarah masih belum keluar daripada biliknya.

Mana Sarah ni? Semalam kata nak bertolak pagi, desis Salina sambil melangkah anak tangga menuju ke tingkat atas. Dia terus mengetuk pintu bilik Sarah yang terletak di hadapan dengan biliknya berulang kali. Dia terus melangkah masuk apabila tombol pintu yang dipulas tidak berkunci.

"Sarah!" panggil Salina apabila melihat katil Sarah kosong.

Dia cuba melihat di dalam bilik air, tetapi tiada sesiapa di situ. Dia hairan. Ke mana agaknya dia pergi? Soal Salina dalam hati.

Dia melangkah keluar dari bilik Sarah. Dia mahu mencari rakannya di kawasan luar rumah pula.

"Kau buat apa tu?" soal Sarah, tiba-tiba terpacul di belakang Salina.

Salina yang terperanjat segera beristighfar panjang. Sarah sedang mengeringkan rambut dengan tuala. Rambutnya yang menutupi sebahagian mukanya membuatkan Salina terkejut.

"Kau dari mana?" soal Salina, sedikit menjerit. Dadanya berombak kencang.

Sarah yang tahu kawannya dalam ketakutan melepaskan ketawa.

"Paip bilik air aku rosak. Aku mandi kat bilik air kau," jawab Sarah.

Sambil tersenyum manis, dia terus masuk ke dalam biliknya. Salina hanya menggeleng.

Selepas selesai bersarapan, mereka terus bertolak ke kampung Sarah. Sebelum bertolak, Salina sudah memastikan pintu dan tingkap rumah dikunci rapi. Jika berlaku apa-apa nanti, pasti dia akan dimarahi Sarah. Salina sudah masak benar dengan perangai rakannya itu.

***

HAMPIR sejam memandu, perut Sarah tiba-tiba memulas. Dia menoleh memandang Salina yang sedang enak dibuai mimpi di tempat duduk sebelah pemandu. Sarah menggeleng-geleng. Dia ternampak papan tanda kawasan rehat dan rawat kira-kira 500 meter dari situ. Dia bercadang mahu berhenti rehat sebentar. Jam tangannya juga sudah menunjukkan pukul 12.00 tengah hari.

Kereta yang dipandu terus diparkir betul-betul berhampiran tandas yang disediakan di kawasan rehat itu. Sarah yang dari tadi menahan sakit perut terus meninggalkan Salina yang sedang lena di dalam kereta.

Haba yang memenuhi ruang kereta membuatkan Salina terjaga daripada tidurnya yang lena. Dia melihat Sarah sudah tiada di tempat duduk pemandu. Salina cuba menjengah keluar. Suasana di tempat rehat itu kelihatan sunyi sepi. Salina tidak dapat menahan bahang di dalam kereta. Bajunya sudah basah bermandikan peluh.

Ke mana pulak Sarah pergi ni? Desis Salina sambil menggenyeh mata. Tekaknya terasa kering. Dia mencapai botol air yang berada di tempat duduk belakang. Salina menghembus nafas berat apabila melihat botol minuman sudah kosong. Dia mengambil keputusan keluar dari perut kereta untuk membeli air.

Salina memandang sekeliling. Kawasan itu kelihatan sunyi. Tiada seorang pun yang singgah di kawasan rehat itu. Salina berjalan sendirian sambil mengetap bibir. Kepalanya ligat memikirkan sesuatu. Tiba-tiba Salina melihat seorang lelaki sedang menyapu sampah. Dia tergerak hati mahu bertanya di manakah lokasi dia berada kini. Dia cuba mencari papan tanda, tetapi semuanya telah menjadi mangsa vandalisma.

"Pak cik, boleh tumpang tanya?" soal Salina.

Dia yang berada di belakang cuba melihat wajah pak cik itu. Tetapi pak cik yang memakai topi kebun itu tidak mahu menoleh. Dia cuma diam membisu. Dia terus melakukan tugas menyapu sampah tanpa mempedulikan Salina di belakangnya.

"Apa nama tempat ni, pak cik?" soal Salina, cuba memberanikan diri.

Pak cik itu tidak bersuara. Dia terus berhenti menyapu sampah dan terus beredar dari situ tanpa mempedulikan Salina. Salina terpinga-pinga ditinggalkan seorang diri di bawah panas cahaya matahari. Dia yang bengang mengambil keputusan untuk kembali ke kereta. Mungkin Sarah sedang menunggunya.

Salina menjengah ke dalam kereta. Sarah belum juga tiba. Dia hairan. Ke mana Sarah pergi? Dia mengambil keputusan untuk masuk ke dalam bilik air. Mungkin Sarah berada di sana. Sarah melangkah laju untuk masuk ke dalam bilik air itu, tetapi dia berselisih dengan seorang wanita di hadapan muka pintu bilik air. Sarah hanya tersenyum melihat wanita itu.

"Cik ada nampak kawan saya kat dalam tandas ni?" soal Sarah, menegur ramah.

Wanita itu hanya tunduk. Langkahnya mati apabila ditegur Salina. Wanita itu hanya diam membisu. Salina terpinga-pinga. Dia hairan melihat wanita itu. Keningnya berkerut. Fikirannya kosong.

"Cik ada nampak kawan saya?"

Terdengar suara wanita itu mengulang kata-kata Salina. Sesekali wanita itu ketawa. Salina terkejut mendengar wanita itu mengejeknya. Tiba-tiba sahaja perasaan marahnya mula meluap-luap. Salina terus memegang bahu wanita itu. Wanita itu pantas menoleh dan wajahnya yang kelihatan ngeri memeranjatkan Sarah. Wanita itu terus-terusan mengejek Salina sambil melangkah perlahan mendekati gadis itu.

"Cik nampak kawan saya tak? He...he...he..." soal wanita itu lagi sambil ketawa mengilai.

Salina menutup kedua-dua belah telinga. Dia menjerit sekuat hati.

"Salina!" panggil Sarah sambil menepuk pipi Salina dengan kasar.

Dia yang masih fokus pada pemanduan terkejut mendengar Salina yang sedang lena tiba-tiba sahaja menjerit kuat di sebelahnya.

Salina yang baru tersedar terus memandang sekeliling. Dia menarik nafas panjang dan beristighfar. Tangannya mengesat peluh yang membasahi dahi.

"Kau mengigau ke? Tulah akibatnya kalau kau biarkan aku memandu seorang-seorang, kau pulak sedap-sedap tidur kat sebelah," usik Sarah.

Dia ketawa melihat Salina yang kelihatan panik. Salina yang baru terjaga daripada tidur hanya diam membisu. Dia masih tidak pasti adakah peristiwa yang dialaminya tadi benar-benar terjadi atau sekadar ilusi.

PROJEK SERAM RESTROOM - SERIAUWhere stories live. Discover now