SALINA banyak mendiamkan diri. Puas Sarah bertanya apa yang berlaku, tetapi Salina tetap diam seribu bahasa.
"Kenapa ni, Lina? Apa yang berlaku?" soal Sarah lagi.
Namun, Salina tetap membisu. Sarah sudah bersiap untuk ke hospital melawat neneknya, tetapi Salina enggan mengikut. Dia mahu berehat di rumah. Sarah tidak boleh berbuat apa-apa.
"Lepas lawat nenek, aku terus balik rumah. Kau jangan pergi ke mana-mana pulak," pesan Sarah sebelum pergi ke hospital bersama Fattah.
Salina duduk di dalam bilik seorang diri. Dia semakin keliru. Apakah yang dilihatnya tadi benar atau hanya khayalan sahaja. Dia buntu. Dia mahu menenangkan fikirannya yang berserabut. Matanya dipejamkan buat seketika.
"Kakak...kakak..." panggil satu suara.
Salina pantas membuka mata. Dia mencari suara itu di sekitar bilik, tetapi tiada sesiapa pun di situ. Dia yang berasa hairan mengambil keputusan untuk melihat di luar bilik.
"Siapa tu?" soal Salina sambil menjengah ke luar bilik.
Kelihatan semuanya masih berada di kedudukan yang sama. Tiada sesiapa pun yang kelihatan.
"Kakak...kakak..." panggil suara itu lagi.
Salina dapat mendengar dengan jelas. Suara itu datang dari luar rumah. Dia terus melangkah perlahan-lahan menuju ke pintu utama. Salina memberanikan diri untuk membuka pintu itu.
"Sini kakak...sini..."
Salina ternampak seorang kanak-kanak sedang melambai-lambaikan tangan di luar pagar. Dia mengurut dada perlahan. Terukir senyuman di bibir Salina. Dia selesa berbual-bual dengan kanak-kanak itu. Mereka saling bertukar senyuman.
***
SARAH memandang sekeliling. Kelihatan jururawat yang bertugas pada hari ini sangat sibuk melayan pesakit. Fattah terus berjalan ke hadapan menuju ke bilik yang menempatkan nenek mereka. Ketika Sarah sedang leka memandang sekeliling, dia terlanggar seorang jururawat yang sedang berjalan di hadapannya.
"Cik nak ke mana?" soal jururawat yang sedang mengutip fail di atas lantai sambil memandang Sarah yang bagaikan telah sesat.
"Saya...nak melawat nenek saya...dia..." ujar Sarah, berhenti.
Dia melihat kelibat Fattah yang sedang melambai ke arahnya. Sarah terus meminta maaf kepada jururawat itu dan terus menuju ke arah Fattah. Jururawat itu tersenyum manis. Dia memerhati gerak-geri Sarah melalui ekor mata.
"Keadaan nenek agak tenat sekarang," ujar Fattah, terus mengajak Sarah masuk ke dalam bilik mak andak.
Sarah terkejut melihat keadaan neneknya yang sedang berbaring di atas katil. Badannya makin cengkung dan wajahnya kelihatan pucat. Mesin bantuan diperlukan untuk dia terus bernafas.
"Nenek sakit apa, Fattah?" soal Sarah.
Dia tidak menyangka keadaan neneknya begitu kritikal. Tiba-tiba sahaja air matanya gugur. Fattah hanya menunduk. Dia juga tidak sanggup melihat neneknya dalam keadaan begitu.
"Nenek sakit tua. Dia jatuh masa mandi kat dalam bilik air. Lepas tu, dia terus koma tak sedarkan diri," ujar Fattah, menerangkan satu per satu.
Sarah hiba. Sudah lama dia tidak menjenguk neneknya di kampung semenjak ibunya membawa dia berhijrah ke bandar. Dia berasa amat menyesal kerana terlalu mengikut hati amarahnya selama ini. Sarah menangis di birai katil dengan penuh penyesalan.
***
FATTAH menyerahkan botol air mineral yang baru sahaja dibelinya kepada Sarah yang sedang termenung jauh. Air mata gadis itu tidak berhenti mengalir. Sesekali dikesat air mata itu dengan tangan.
"Saya rasa lebih baik akak balik dulu. Kesian Kak Salina kat rumah seorang-seorang," cadang Fattah.
Dia tidak sampai hati melihat Sarah menangis tanpa henti.
"Mana mak ngah? Dari tadi tak nampak dia pun," soal Sarah, cuba berhenti menangis.
Dia berasa malu menangis di hadapan Fattah.
Fattah memandang sekitar. Mungkin emak angkatnya berada di kawasan berdekatan. Mak ngah selalu ada agendanya sendiri.
"Tak apalah, akak balik dulu. Nanti Fattah balik dengan mak ngah ya," ujar Sarah, terus berlalu meninggalkan Fattah.
Sebelum pulang ke rumah, Sarah singgah semula di bilik neneknya. Dia menyentuh tangan neneknya. Sudah lama dia tidak mencium tangan wanita tua itu.
"Sarah balik dulu, nek," ujar Sarah.
Dia mahu melangkah ke luar dari bilik itu, tetapi langkahnya tiba-tiba mati apabila telinganya terdengar bunyi paip tiba-tiba terbuka di dalam bilik air. Sarah melihat pintu bilik air itu tidak ditutup. Dia terus menghampiri bilik air itu. Semakin hampir dia ke situ, semakin pelik bunyi yang didengarinya. Bulu romanya meremang.
Dia melihat seseorang sedang berbongkok di hadapan singki. Sarah terus memerhatikannya. Tiba-tiba susuk tubuh itu berdiri tegak dan menghadap cermin. Sarah terkejut melihat wajah susuk tubuh itu yang kelihatan hodoh dan mengerikan. Sarah berundur ke belakang dan mahu segera beredar dari situ.
"Sarah baru sampai?" soal mak ngah, tiba-tiba muncul dan berdiri di belakang Sarah.
Sarah yang terperanjat terus menjerit ketakutan. Mak ngah juga terkejut melihat tingkah laku Sarah yang agak cemas.
"Kenapa ni?"
Fattah yang terdengar jeritan Sarah terus menerpa masuk ke dalam bilik neneknya. Mak ngah juga terpinga-pinga. Sarah mahu memberitahu mengenai lembaga yang dilihatnya di dalam bilik air, tetapi bilik air itu kosong. Sarah menggigil ketakutan. Dia tidak pasti sama ada lembaga yang dilihatnya itu hanya bayangannya ataupun nyata.
Tak mungkin aku bermimpi. Gumam Sarah sambil menarik nafas dalam-dalam.
Otaknya ligat memikirkan sesuatu. Tidak mungkin kejadian lalu kembali menghantui hidupnya lagi. Sarah terus beredar dari situ. Nafasnya turun naik. Dia tidak sepatutnya berada di sini sejak awal lagi.
"Kak Sarah!" panggil Fattah.
Dia mahu mengejar Sarah, tetapi dihalang mak ngah. Fattah tidak dapat berbuat apa-apa.
"Biarkan dia pergi! Dia dengan ibunya sama aje," ujar mak ngah sambil mengetap bibir menahan marah.
Fattah hanya diam membisu.
Enjin kereta terus dihidupkan. Sarah terus menyusur laju menuju ke rumah neneknya. Dia tidak mahu duduk di sini lagi. Perkara lama itu tidak mungkin berulang kembali. Sarah akan pulang ke bandar hari ini juga!
YOU ARE READING
PROJEK SERAM RESTROOM - SERIAU
Horror"Jangan biar ia menguasai diri." Mak Andak tidak disenangi penduduk Kampung Serumpun sejak dulu lagi kerana mengamalkan ilmu hitam. Tiada siapa yang mampu menghalau Mak Andak dari kampung itu. Sehingga terjadi satu kemalangan yang menyebabkan Sarah...