Saya tergamam mendengar arahan yang bertalu-talu dari datuk dalam keadaan cemas itu."Saya panas, badan saya berbahang," sahut guru silat sambil mengangkat tikar mengkuang separas kepalanya.
"Teruskan, baca surah Al-Ikhlas sebanyak yang boleh," datuk memberi arahan.
"Baiklah."
Bunyi dengung tidak juga berkurangan, seluruh ruang rumah mula terang-benderang dengan cahaya merah dan hijau. Percikan cahaya itu terkena badan terasa pedih dan sakit.
Kepala saya mula terasa pening tetapi, mata saya masih dapat melihat kecekapan guru silat membungkus badan si sakit dengan tikar lalu digolekkan ke tepi dinding. Benda bulat yang bercahaya itu terus mengecil dan akhirnya hilang. Telinga saya terasa macam pekak.
Bila datuk yakin keadaan beransur aman dan tenang, ia mula melangkah menuju ke arah guru silat yang sedang membuka tikar mengkuang untuk mengeluarkan si sakit yang berada di dalamnya.
Sayang, baru tiga tapak datuk melangkah kelihatan satu sinaran cahaya muncul cara tiba-tiba di tengah bumbung rumah. Cahaya itu jatuh berdentum atas lantai. Rumah terasa bergegar dan akibat dari gegaran itu, saya terdorong ke kanan. Mulut saya berlaga dengan papan dinding. Bibir saya pecah dan berdarah."Kepala manusia," jerit saya macam kena histeria bila melihat kepala tanpa badan terlekap atas lantai, betul-betul di tempat cahaya dari bumbung jatuh. Bahagian lehernya terlekap atas papan dengan darah merah melimpah di permukaan lantai. Badan saya terus menggeletar.
Saya renung ke arah isteri si sakit yang terkulai di tepi dinding. Wajahnya pucat. Dadanya nampak berombak membuang dan menarik nafas cemas. Dia kelihatan bagaikan tidak bermaya. Guru silat terdiam, begitu juga dengan si sakit terus diam dalam gulungan tikar mengkuang.
Dalam keadaan yang takut dan cemas itu, saya terus merenung ke arah kepala tanpa badan di atas lantai. Wajahnya amat menakutkan. Kulitnya kelihatan kasar dan penuh parut bekas jerawat. Rambutnya panjang dan lebat menutup sebahagian dari permukaan mukanya. Dahinya dililit dengan kulit ular sawa.
Paling menakutkan bila melihat hidung yang besar dan dempak itu bergerak setiap kali menarik dan melepaskan nafas, tidak ubah macam perut katak yang bernafas. Mata kirinya terpelohong seolah-olah macam ada kepala ular tedung terjengkul di situ. Biji mata sebelah kanannya tersembul sebesar telur ayam. Ia bagaikan tersengih ke arah saya mempamerkan giginya yang bersiung di sebelah kiri.
Kepala itu bergerak ke arah saya dengan menyemburkan air liur kental berwarna kekuningan macam nanah. Saya bagaikan kena pukau tidak terdaya menggerakkan badan."Tuk, tolong saya," saya menjerit.
"Kamu jangan bergerak Tamar," sahut datuk.
"Saya ikut cakap datuk, saya takut tuk."
"Duduk diam-diam di situ."
Saya pun mengeraskan badan. Kepala itu terus bergerak dengan darah yang berlimpah-limpah. Sesekali saya terpandang kepala ular tersembul dari mata kirinya. Tanpa disedari seluar yang saya pakai terus basah. Bau busuk dari kepala tanpa badan mendekati saya membuat saya mahu muntah.
"Hupppp," jerut datuk lalu menerkam ke arah kepala tersebut sambil melepaskan satu sepakan kencang. Kepala atas lantai melayang ke udara macam bola. Berlegar-legar di udara serentak dengan Itu terdengar bunyi suara orang bersorak dan menangis.
Angin dan ribut kedengaran menggila di luar rumah. Terdengar bunyi dahan dan pokok tumbang dirempuh angin yang amat kuat. Bunyi suara harimau, gajah dan kerbau serta lembu kedengaran menguasai ruang rumah. Saya tidak tahu dari mana suara tersebut datang.
Kepala yang berlegar-legar di awang-awangan itu, terus bergerak dari sudut ke sudut ruang. Darah bercucuran menitik atas lantai dari bahagian bawah kepala iaitu di bahagian leher yang terpotong. Darah segar itu terus mengembang di lantai. Guru silat terpaksa menutup kepala dan badan isteri si sakit dnegan kain untuk mengelakkan dari terkena titik-titik darah dari kepala tanpa badan yang terbang.