Cawan Bergerak Sendiri

758 26 0
                                    


"KENAPA Tamar?"

"Saya tak mahu pak guru."

"Kamu takut, kalau tongkat ni bukan tongkat sebenar, tongkat palsu."

"Hum..." saya tertunduk merenung lantai.

Guru silat terus menggosok-gosok batang tongkat dengan secebis kain kuning. Saya hanya tersenyum merenung ke arah guru silat. Saya terus ke dapur membuat air kopi. Datang ke ruang tengah dengan dua cawan kopi yang masih panas.

Guru silat senang hati melihat dua cawan kopi yang berasap di depannya. Ia terus letak tongkat atas lantai. Dengan tenang guru silat menghirup kopi.

Bila guru silat berpusing ke kanan. Cawan kopi yang dipegangnya terlepas dari tangan. Jatuh atas lantai. Air kopi melimpah dan serpihan tembikar cawan berserakan. Telinga saya mula diasak oleh bunyi deru angin yang amat kencang di luar. Muka guru silat terus menjadi pucat.

"Kenapa pak guru?"

"Tongkat tadi dah hilang, kau lihat sendiri."

"Ya," ungkap saya cemas sambil merenung ke arah lantai yang beberapa saat tadi terdapat sebatang tongkat berada di situ.

Saya jadi menggelabah, selera untuk minum kopi terus mati.

Badan terus terasa dingin, desiran angin bertambah hebat bunyinya di luar. Saya mula terlihat dedaun tingkap yang rapat seakan-akan bergerak-gerak seperti ada sesuatu yang menekannya dari luar.

"Aku rasa ada sesuatu yang tak kena di rumah ni. Sekarang kau tengok sendiri Tamar. Bukankah sudah aku katakan tongkat pesaka itu memang berpuaka."

"Ya," saya mengangguk dengan nasa gementar.

"Sepatutnya tadi, aku bakar saja tongkat sial itu," sebaik guru silat berkata demikian, terasa seluruh rumah bergegar dan bergoyang. Cawan kopi jatuh dan air kopi terus melimpah di lantai. Saya dan guru silat terpaksa berpaut pada dinding.

Anehnya, gegaran itu cuma berlaku beberapa minit saja. Bila keadaan kembali tenang, saya pun terdengar suara Azan berkumandang. Bunyi deru angin yang hebat terus menyepi. Guru silat yang tersandar di dinding meluruskan kedua belah kakinya. Sepasang matanya merenung tajam ke arah lelangit rumah.

"Aku pening Tamar." Sebaik saja guru silat mengakhiri kata-katanya, dia terus terkulai di situ. Saya jadi cemas, tidak tahu apa yang harus saya lakukan untuk mengatasi keadaan yang agak gawat itu. Entah macam mana, saya merasai badan saya melayang-layang.

Tiba-tiba saya terasa ada sesuatu yang menghentak pangkal bahu sebelah kanan. Pandangan saya jadi berpinar-pinar. Sayup-sayup terdengar gema besi berlaga sama sendiri yang amat memekakkan.

Seluruh sendi saya terasa lemah. Saya tidak terdaya berdiri. Badan terasa melayang-layang. Ketika itu juga saya terasa berada di satu tanah yang lapang. Saya melihat bermacam-macam jenis binatang dari yang berkaki empat hingga berkaki dua dan termasuk dari jenis yang melata atas bumi.

Di hujung tanah lapang, saya melihat api yang cukup besar. Bahangnya terasa menyentuh kulit tubuh. Badan saya berpeluh dan api yang marak itu kian mendekati saya.

Cara yang paling baik dan terselamat dari hangus dimamah api ialah berlari ke mana-mana dengan sekuat hati. Saya pun berlari arah ke utara dengan sekuat hati. Tidak saya duga api yang marak itu terus memburu saya. Apa yang terdaya saya lakukan ialah berlari dan terus berlari hingga sampai ke kawasan pinggir gunung. Sebaik saja sampai di situ, seorang lelaki berbadan besar dengan rambut hitam lebat menutup kedua belah sayap bahunya, ketawa ke arah saya.

Lelaki berbadan besar itu mengambil seketul batu besar di kaki gunung. Batu itu dilemparkannya ke arah saya. Tidak ada kesempatan untuk saya menyelamatkan diri. Saya terpaksa menyerahkan diri pada keadaan. Batu itu terus menghempap badan saya.

Siri Bercakap Dengan Jin JILID 6Where stories live. Discover now