Atas perintah datuk, tingkap yang terdedah saya rapatkan. Guru silat, saya lihat terus menggeliat. Dedaun dan pepasir yang bertaburan atas lantai segera disapunya. Datuk nampak tenang tetapi, dahinya berkerut.Bila rumah sudah bersih, datuk segera ambil tiga biji bantal. Saya hanya melihat datuk menyusun tiga bantal itu selari di ruang rumah dan letakkan bersetentangan dengan tulang bumbung. Saya tidak tahu kenapa datuk berbuat demikian. Kerja datuk itu, macam kerja orang bodoh.
Kebuntuan dalam kepala saya segera berakhir, bila guru silat mengajukan pertanyaan pada datuk:"Kenapa bantal diletakkan macam tu?"
"Petua orang tua-tua."
"Petua apa?"
"Petua menghalang syaitan dari menumpang tidur."
"Banyak sangat guna petua. Kenapa tak gunakan ayat-ayat Quran untuk halau syaitan."
"Kita berusaha mencari sesuatu yang baik. Kalau apa yang kita buat tidak bercanggah dengan hukum agama, apa salahnya kita gunakan. Kita gunakan kedua-duanya untuk kebaikan, ini lebih baik dan berkesan."
"Betul juga cakap awak tu, kita mencari sesuatu yang baik," suara guru silat lembut. Datuk anggukkan kepala beberapa kali. Saya segera menggaru pipi kanan.
"Sekarang, awak dah tahu rahsianya," datuk terus menepuk belakang guru silat beberapa kali sambil ketawa.
Saya cuma tersenyum melihat keramahan dan kemesraan yang terjalin.
"Saya dah Faham, saya mahu belajar dari awak lagi," sahut guru silat bila ketawa datuk berhenti.
"Boleh, asalkan awak sabar."
"Lebih dari sabar mahu saya buat, apa yang awak cakap semuanya nak saya patuhi."
"Ini sudah cukup baik," senyum datuk kian melebar.
"Saya tetap baik untuk selama-lamanya," tingkah guru silat.
Lagi sekali datuk dan guru silat berbalas tampar-menampar bahu. Mereka ketawa dan melangkah serentak menuju ke ambang pintu. Wajah keduanya, kelihatan tenang dan penuh keyakinan. Saya mengikuti dari belakang. Tugas merapatkan daun pintu dan menguncikannya adalah tanggungjawab saya. Senang rasa hati saya bila tugas itu dapat saya laksanakan dengan sempurna.
"Berhati-hati sebelum memulakan langkah," ujar datuk sebaik saja sampai di anak tangga terakhir.
Sepasang matanya menatap wajah saya dan guru silat, penuh kelembutan. Saya anggukkan kepala tetapi, guru silat mempamerkan gigi dan gusi pada datuk.
"Tamar."
"Ya, tuk."
"Mulakan melangkah dengan kaki kanan sambil membaca Bismillah, serahkan semuanya pada Allah."
"Saya faham tuk."
"Kamu ni, bila aku ingatkan, jawabnya faham. Bila disuruh buat kamu selalu terlupa."
Saya segera menundukkan muka. Sindiran datuk cukup tajam tetapi saya tidak terdaya untuk menafikan kebenaran dari kata-katanya itu. Guru silat merenung ke arah saya sambil melemparkan senyum. Saya bertambah malu. Kulit muka terasa tebal.
"Orang muda memang selalu lupa," secara mendadak guru silat bersuara. Mungkin guru silat mahu memberikan kekuatan semangat pada saya.
"Perangai buruk macam tu, mesti dibuang," balas datuk.
"Betul juga cakap awak," sahut guru silat, lalu menghulurkan kaki kanannya memijak tanah. Kami pun meninggalkan kawasan rumah pusakan peninggalan orang tua guru silat.