AKU campak beg tangan di hujung kusyen dan merebahkan badan. Tidak aku hiraukan Abang Is yang melintasi ruang tamu dan naik ke tingkat atas. Lengan kananku berlabuh di dahi. Sejak akhir-akhir ini, badanku selalu terasa letih. Lebih-lebih sejak kehadiran bos baru bernama Irfan Mukhriz Tan Sri Zainudin.
"Ayu... penat sangat Ummi tengok?" Aku buka mata sedikit pandang Ummi yang berdiri menghadapku. Sedikit pun aku tidak berganjak dari pembaringan.
"Letih Ummi... banyak kerja hari ni" Omelku perlahan. Kelopak mataa aku rapatkan kembali.
"Selalunya Ummi tak pernah dengar pun Ayu komplen pasal kerja kat pejabat tu? Kenapa.. bos lelaki Ayu tu buat hal lagi ke?" Ummi berusaha untuk berbual denganku. Terpaksalah mata yang terpejam tadi aku buka seluasnya.
"Tak adalah Ummi.. biasa aja. Ayu dah lali dah dengan dia. Asalkan dia tak melampaui batas, sudahlah!"
"Bangun sekejap. Ada perkara Ummi nak bincang dengan Ayu" Dengan malas aku turunkan kaki dan menyandar lemah.
"Ada apa Ummi?"
"Lepas Isyak nanti ikut Ummi dan Babah pergi rumah Datin Maziah, ada kenduri kesyukuran" Majlis kenduri? Adusss.. tersangatlah malasnya mahu pergi. Kalau aku turuti pelawaan Ummi, entah jam berapa pulangnya nanti. Entah pukul berapa pulak aku boleh tidur?
"Malam Jumaat macam ni pun ada yang buat kenduri ke Ummi?"
"Mestilah ada, sebelum tu Solat Isyak berjemaah dan majlis tahlil sekali. Datin Maziah buat kenduri bagi menyambut anak lelakinya yang baru habis belajar di Jerman. Dah jadi engineer budak tu"
"Maksud Ummi, Abang Hazrin ke?"
"Hah, iyalah! Siapa lagi? Takkan Ayu tak ingat? Dulu masa kecik-kecik, Ayu selalu ikut Is dan Hazrin kayuh basikal sampai ke hujung taman sana tu" Mana mungkin aku lupakan Abang Hazrin kawan baik Abang Is dulu? Abang Hazrin seperti abangku juga.
"Tapi.. Ayu penatlah Ummi.... kepala berat sangat. Ayu ingat nak tidur awal. Kirim salam pada Untie Maziah dan Uncle Khalid. Err..... untuk Abang Hazrin sekali ya? Ayu ucap tahniah!"
"Ishhh, budak ni... Datin Maziah yang beria-ria suruh bawak Ayu. Mana tau boleh kenal-kenal ke dengan Hazrin tu?"
"Lah... Ummi ni? Kan Ayu dah cukup kenal dengn Abang Hazrin tu. Nak kenal apa laginya?"
"Memanglah Ayu dah kenal, tapi tu masa kecik-kecik dulu. La ni dua-dua dah besar panjang. Mana tahu berkenan ke, bolehlah Ummi berbesan dengan Datin Maziah!"
"Ummi.... Ke situ pulak! Seganlah Ayu. Abang Hazrin tu lulusan luar negara. Yang Ayu pulak, hanyalah graduan UiTM. Setakat dengan Ayu, dah sah-sah Abang Hazrin tak pandanglah kat Ayu. Entah-entah, malam nanti dia akan kenalkan bakal menantu Datin Maziah. Hah..... terlopong Ummi dan Untie Maziah nanti" Aku mencipta alasan sendiri untuk menyelamatkan diri.
Dari dulu, aku jarang mahu mengikut Ummi dan Babah ke majlis-majlis yang dihadiri jiran-jiran yang agak tinggi pangkatnya. Ada kalanya mereka membandingkan aku dengan anak-anak mereka yang mereka banggakan dengan kerja yang bagus-bagus.
"Kalau Ummi mintak buat apa-apa, ada saja alasannya. Menjawab, menjawab ajalah kerjanya"
"Ala Ummi.. please.. Ayu letih sangat!" Aku melentok di bahu Ummi. Alah.. bukan susah sangat nak cairkan hati Ummi. Aku kan, anak bongsu Ummi dan Babah!
YOU ARE READING
AKU SAYANG KAMU
Ficción GeneralAKU SAYANG KAMU ISBN No : 978-967-0657-13-4 JUMLAH MUKA SURAT : 705 Harga : RM25.00 TERBITAN: LOVE NOVEL PUBLICATION untuk online order sila klik sini : http://www.lovenovel.com.my/product/aku-sayang-kamu/