Tiba-tiba saya tersedak. Mata dan hidung terus berair. Dan sepasang mata datuk tertumpu ke wajah saya. Renungannya begitu tajam. Tangan kanan saya yang memegang cawan teh terus menggeletar. Perlahan-lahan cawan itu saya letakkan kembali ke tempat asalnya (dalam talam kecil). Mahyuddin terus menepuk belakang saya perlahan-lahan, kemudian dia mengurut-ngurut dua tiga kali di bahagian tengah tulang belakang. Perjalanan nafas terasa normal kembali.
"Tak apa, tersedak tengah minum, menurut kata orang tua-tua, ada orang yang menyebut nama kamu Tamar", ujar Mahyuddin.
"Itu tandanya, minum tak menyebut kalimah Allah, cuba baca Bismillah tadi, tentu tidak begitu jadinya", sahut datuk.
Saya segera berpaling ke arahnya. Saya menggigit bibir, renungan datuk tidak lagi setajam tadi. Tetapi, saya tahu datuk begitu kesal dengan sikap yang telah saya lakukan itu.
"Dia tak sengaja, usahlah dikesalkan", Mahyuddin bersuara.
"Saya tahu, kalau dari sekarang tidak ditegur nanti perbuatan itu diulang lagi. Malu kita bila disebut orang membela cucu yang tak tahu adat dan tak senonoh", jawab datuk.
"Sudahlah, masih boleh dibetulkan", balas Mahyuddin sambil tersenyum pada datuk.
Dari tingkap yang terdedah, saya dapat melihat awan petang yang berarak perlahan-lahan arah ke selatan, sesekali ternampak burung gagak terbang rendah mencari ulat di daun pisang nangka dan embun. Kerana datuk tidak menjamah pisang goreng dan air teh, Mahyuddin terpaksa membawa barang-barang itu ke dapur. Datuk sandarkan badan pada dinding rumah. Dahinya kelihatan berkedut macam memikirkan sesuatu, saya masih lagi melihat gumpalan awan serta burung gagak yang terbang bebas di luar.
"Kalau mengantuk bawa baring dulu", kata Mahyuddin pada datuk.
Saya bagaikan terkejut dan merasa hairan, bila masanya Mahyuddin melintas di hadapan saya dari ruang dapur menuju ke ruang tengah. Berdasarkan pada tempat yang saya duduk itu, sesiapa saja yang mahu pergi ke dapur atau dari dapur mahu ke ruang tengah mesti melintas di hadapan saya. Ah, ini memang perkara pelik, macam mana saya tak boleh sedar langsung Mahyuddin melintas. Agaknya, dia mahu menguji kepandaian datuk lagi. Memanglah manusia Mahyuddin ini tidak boleh dipercayai. Semua persoalan itu bermain-main dalam kepala saya. Rasa curiga berbunga kembali dalam hati. Datuk harus diberitahu tentang hal ini, biar datuk bertindak segera, kalau lambat bertindak nanti celaka menimpa diri.
"Apa yang kau fikir Tamar?", tanya datuk dengan mendadak.
"Mahyuddin tuk", kata saya semacam berbisik.
Datuk tersenyum sambil menepuk bahu kiri saya berkali-kali. Datuk kembali duduk di tempat asalnya. Sesungguhnya saya tidak sedar masa bila datuk merapati saya. Mahyuddin yang duduk berhadapan dengan datuk, tersenyum ke arah saya. Dia bagaikan tahu apa yang tersirat dalam dada saya.
"Cucu awak memang pemerhati orangnya", kata Mahyuddin pada datuk.
"Betul kah cakap awak ni?"
"Saya bercakap setelah melihat, tadi sengaja saya menghilangkan diri di hadapannya ketika dia termenung panjang, rupa-rupanya dia sedar, malah langkah saya ke dapur dikiranya", tambah Mahyuddin lagi.
Datuk tarik nafas panjang. Begitulah perangai datuk, dia semacam tidak senang bila ada orang memuji saya secara . berhadapan. Saya garu pangkal dagu beberapa kali, kembang juga rasa hati bila menerima pujian begitu. Mahyuddin memperkemaskan silanya. Datuk pula sandarkan badan ke dinding. Mereka sekarang berada dalam keadaan yang cukup selesa. Angin petang yang masuk ikut jendela memberikan rasa segar pada mereka. Barangkali, datuk dan Mahyuddin senang berada dalam keadaan demikian. Bagi diri saya tidak pula begitu, saya rasa jemu duduk dalam rumah tanpa melakukan sesuatu.
"Apa hajat sebenar awak menjemput saya ke mari. Cakaplah, kalau boleh saya tolong, tetap saya tolong, kalau tak boleh saya menolak", senang hati saya bila datuk bersuara demikian.
Datuk mahu menyelesaikan masalahnya dengan segera dan dengan segera pula dia mahu meninggalkan rumah Mahyuddin. Saya lihat Mahyuddin mengerutkan dahi luasnya, lama benar dia termenung. Dia seperti berada dalam keadaan serba salah. Tiba-tiba Mahyuddin bangun dan menuju ke tingkap. Berdiri di situ dengan membelakangi datuk. Mahyuddin merenung ke arah pokok-pokok yang tumbuh subur di lereng sebuah bukit yang tidak jauh dari rumahnya.
Melihat bentuk tubuh Mahyuddin dari belakang, memang menarik serta menampakkan ciri-ciri seorang pahlawan. Bidang belakangnya lebar, kedua belah pangkal lengannya kelihatan tegap. Cukup sajak dia berdiri, kena pula dengan tubuhnya yang tinggi.
"Aku telah berjanji dengan diri sendiri, engkau adalah satu-satunya sahabat ku dunia akhirat", Mahyuddin pusingkan badan merenung wajah datuk.
"Jadi apa yang engkau mahu aku lakukan untuk menguatkan persahabatan tu Mahyuddin?"
"Apa yang ada pada saya, mahu saya nyatakan pada awak."
"Jangan bergurau kawan."
"Saya tidak bergurau tentang sesuatu yang benar."
Datuk terdiam mendengar kata-kata Mahyuddin i tu. Dengan lemah Mahyuddin melangkah merapati datuk. Mereka duduk berhadapan. Mahyuddin letakkan tangan kanannya atas kepala lutut datuk dengan tenang.
"Ada rahsia yang mahu saya tanyakan pada sahabat", bisik Mahyuddin.
"Silakan", datuk tersenyum. Bahu Mahyuddin ditepuknya dua tiga kali. Mereka berbalas senyum. Anehnya, Mahyuddin tidak terus mengajukan pertanyaan pada datuk. Ada keraguan yang terpamer di wajah Mahyuddin.
"Tanyalah apa yang mahu kau tanyakan pada ku, apa rahsia yang mahu kau katakan pada ku Mahyuddin?"
"Sahabat juga membela harimau seperti saya."
"Tidak."
Muka Mahyuddin jadi pucat, bila dia mendengar datuk menyebut perkataan 'tidak' dengan serta merta dia menekup mulutnya dengan kedua belah telapak tangannya. Dahi Mahyuddin kelihatan berkerut. Saya kira Mahyuddin merasa kesal dengan apa yang telah dilakukannya. Dia bimbang dengan tindak tanduknya itu, perasaan datuk akan terguris.
"Maafkan saya", Mahyuddin tersipu-sipu.
"Tak apa, setiap orang berhak bertanya dan menyoal, perbuatan kamu tidak salah."
"Tapi, boleh melukakan perasaan orang."
"Tidak,kerana aku sememangnya tidak membela harimau, cuma ada orang yang berpendapat aku membelanya", datuk membuka rahsia diri.
Mahyuddin anggukkan kepala. Saya mula resah tidak menentu, memang bosan duduk dalam rumah yang pergerakannya serba terbatas. Saya sandarkan badan ke dinding dan kedua belah kaki saya luruskan. Dan sepasang mata saya kembali tertumpu pada awan serta dedaun yang dapat saya lihat dari jendela yang terdedah.
"Pelik juga, orang yang tidak tahu tentang harimau dapat menguasai harimau", rungut Mahyuddin sambil matanya merenung pangkal dagu datuk.
Kemudian Mahyuddin minta izin dari datuk untuk melihat garis-garis di pergelangan tangan kiri datuk. Permintaan itu tidak dihampakan. Setiap bulu roma dan kedut kulit lengan datuk ditatap oleh Mahyuddin dengan teliti, sesekali dia menggosok lengan datuk dengan telapak tangannya perlahan-lahan macam mencari atau merasa sesuatu.
"Berdasarkan rabaan dan gerak urat-urat sendi awak, memanglah awak tidak memelihara harimau, awak berterus terang dengan saya", Mahyuddin berhenti meraba pergelangan tangan datuk.
Dia termenung sejenak. Kulit dahinya kelihatan berlapis dan kedua belah kelopak matanya kelihatan kian mengecil melindungi sepasang anak matanya yang tajam. Tiba-tiba Mahyuddin melepaskan sebuah keluhan. Belakangnya bertemu dengan papan dinding. Keningnya masih juga berkerut.
"Awak memang tidak ada hubungan dengan harimau tetapi ... "
"Teruskan Mahyuddin", desak datuk.
"Waktu saya mengejar awak dalam hutan, saya selalu di pintas dan disergah oleh harimau, mujurlah saya berjaya mengunci geraknya, kalau tidak mati saya."
"Biasanya harimau yang mengikut saya tidak mengacau atau membinasakan sesiapa kecuali dirinya dicederakan"
"Begitulah, antara kita berdua ada perbezaan dalam menguasai dunia binatang."
"Aku tidak menguasai binatang", kata datuk dengan nada suara yang agak tinggi, seolah-olah menafikan tanggapan yang dibuat oleh Mahyuddin itu.
YOU ARE READING
SIRI BERCAKAP DENGAN JIN - Tamar Jalis ( JILID 3 ) COMPLETE!
HorrorSebenarnya Siri Bercakap Dengan Jin berbentuk memoir autobiografi Tamar Jalis dengan datuknya Kulup Muhamad Diah @ Long Mat Piah. Enam puluh peratus kandungannya berdasarkan kisah benar dan pengalamannya dengan datuknya pada zaman kanak-kanak mahupu...