Perlahan-lahan datuk meraba dahi saya. Dari dahi jejari datuk merayap ke pangkal tengkuk. Saya rasa jejari datuk sejuk macam ais.
"Keadaan badan kamu macam biasa, tidak panas dan tidak pula sejuk, berdasarkan denyut darah yang aku rasa dari kepala hingga ke pangkal tengkuk, kau masih ada harapan."
"Maksud datuk?"
"Lumpuh di kaki kamu boleh sembuh jika diizinkan oleh Allah, cuma aku mesti berusaha."
"Bawa saya ke hospital untuk diperiksa, saya tidak mahu berubat dengan dukun dan bomoh."
"Kalau itu yang kamu mahu, aku turutkan," balas datuk dengan senyum.
Pintu yang terdedah terus juga menghantar angin malam ke dalam rumah. Suara jampuk sudah tidak sehebat tadi, begitu juga dengan bunyi burung hantu. Sesekali terdengar bunyi suara burung cenderawasih yang terbang berkawan. Kokok ayam jantan pun meningkah dalam suasana malam yang memburu pagi.
"Mudah-mudahan Allah akan memberkati segala usahaku," datuk melahirkan harapan, sambil meraba kedua belah kaki saya yang lumpuh dan saya memang mengharapkan apa yang datuk katakan itu akan menjadi kenyataan.
"Sabar Tamar, aku akan berusaha." Sebaik sahaja datuk mengakhiri kata-katanya, satu pancaran kilat melemparkan sinarnya ke dalam ruang rumah. Datuk dan saya terkejut seketika."Barangkali hari nak hujan Tamar?""Agak-agaknya begitulah tuk."Datuk terus bangun. Ia memulakan langkah menuju ke pintu. Langkah satu, langkah dua, dan tiga berjalan lancar. Langkah keempat segera terbantut. Diganggu oleh bunyi petir yang amat kuat. Datuk segera menoleh kearah saya. Bunyi angin kencang jelas kedengaran melanggar dedaun dan reranting pokok di luar. Angin itu seolah-olah berlegar-legar di kawasan rumah.Datuk pun menghidupkan langkah yang mati. Ia berdiri di muka pintu sambil kedua belah tangannya merapatkan daun pintu. Datuk terus memasang selak pintu. Bunyi titik-titik hujan mula kedengaran bersama dengan tiupan angin. Rasa dingin mula menyerbu tubuh badan. Kokok ayam jantan terus kedengaran."Hujan tu rahmat Allah, menyegarkan pokok-pokok. Kata orang hujan menjelang Subuh membawa berkat pada orang yang jaga, membawa celaka pada orang yang tidur.""Silap tu tuk, sebetulnya membawa nikmat pada orang yang tidur dan tidak membawa apa-apa pada orang yang jaga.""Dari mana kau belajar semuanya ini Tamar?""Dari kawan-kawan tuk."Saya lihat datuk tersenyum panjang mendengar kata-kata itu. Ia terus duduk di sisi saya. Kedua belah kaki saya yang lumpuh diurutnya perlahan-lahan."Celaka pada orang yang tidur maksudnya, orang itu tidak akan bangun menunaikan sembahyang Subuh kerana terlalu seronok tidur waktu hujan dan syaitan akan membekalkan dirinya dengan mimpi-mimpi yang indah. Berkat pada orang yang jaga kerana ia dapat menunaikan sembahyang Subuh dengan sempurna," datuk menjelaskan pada saya. Saya terus anggukkan kepala membenarkan kata-katanya itu.Hujan lebat yang bermaharajalela di luar membuat saya menguap dan rasa mengantuk yang amat sangat. Dua tiga kali saya tersengguksengguk macam ayam mabuk tahi. Kalau datuk tidak ada di sini, sudah lama saya berdengkur."Aku nak sembahyang jemaah di masjid Tamar.""Hujan, macam mana tuk nak pergi?""Walau macam mana susah pun, perintah Allah tidak boleh diketepikan. Aku ni sihat dan diberi akal, lagi pun masjid bukannya jauh dengan rumah, aku pakai payung, kalau tak ada payung cari daun pisang.""Uzur macam saya ni tak payahlah sembahyang tuk.""Kena, kalau kau tak boleh bangun, boleh sembahyang cara duduk, soal utama perintah Allah mesti ditunaikan.""Hum...," keluh saya dalam hati.Datuk segera mengejutkan nenek. Kemudian, ia terus keluar ikut pintu dapur. Pesan datuk, nenek mesti menjaga saya supaya jangan terlelap kecuali matahari sudah memancar, saya dibenarkan tidur."Jaga si Tamar tu jangan sampai ia tertidur, kalau tertidur sentap kedua belah kakinya sekuat hati," saya dapat mendengar pesan terakhir dari datuk.Kerana tidak mahu kaki saya ditarik secara mengejut, saya mengambil keputusan tidak akan tidur hingga tengahari. Salah satu cara bagi mengelakkan saya tertidur, saya minta nenek bercerita sambil memicit kedua belah kaki saya. Permintaan saya itu ditunaikan oleh nenek. Baru sahaja nenek mahu memulakan cerita dan mengurut, terdengar azan Subuh dalam deru hujan. Suara azan itu sungguh merdu dan menusuk perasaan. Saya terpegun sambil mengingati kebesaran Allah yang menjadikan alam semesta."Biar aku sembahyang dulu, jangan tidur," nenek mengingatkan saya dan terus menuju ke ruang dapur untuk mengambil air sembahyang.Nenek menunaikan fardhu Subuh dekat saya. Masa nenek sembahyang itu saya dapat peluang merapatkan kedua belah kelopak mata. Tetapi, saya tidak dapat tidur dengan sempurna, bila mahu terlelap, saya didatangi oleh mimpi-mimpi yang menggerunkan, membuat saya terjaga kembali. Setelah selesai menunaikan sembahyang nenek terus ke dapur. Ia kembali menghampiri saya dengan membawa mangkuk tembikar besar berisi kerak nasi bercampur air dingin."Buat apa benda ni nek?""Untuk mengubat kaki kau, supaya urat-uratnya jangan kaku." Nenek terus melumurkan kerak nasi pada sepasang kaki saya.Aduh, sejuknya sampai ke tulang. Nenek tersenyum melihat wajah saya yang berkerut-kerut. Saya merasa beruntung kerana nenek hanya melumurkan kerak nasi ke kaki sebanyak tiga kali. Kalau lebih dari itu, pasti saya terkencing. Sebelum matahari terbit di kaki langit, datuk sudah berada di rumah. Ia sudah pun mandi air embun dan melakukan senaman.Mungkin, nenek mahu menjaga hati saya supaya tidak rasa disisihkan. Nenek membawa hidangan sarapan ke tempat saya duduk. Sikap nenek yang mementingkan perasaan orang lain, membuat hati saya rasa gembira. Walaupun saya sakit tetapi tidak terpisah untuk bersarapan bersama nenek dan datuk seperti keadaan sebelum sakit dulu. Selesai sarapan, datuk terus menyatakan pada nenek untuk membawa saya ke hospital. Wajah nenek nampak berubah setelah mendengar kata-kata datuk itu."Kenapa tak berusaha cara kampung?" tanya nenek."Kita sekadar memenuhi hajat Tamar.""Kalau tak mahu sembuh bagaimana?""Kita cuma berusaha, doktor yang mengubat orang sakit tu pun berusaha, dia tidak dapat menentukan penyakit seseorang itu boleh sembuh, tanpa diizinkan Allah.:"Saya faham, selalunya awak tidak begitu, awak tak suka berubat dengan doktor.""Awak silap, saya tak suka tu, kalau sakit itu terjadi pada diri saya, pada orang lain saya galakkan jumpa doktor, bukankah doktor tu belajar dan mempunyai alat-alat yang lengkap, kita cuma ada petua saja.""Begitu pula," keluh nenek.TEKSIDatuk terus meninggalkan saya dan nenek. Ia pergi mencari teksi. Setengah jam kemudian, datuk kembali dengan teksi tua milik Awang Said. Saya pun diusung ke dalam teksi. Duduk di bangku belakang bersama nenek. Datuk duduk di hadapan bersama Awang Said.Dalam perjalanan menuju ke hospital daerah yang terletak di bandar kecil Lumut, datuk terus berborak rancak dengan Awang Said. Sampai sahaja di hospital yang terletak di atas bukit kecil yang menghadapi Selat Dinding, saya diusung ke bilik pemeriksaan.Doktor yang memeriksa saya ialah Doktor M.K. Menon. Orangnya peramah, pandai berbahasa Melayu meskipun ia dari keturunan Ceylon. Setelah diperiksa, doktor terus menyatakan pada datuk semua gerakan darah dalam kaki saya berjalan lancar dan baik. Doktor itu merasa pelik bagaimana sakit lumpuh itu boleh terjadi. Kaki saya terus di X-ray. Hasil dari X-ray juga menunjukkan urat-urat di kaki berada dalam keadaan baik, tidak ada yang tersimpul atau terputus. Keadaan darah juga macam biasa. Saya jadi lemas dan bosan kerana terlalu banyak pemeriksaan dilakukan sebelum saya diletakkan dalam wad.Sebulan lebih saya merengkok dalam hospital. Hari-hari daging paha saya disuntuk, kesanya tidak mendatangkan apa-apa, tidak ada tanda-tanda sakit lumpuh yang saya alami akan sembuh. Walaupun demikian, hati saya tetap terhibur. Setiap pagi nenek mengunjungi saya untuk melumurkan kerak nasi di kaki. Nenek tidak peduli dengan teguran beberapa orang jururawat yang bertugas di wad tersebut yang melarangnya membawa kerak nasi serta melumurkan ke kaki saya.Nenek menerima larangan itu dengan wajah yang manis, penuh simpati melambangkan sifat seorang wanita kampung yang banyak menyerahkan sesuatu pada keadaan. Tidak mudah mahu melawan atau membantah tetapi banyak merayu."Saya berikhtiar cara orang kampung cu, bukan mahu melawan doktor, saya tahu cu lebih pandai dari saya, doktor lagi pandai, kalau tak boleh sebelah pagi biar saya buat sebelah malam," itulah yang diucapkan oleh nenek setiap kali jururawat yang bertugas menegur perbuatannya.Di Lumut, nenek menginap di rumah anak buahnya yang bekerja sebagai pemandu kereta dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Jarak rumahnya dengan hospital tidak jauh. Tidak sampai setengah batu. Tidak menjadi masalah untuk nenek mengunjungi saya sehari dua kali, pada sebelah pagi dan petang atau pada sebelah malam.Biasanya, pada sebelah petang atau malam, ia ditemani oleh anak buahnya yang dipanggilnya sebagai Din sahaja. Nenek menyuruh saya memanggil lelaki yang kurus tinggi itu sebagai Pak Din. Dalam masa tertentu nenek selalu menceritakan pada saya tentang hubung-kait dirinya dengan Mat Ladin ayah pada Pak Din. Pak Din yang sudah berkeluarga itu juga menasihati saya supaya sabar. Di samping itu, ia juga berjanji akan berikhtiar mencari bomoh atau pawang terkenal dalam usaha menyembuhkan kaki saya yang lumpuh itu.Secara jujur saya katakan pada Pak Din yang saya tidak begitu tertarik untuk mengubati kaki saya yang lumpuh itu dengan dukun atau bomoh. Sebabnya, terlalu sulit mencari seorang dukun yang jujur dan pandai, kebanyakan dukun atau pawang bila mengubati seseorang selalu menurun dengan memanggil roh datuk nenek yang saya kira, perbuatan itu bertentangan dengan ajaran Islam.LAWATPada suatu pagi, setelah nenek pulang. Katil saya dikunjungi oleh seorang lelaki tua. Tinggi lampai orangnya. Dari raut wajahnya, saya dapat meneka bahawa lelaki tua itu berbangsa Cina."Saya Hassan.""Saya Tamar."Saya segera menyambut huluran tangan orang tua itu. Saya mempersilakan ia duduk di katil. Ia memakai seluar warna kelabu tahi anjing. Bajunya berwarna putih yang dibuat dari kain belacu. Bentuknya, seperti bentuk baju yang selalu digunakan oleh pekebunpekebun sayur bangsa Cina. Bahagian tengkuknya bulat, macam tengkuk baju Melayu yang selalu dipakai oleh orang-orang Melayu Johor. Di tempat saya baju jenis ini disebut sebagai baju Melayu Teluk Belanga. Bahagian depan baju orang tua itu mempunyai lima butang. Songkok putih (ketayap) yang dipakainya cukup bersih. Saya kira ia seorang saudara baru Islam (mualaf) yang mahu mengutip derma. Saya nanti ia menghulurkan kertas derma. Tetapi ia tidak berbuat demikian."Dah lama masuk agama Islam?" Orang tua itu merenung muka saya sejenak. Ia tersenyum sambil menepuk-nepuk bahu saya. Kemudian ia menarik nafas, seolah-olah dirinya berhadapan dengan sesuatu kekecewaan yang amat sangat."Setiap orang Melayu yang saya temui, mereka akan bertanya seperti apa yang awak tanyakan, saya tak salah kan mereka kerana mereka tidak tahu.""Cuba terangkan hal yang sebenarnya pada saya.""Nanti dulu, barangkali petang ini, esok atau lusa awak akan tahu juga," balas orang tua itu dengan tenang.Kerana tidak mahu mengganggu fikiran dan perasaannya, perkara itu tidak saya ulangi. Setiap para pekerja hospital Lumut yang bertugas dalam wad tersebut akan memberi salam pada orang itu dengan ramah sekali. Seolah-olah mereka sudah mengenali orang tua itu sejak lama dan orang tua itu tidak dilarang untuk menemui sesiapa sahaja pesakit yang ingin ditemuinya."Anak sakit apa?" tanyanya pada saya."Kedua belah kaki saya lumpuh.""Apa kata doktor tentang sakit tu.""Doktor sendiri tidak tahu puncanya, bila di x-ray dan diselidik, semua urat-urat di kaki saya elok, darah berjalan dengan baik.""Dia tak suruh awak keluar?""Tidak, kata doktor penyakit saya masih dalam kajian, dua minggu lagi doktor pakar dari Kuala Lumpur akan datang memeriksa saya.""Bersabarlah, esok saya datang jumpa awak, kalau diizinkan oleh Allah saya akan cuba mengubati kaki awak.""Ubat kaki saya?""Ya."Orang tua itu terus bangun dan meninggalkan saya di katil, tanpa sempat saya mengucapkan terima kasih padanya. Kepala saya terus digayuti dengan bebagai-bagai persoalan tentang diri orang itu, yang saya anggap sebagai orang tua yang ganjil. Bila nenek dan Pak Din menemui saya pada sebelah petang. Semua yang saya alami pada sebelah pagi saya ceritakan pada mereka. Nenek terus menggesa Pak Din supaya mengambil datuk yang tinggal di kampung. Nenek mahu, datuk mesti berada bersama saya ketika orang tua itu datang."Tak apa sekejap lagi saya ambil dia," Pak Din memberikan ikrar pada nenek. Tidak sulit bagi Pak Din mengambil datuk di kampung yang jaraknya kira-kira tiga puluh batu."Saya pergi ambil dia," tiba-tiba Pak Din bersuara dan terus keluar dari wad.Saya renung wajah nenek yang duduk di sisi saya. Angin petang yang datang dari arah Selat Dinding membekalkan rasa nyaman ke batang tubuh saya dan nenek. Beberapa orang pelawat keluar masuk dari dalam wad. Mereka melawat sahabat handai yang terlantar di situ."Kau kenal orangnya Tamar.""Tak kenal nek.""Habis macam mana dia mahu menolong kau.""Dia datang melawat saya, kemudian berjanji untuk menolong saya."Nenek menggigit bibir bawah setelah mendengar penjelasan dari saya. Matanya merenung saya keluar wad. Macam ada sesuatu yang nenek fikirkan. Macam selalu, sebelum nenek meninggalkan saya, ia pasti menekankan ibu jarinya ke pangkal paha saya. Kenapa ia berbuat demikian, saya sendiri pun tidak tahu.Nenek keluar dari wad. Dengan renungan yang sayu saya melihat nenek melangkah di jalanraya menuruni bukit kecil. Saya kira sepanjang perjalanan menuju ke rumah Pak Din. Ia pasti mendoakan supaya sakit lumpuh yang saya deritai akan berakhir. Malam itu, saya tidak dapat tidur dengan lena. Bahagian kaki saya yang lumpuh terasa amat sakit, macam ditikam dengan jarum. Bisanya bukan kepalang.Selain dari itu, wajah orang tua yang menemui saya pada sebelah pagi tadi, sering-kali datang dalam kepala saya. Bermacam-macam sangkaan buruk terhadap orang tua itu timbul dalam diri saya. Saya ragu-ragu, apakah kedatangannya kelak benar-benar mahu menolong saya atau dia ada menyimpan maksud yang tertentu. Mungkin ia mahu memperdayakan saya. Susah benar saya mahu menyingkirkan semua persoalan itu dari dalam kepala saya.DATANGSaya gembira, ketika matahari pagi melebarkan sayapnya ke dalam wad, nenek dan datuk sudah pun berada di sisi saya. Wajah mereka kelihatan tenang menanti kedatangan orang tua aneh."Kalau ia datang dengan tujuan baik untuk mengubat cucuku, aku terima dengan baik, kalau ia datang dengan niat buruk, ia akan menerima padahnya," kata datuk pada nenek. Saya lihat nenek tidak menjawab kata-kata itu.Beberapa orang jururawat yang bertugas pada sebelah pagi, berkeliaran dalam wad. Mereka buat tidak tahu dengan kehadiran nenek dan datuk ke katil saya, begitu juga dengan para pesakit yang ada dalam wad tersebut. Rupanya, orang tua yang berjanji itu amanah orangnya. Tepat jam sembilan setengah pagi ia sudah berada di tepi katil saya. Berkali-kali ia mengucapkan Alhamdulillah, bila saya perkenalkan dirinya dengan datuk. Mereka terus bersalam."Boleh saya sentuh kaki cucu awak?""Silakan.""Alhamdulillah."Orang tua itu, terus meraba-raba kedua belah kaki saya yang lumpuh. Ia menekan beberapa urat di pergelangan kaki. Semua gerakgerinya diperhatikan oleh datuk dan nenek. Hasil dari sentuhan di urat kaki. Badan saya terus berpeluh."Begini, pagi esok dan lusa saya datang lagi," katanya sambil memberikan saya serangkai buah tasbih. Ia menyuruh saya menyebut perkataan Subhanallah seberapa banyak yang boleh sambil membilang buah tasbih.Ia juga menyuruh saya meyakinkan diri yang saya tidak mengalami sakit lumpuh. Hari kedua, orang tua itu datang lagi. Ia terus memicit urat-urat di pergelangan kaki saya seperti hari pertama. Sebelum pulang, ia membekalkan saya dengan sepotong ayat al-Quran dari Surah al-Waqiah. Ayat itu mesti saya baca pada setiap saat. Pada sebelah petangnya, saya boleh menggerakkan kaki sebelah kanan dengan perlahan-lahan. Hal itu segera saya beritahu pada datuk dan nenek. Mereka gembira. Hari ketiga, orang tua itu datang lebih awal dari biasa. Kali ini semua daging di kedua belah kaki saya dipicitnya hingga lebam.Sakitnya Allah sahaja yang tahu, berair mata saya dibuatnya. Selalunya bila selesai ia mengurut kaki saya, ia terus pulang. Tetapi kali ini ia tidak terus pulang. Ia terus berada di sisi katil saya. Anehnya, bila doktor melawat ke katil saya ia terus bercakap dengan doktor tentang keadaan kaki saya. Doktor hanya tersenyum dan terus mencatat sesuatu di kertas yang tergantung di hujung katil saya.Kira-kira pukul sebelah pagi, ia menyuruh saya bangun dari katil. Tentu sahaja saya tidak dapat melakukan seperti apa yang dikatakannya. Mujurlah, datuk dan nenek memapah saya. Saya dapat berdiri dengan dikapit oleh nenek dan datuk. Kemudian orang tua itu menyuruh datuk dan nenek tinggalkan saya. Saya dapat berpaut pada datuk. Orang tua itu menyuruh datuk memimpin saya berjalan."Tolak," saya terdengar suara orang tua itu. Dan saya dapati datuk meninggalkan saya sendirian. Kerana datuk tidak menolak saya, orang tua segera datang dekat saya dan terus menolak bahu saya.Saya terasa badan saya mahu jatuh ke kanan. Saya cuba mengimbangi badan suapaya jangan jatuh. Dalam keadaan cemas begitu, saya dapat mengimbangi badan saya dan terus melangkah beberapa langkah ke depan dan akhirnya berhenti dekat sebuah katil pesakit lain. Saya terus berdiri di situ, sambil memikirkan apakah kaki saya sudah tidak lumpuh lagi. Saya segera teringatkan cakap orang tua yang menyuruh saya menyakinkan diri bahawa saya tidak lumpuh. Berpegangkan pada keyakinan itu, saya terus melangkah mendatangi katil saya. Ternyata saya boleh berjalan. Kaki saya sudah tidak lumpuh lagi."Alhamdulillah, kaki cucu awak sudah sembuh," kata orang tua itu pada datuk dan nenek.Apa yang menarik perhatian saya, bila datuk dan nenek mengucapkan ribuan terima kasih, orang tua tidak mengucapkan perkataan sama-sama seperti yang dilakukan oleh kebanyakan orang bila menerima ucapan terima kasih. Ia hanya menjawab dengan perkataan Alhamdulillah. Seolah-olah orang tua itu bagaikan tidak mengerti dan faham dengan budi bahasa orang Melayu.Petang itu juga, kaki saya terus diperiksa oleh doktor M.K. Menon. Dan ia mengakui kaki saya sudah pulih seperti sediakala. Bila datuk menyatakan, orang tua itu yang berusaha memulihkan kaki saya, doktor M.K. Menon hanya tersenyum sahaja. Saya dan nenek terus pulang ke rumah Pak Din. Datuk tidak ikut pulang kerana ia mahu bercerita panjang dengan orang tua yang menolong saya itu.Sampai di rumah Pak Din, nenek masih mengingatkan saya supaya jangan bergerak terlalu cergas, menurutnya kaki saya belum begitu baik lagi. Pukul lima petang baru datuk pulang ke rumah Pak Din. Nenek terus mengajak datuk pulang ke kampung. Cadangan nenek itu dibantah oleh datuk, kerana ia sudah berjanji dengan orang tua untuk sembahyang Maghrib dan Isyak bersama di masjid Lumut."Saya setuju, tidur lagi semalam di sini, esok baru balik," ujar Mak Bedah, isteri Pak Din menyokong cadangan datuk. Nenek akur dengan permintaan datuk dan Mak Bedah. Saya tersenyum, kesempatan untuk bermesra dengan anak-anak Pak Din terbuka luas.MASJIDPada mulanya hasrat saya untuk menemani datuk ke masjid ditentang oleh nenek. Alasan nenek cukup kuat kenapa ia berbuat demikian. Pertama, keadaan kaki saya belum begitu kuat. Kedua, orang yang baru sembuh dari lumpuh tidak boleh kena angin dan embun malam."Tak mengapa biarlah Tamar ikut saya berjemaah di Masjid. Lepas sembahyang Isyak, kami balik. Lagi pun saya ada bersamanya," kata datuk."Saya tahu tapi, sejauh mana awak boleh mengawalnya. Awak tahu, kalau kakinya kena embun, salah satu kakinya akan mengecil dan tidak ada mempunyai buah betis.""Dengan izin Allah saya boleh mengawalnya," balas datuk. Nenek terus menarik nafas panjang.Saya dan datuk terus melangkah ke masjid Lumut yang letaknya di suatu kawasan yang agak tinggi. Dari pintu masjid saya dapat melihat pangkalan yang jadi tumpuan orang ramai untuk pergi ke Pulau Pangkor, Damar Laut dan Kampung Baru.Ramai juga yang sembahyang jemaah di masjid tersebut, kebanyakannya terdiri dari kakitangan kerajaan. Lepas sembahyang Maghrib dan Isyak datuk terus membaca al-Quran yang memakan masa hampir satu jam. Orang tua yang merawat saya di hospital juga ada di situ. Ia membaca surah yasin dengan penuh khusyuk. Orang itu menamatkan pembacaan surah yasin. Ia terus mendekati saya sambil tersenyum."Saya harap sakit di kaki tidak akan berulang lagi.""Saya juga berharap begitu.""Bersyukurlah pada Allah," katanya lalu menepuk-nepuk bahu kanan saya.Datuk berhenti membaca Quran. Ia terus menghampiri saya dan orang tua yang duduk di tengan masjid. Semua para jemaah sudah pulang. Sesekali terdengar hembusan angin yang datang dari Selat Dinding menguasai ruang masjid yang luas."Tak balik?" tanya datuk pada orang tua itu."Tidak, saya tak ada rumah, saya bermalam di masjid ini untuk seminggu dua kemudian saya akan berjalan dan bermalam di masjid lain pula.""Macam mana kalau malam ini, bermalam di rumah saudara saya.""Alhamdulillah, saya minta maaf."Datuk menggigit bibir mendengar jawapan dari orang tua itu. Memang perangai datuk, dia merasakan dirinya tidak lengkap, kalau ia tidak mengenali latar belakang orang yang dikenalinya."Maafkan saya, kalau pertanyaan saya kurang menyenangkan diri awak?""Silakan, saya tak marah.""Dah lama masuk Islam?""Sejak berada dalam perut ibu saya.""Awak mempermain-mainkan saya.""Tidak saya bercakap benar."Datuk terdiam sambil merenung wajah saya berkali-kali. Mungkin orang tua itu tahu, apa yang bergolak dalam dada datuk. Dan ia merasakan dirinya perlu menyelesaikan rasa sangsi yang bersarang dalam dada datuk dan saya. Di bawah bumbung masjid yang tenang didakap malam. Orang tua tersebut terus mengungkapkan kisah dirinya pada saya dan datuk.Menurutnya, ia berasal dari Yunan satu daerah di Negara China. Semua penduduk di situ beragama Islam sejak abad ke-8 yang dikembangkan oleh pedagang-pedagang Islam dari Tanah Arab."Minta maaf, kalau saya katakan bahawa kami lebih awal mengenali agama Islam, jika dibandingkan dengan kedatangan Islam ke Melaka. Saya bukan baru sepuluh atau dua puluh tahun beragama Islam, saya Cina Islam tulin, sejak datuk nenek lagi," orang tua itu memperkemaskan silanya."Masih ada lagi kaum keluarga di sana," soal datuk."Itu saya tak tahu, hanya Allah saja yang menyelamatkan diri mereka.""Saya tak faham dengan cakap awak.""Kalau awak mahu memahaminya, saya terpaksa bercerita panjang, mahukah awak mendengarnya.""Mahu," sahut datuk.Orang tua itu tunduk merenung lantai masjid. Kemudian ia membaca doa. Katanya, doa itu untuk para arwah umat Islam di tempatnya. Bila dia selesai membaca doa, wajah datuk direnungnya dengan pandangan yang sayu. Ia pun memulakan ceritanya."Bila komunis berkuasa kebebasan terus disekat, orang-orang Islam di tempat saya ditekan," katanya memulakan kisah dirinya.Menurut orang tua itu lagi, ayahnya menjadi Imam Masjid dan dihormati oleh para penduduk setempat. Pihak komunis kurang senang dengan kegiatan ayahnya. Mereka melarang ayahnya menjadi imam dan menggunakan masjid.Melihat tekanan yang begitu kuat terhadap diri ayahnya membuat ia membentuk satu pasukan yang terdiri dari tiga orang pemuda untuk mempertahankan kesucian agama Islam di samping menghalang anggota komunis dari membunuh dan memukul orang-orang Islam yang sedang bersembahyang."Dua orang kawan saya ditangkap dan dihukum tembak selepas menunaikan sembahyang Zuhur, saya sungguh sedih dengan peristiwa tersebut, dua hari kemudian saya terus bertindak menetak dua orang anggota komunis yang berkawal di kampung saya," orang tua itu berhenti bercerita.Ia menelan air liur dan meraba pangkal hidungnya berkali-kali. Menahan rasa sedih yang mula menggoncang dada. Akibat dari tindakannya yang terburu-buru itu. Dia terus diburu oleh anggota komunis. Ia berpisah dari kedua orang tua yang dicintai.Pada suatu malam ia berjaya meloloskan dirinya masuk ke rumah. Ia terus meminta pertolongan dari ayahnya untuk menyelamatkan dirinya. Ia kecewa bila orang tuanya menyatakan tidak dapat berbuat sesuatu terhadapnya. Orang tuanya menyuruh ia melakukan sembahyang Istikharah. Lepas sembahyang tersebut, orang tuanya menyuruh ia berzikir hingga menjelang fardhu Subuh."Saya masih ingat, ketika saya melakukan sembahyang Subuh, emak saya memasukkan pakaian saya ke dalam beg kecil berserta dengan bekalan nasi serta wang," orang tua itu berhenti bercerita. Ia termenung panjang."Ayah menyuruh saya meninggalkan rumah setelah sembahyang Subuh. Saya keberatan mahu mengikut cakapnya kerana kawasan rumah saya sudah dikepung oleh orang-orang komunis, mereka tahu tentang kepulangan saya," kata orang tua itu pada datuk. Ia mematikan ceritanya."Akhirnya apa yang kau buat?" soal datuk."Ayah terus mendesak supaya saya meninggalkan rumah. Ia menyuruh saya melangkah dengan kaki kanan dan terus membaca doa qunut sepanjang perjalanan di samping meyakinkan yang diri saya dilindungi Allah.""Kau turut cakapnya?""Ya, saya turut cakapnya. Saya terus melangkah dan membaca doa qunut sepanjang perjalanan. Dengan izin Allah, semua anggota komunis tidak nampak saya. Akhirnya, saya bertemu dengan seorang lelaki dan membawa saya ke sebuah pelabuhan lalu saya naik tongkang miliknya hingga sampai ke Singapura.""Hebat pengalaman awak.""Semuanya atas izin Allah."Saya renung muka orang tua itu sejenak. Saya kira ceritanya berakhir di situ sahaja. Sangkaan saya itu tidak tepat. Orang tua itu masih mahu bercerita tentang dirinya.Menurutnya, dari Singapura ia berhijrah ke Semenanjung dan kedatangannya disambut oleh saudara-saudara Islamnya di semenanjng dengan senang hati. Bagi menyarai kehidupannya, ia berniaga buku-buku agama dan minyak wangi. Hasil dari berjimat cermat, ia sudah dua kali pergi ke tanah suci.Orang tua itu juga menceritakan pada datuk ketika di Yunan dulu, ia sempat belajar dari orang tuanya cara-cara mengubat orang yang kena sakit lumpuh dan bengkak paru-paru."Saya tak pakai hantu syaitan, saya memohon pada Allah berdasarkan pada ayat-ayat dari quran. Tetapi, orang yang mahu diubati itu mesti diyakinkan pada diri sendiri.""Awak mengubat orang sepenuh masa?" Datuk cungkil rahsia dirinya."Tidak, saya ni berniaga menjual buku-buku agama, minyak wangi, saya merantau dari satu tempat ke satu tempat.""Kalau dah berniaga kenapa merayau ke hospital.""Ini amal jariah saya, kalau dulu saya pernah ditolong oleh orang, kenapa saya tidak boleh menolong orang terutama orang seagama dengan saya.""Saya berdoa awak akan selamat sejahtera.""Alhamdulillah, memang sudah jadi kebiasaan saya, bila saya tinggal di masjid yang berhampiran dengan hospital saya mesti pergi ke hospital untuk menolong orang-orang yang memerlukan pertolongan seperti cucu awak."Saya mula menguap. Tetapi, datuk saya lihat masih bertenaga. Tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan diri datuk akan mengantuk atau mahu tidur. Ia masih ghairah lagi mahu mendengar cerita dari orang tua itu. Walaupun apa yang ingin diketahuinya dari orang tua itu sudah habis."Cucu awak sakit ganjil, ada syaitan campur tangan." Saya terkejut mendengar cakap orang tua itu. Bulu tengkok saya mula berdiri."Boleh awak menolong saya dalam hal ini.""Minta maaf, awak berusahalah sendiri. Yakinlah syaitan akan kalah dengan kuasa Allah," orang tua itu segera bangun. Ia meminta maaf pada datuk kerana ia mahu tidur."Besok saya akan merantau lagi menjual buku-buku agama ke arah selatan, mungkin dua tiga bulan atau lebih saya akan datang ke sini," katanya lalu merebahkan badan di tepi dinding.Saya dan datuk pun meninggalkan masjid Lumut, kira-kira pukul satu malam. Sepanjang jalan menuju ke rumah Pak Din, suasana terasa amat sepi sekali. Cuma terdengar bunyi deru bunyi angin dari Selat Dinding. Tiba-tiba kaki kiri saya terkena air embun. Sakit datang serta-merta. Tidak terdaya rasanya mahu melangkah. Mujurlah rasa sakit itu tidak lama, cuma lima minit sahaja. Lepas itu kaki saya pulih kembali.Lepas sarapan pagi di rumah Pak Din, datuk bergegas menuju ke masjid dengan harapan untuk menemui orang tua tersebut. Ternyata, kedatangan datuk sudah terlewat. Datuk diberitahu, oleh Tuk Siak masjid, yang orang tua sudah meniggalkan masjid setelah menunaikan sembahyang Subuh. Datuk pulang ke rumah Pak Din dengan rasa hampa."Tak apa, bila ia datang lagi saya beritahu Pak Long," kata Pak Din, ketika saya, nenek dan datuk masuk ke dalam perut teksi.Waktu teksi bergerak meninggalkan bandar kecil Lumut saya melambai-lambaikan tangan pada Pak Din. Sejak hari itu, saya tidak pernah lagi berjumpa dengan Pak Din.Beberapa tahun yang lalu, saya menerima berita Pak Din sudah berhenti dari jadi pemandu di Jabatan Kebajikan Masyarakat. Khabarnya sejak berhenti, Pak Din membuka kedai makan di Lumut yang dikenali sebagai Warung Pak Din.Di samping itu Pak Din juga membawa teksi bagi menambahkan pendapatannya. Anak-anaknya sudah besar-besar belaka dan sudah ada yang bekerja.
Tamat Jilid 3
(Bersambung...)
YOU ARE READING
SIRI BERCAKAP DENGAN JIN - Tamar Jalis ( JILID 3 ) COMPLETE!
HorrorSebenarnya Siri Bercakap Dengan Jin berbentuk memoir autobiografi Tamar Jalis dengan datuknya Kulup Muhamad Diah @ Long Mat Piah. Enam puluh peratus kandungannya berdasarkan kisah benar dan pengalamannya dengan datuknya pada zaman kanak-kanak mahupu...