Bab 57 - Sumpah Seladang Merah

1.7K 38 0
                                    

  Saya lihat datuk kurang senang dengan arahan yang diberikan oleh Sajono pada saya.
"Ayuh, orang muda," suara Sajono lembut.
"Cucu saya, masih bodoh pak."
"Dia harus belajar, mungkin di masa akan datang dia tidak akan berhadapan dengan perkara semacam ini."
"Tapi..."
"Jangan bimbang, biarkan dia lalui pengalaman ini, setidak-tidaknya akan jadi bahan sejarah untuk dirinya. Ayuh," Sajono menggosok-gosok kepala saya.
Badan saya menggeletar. Takut dan bimbangnya Tuhan saja yang tahu. Saya berharap datuk akan berusaha menggagalkan rancangan yang diaturkan oleh Sajono itu.
"Pergi Tamar, jangan kecewakan kepercayaan orang." Kata datuk. Ternyata, saya tidak ada pilihan lain.
Saya pun rapat ke arah Samad Perang yang terlentang, kedua belah kakinya terkangkang. Biji matanya bergerak mengikut gerak geri saya. Dengan hati-hati saya masukkan anak kunci ke lubang kunci. Usaha saya berjaya. Saya renung muka Sajono.
"Kau sudah membuka kunci di kakinya, sekarang rantai dan kunci di bahagian tangannya," perintah Sajono. Saya renung muka datuk minta simpati. Datuk tersenyum.
"Buka kunci di tangannya Tamar," perintah datuk. Saya sungguh kecewa dengan sikapnya itu.
Saya terus membuka kunci di kedua belah tangannya. Bila saya memberi belakang pada Samad Perang, saya terasa ada sesuatu yang menghentak pada pangkal belikat saya. Saya terjerumus di hujung lutut Sajono. Samad Perang mula melompat dan menari, tidak ubah macam orang orang berjoget.
"Bangun nak, kau jatuh sendiri, orang yang sakit tidak menendangmu, ada orang lain yang membuatnya," Sajono melekapkan telapak tangan kanannya di dahi saya.
Badan saya tidak terasa sakit malah macam tidak ada apa-apa yang berlaku pada saya. Saya segera duduk di sebelah datuk. Sajono terus merenung dengan renungan yang tajam dan marah. Samad Perang berhenti menari.
"Duduk di sini," kata Sajono. Samad Perang terus duduk.
Sajono mengeluarkan rotan seni sepanjang enam inci dari celah pinggangnya. Badan Samad Perang dipukulnya lima kali berturut-turut. Kemudian dia menentang biji mata Samad Perang.
Samad Perang angkat kepala dan terus menentang mata Sajono dengan wajah yang bengis. Sajono tetap tenang dan matanya tidak berkedip memanah ke mata Samad Perang. Saya lihat seluruh badan Samad Perang menggeletar dan akhirnya rebah atas lantai.
"Bangun, tentang mata saya," kata Sajono. Samad Perang berusaha bangun. Percubaannya itu tetap gagal, setiap kali dia bangun, setiap kali pula dia rebah.
Mukanya nampak pucat, kedua-dua belah cuping telinganya nampak kecut.
"Awak bangun perlahan-lahan Samad dan kemaskan sila, duduk mengadap saya," ucap Sajono dalam nada suara yang lembut.
Cukup sukar Samad Perang mematuhi arahan Sajono itu. Setelah menghempas pulas, akhirnya Samad Perang berjaya. Duduk bersila di hadapan Sajono. Saya sudah dua kali mengucap. Datuk dan Mamat Bukit tidak berkata apa-apa. Mereka Cuma memperhati dengan penuh teliti segala gerak-geri Sajono dan Samad Perang. Sajono merenung muka datuk dan Mamat Bukit. Mereka berbalas senyum. Sajono rapat pada Samad Perang.
"Yang jahat, yang baik semuanya keluar," suara Sajono meninggi.
Samad Perang rebah kembali. Tidak sedarkan diri. Tidak ada sesuatu yang dilakukan oleh Sajono untuk menyedarkan Samad Perang dari pengsan.
"Biarkan dia sedar sendiri." Beritahu Sajono pada Mamat Bukit dan datuk. Isteri Samad Perang sandarkan badan ke dinding dengan wajah yang tenang.
Malam bertambah tua udara terasa amat dingin sekali. Sayup-sayup kedengaran kokok ayam. Bunyi burung hantu dan jampuk, tidak kedengaran lagi, suara cengkerik juga tidak sehebat tadi. Sesekali terdengar bunyi dedaun rumbia di pinggir rumah berlaga sama sendiri, disentuh angin malam yang bertiup. Samad Perang sedar dari pengsan. Dia terus duduk dalam keadaan yang amat letih sekali. Sajono tersenyum sambil menggosok-gosok kedua belah telapak tangannya. Kemudian, Sajono membetulkan letak songkoknya yang senget. Kain pelikat berpetak besar yang tersangkut di bahu kanan diubah ke bahu kiri.
"Yang jahat jangan datang, yang baik berumah dalam diri," cukup lantang suara Sajono. Mukanya kelihatan merah padam. Anak rambut di kiri kanan pelipisnya bergerak-gerak.
Samad Perang jatuh pengsan lagi. Kali ini, Sajono segera memulihkannya dengan menggunakan kain pelikat.
"Air," muka Samad Perang.
"Berikan," ujar Sajono.
Isteri Samad Perang hulurkan segelas air pada Mamat Bukit dan Mamat Bukit serahkan pada Samad Perang.
"Minum," kata Sajono.
"Terima kasih," jawab Samad Perang.
Semua yang ada di situ merasa gembira. Saya lihat kelopak mata isteri Samad Perang digenangi air jernih. Tetapi dibibirnya tetap terukir segaris senyum yang melambangkan kebahagiaan dirinya.
"Pertama kali saya melihat suami saya bercakap dengan baik dan sopan santun," kata isteri Samad Perang pada datuk. Sajono yang berwajah tenang menggigit bibir. Samad Perang merenung wajah isterinya.
"Kau menangis, Sofiah?"
"Tak, saya tak menangis bang."
"Matamu berair."
"Ya, saya menangis bang, saya gembira kerana abang dah baik."
"Aku tak faham dengan cakap kau Sofiah."
"Abang sebenarnya sakit."
"Sakit?" Samad Perang renung Mamat Bukit.
Saya lihat Mamat Bukit anggukkan kepala. Membenarkan kata-kata yang diucapkan oleh isterinya.
"Beri dia bantal, biar dia berehat," Sajono menujukan kata-kata itu pada isteri Samad Perang. Perempuan yang berbadan kurus dan berwajah cengkung itu segera masuk ke bilik tidur dan keluar membawa sebiji bantal.
Samad Perang saya lihat seperti keadaan orang bingung. Dia renung pada rantai besi dan ibu kunci yang terdapat pada tiang seri.
"Saya mengantuk," katanya pada Mamat Bukit.
"Tidurlah dulu."
"Maafkan saya, mata saya tak boleh tahan," suara Samad Perang lemah sekali.
Dia terus merebahkan badannya atas lantai. Mamat Bukit angkat kepalanya dan isterinya menyorongkan bantal.
"Ikat tangannya saja, bukan apa-apa sekadar untuk berjaga," isteri Samad Perang segera mematuhi arahan dari Sajono.
Dalam beberapa minit saja, kami yang berada di situ sudah dapat mendengar suara dengkur Samad Perang.
"Selesai atau ada lagi Kiai?" cukup hati-hati Mamat Bukit mengajukan pertanyaan pada Sajono yang sedang duduk termenung macam memikirkan sesuatu.
"Ada lagi ke Kiai?" ulang Mamat Bukit.

SIRI BERCAKAP DENGAN JIN - Tamar Jalis ( JILID 3 ) COMPLETE!Where stories live. Discover now