Bab 1

3.7K 42 0
                                    

PROLOG

Empat biji tayar kereta yang sedari tadi berputar akhirnya mematikan pergerakannya di tepi sebuah bendang yang kian menghijau. Nafas lega dihela rapi sebaik sahaja perjalanan yang agak jauh tadi tiba ke penamatnya. Imanina meliarkan biji matanya buat beberapa minit di kawasan kampung itu. Kelihatan ramai juga tetamu yang ingin bertandang ke tempat yang sama dengannya barangkali.

Sudah namanya kenduri kahwin, kan? Pastilah ramai yang diundang tanpa putus. Tambah pula makanan yang dijamu adalah percuma. Siap dapat cenderahati lagi sebelum pulang dari kenduri. Tapi, tapi, tapi... Bukanlah jenis Imanina yang gemar menghadirkan diri di tempat sebegini. Bikin bising dan serabut sahaja kepala otaknya dengan orang ramai dan bunyi lagu-lagu pengantin yang didendangkan sepanjang majlis. Lantas sebuah keluhan paling berat dibebaskan serta-merta.

"Cool, Nina! Cool! Kau kena ingat yang Sara tu dah banyak kali tolong kau waktu di universiti dulu. Kalau tak kerana dia, confirm kau takkan dapat grad! Kalau tak sebab dia juga, kau takkan dapat jadi lawyer macam sekarang. Lawyer kut! Peguam Puteri Imanina binti Iskandar Syah. Bukan semua orang mampu nak jadi peguam melainkan orang yang bijak pandai macam aku ni, kan?"

Langkah disusun dengan lagak wanita korporat yang sedang menapak masuk ke dalam syarikat gah di mata dunia. Walhal, terpaksa menghadiri majlis perkahwinan sahabat baiknya di sebuah perkampungan yang terletak di negeri Perak Darul Ridzuan itu.

"Tak apalah, Nina. Bukannya selalu pun nak makan nasi kenduri macam ni. Lepas makan, kau dah boleh blah dari sini. Tak lama pun. Asalkan dapat bagi hadiah dan tunjuk muka dekat Sara pun dah cukup. Tak kuasa aku nak berlama-lamaan di tempat asing lagi menyemakkan kepala ini. Kampung-kampung tak ada air cond macam ni memang not my style betullah! Yang Si Sara ni pun satu, kenapalah tak buat majlis kahwin dia kat hotel?!"

Gadis itu sempat menghadiahkan senyuman plastiknya kepada beberapa orang tetamu yang berselisih jalan dengannya. Barangkali sudah mahu pulang dari rumah kenduri. Dalam hati masih lagi tidak putus membebel sendiri. Jangankan kata nak dapat berkat semoga jodohnya juga dipercepatkan, nak dapat pahala bertandang ke walimatulurus sahabat sendiri pun jauh sekali.

Deringan telefon bimbit Imanina yang berkumandang secara tiba-tiba itu serta-merta membantutkan langkah gadis itu untuk menuju ke arah pengantin perempuan yang mungkin sedang diandam di dalam bilik pengantin. Kening berkerut kecil tatkala melihat nama pemanggil yang sedang tertera di skrin telefon bimbit. Hairan!

"Ya, Sara! Aku baru aje sampai kat rumah kau ni. Hajatnya nak jumpa kau teruslah dulu ni. Kau ada kat dalam rumah ke?" Tanpa sebarang mukadimah, Imanina segera menyoal temannya itu.

"Alhamdulillah. Kau dah sampai ya, Nina? Bagus! Kau sampai tepat pada masanya, Nina!" Agak ceria suara Sara kedengaran dari corong suara telefon bimbit itu. Misteri pun ada juga.

"Haah. Aku dah sampai dah ni. Yang kau telefon aku ni kenapa? Tak sabar sangat ke nak jumpa aku ni?" Imanina sengih kecil sebelum menyambung semula langkahnya untuk memasuki ruang rumah pengantin itu.

"Memang aku tak sabar nak jumpa kau pun sekarang ni, Nina. Aku nak minta tolong kau satu benda."

"Tolong? Tolong apa?"

"Tolong jadi pengapit aku, Nina!"

"Pengapit?!"

Tapak kaki Imanina betul-betul mati di muka pintu bilik pengantin. Serentak bebola mata gadis itu bertembung dengan biji mata temannya. Sara segera menguntum senyum lebar bila melihat kelibat Imanina yang sudah pun berada di hadapan matanya itu. Imanina masih terpaku di situ. Tercengang beberapa minit.

Perlu ke aku balik KL sekarang ni juga?

"Hesy! Kau ni biar betul, Sara? Kenapa aku pula yang kena jadi pengapit kau? Pengapit asal kau pergi mana?" Tanpa segan-silu Imanina segera menghempaskan punggungnya di bahu katil pengantin menghadap pengantin perempuan yang sudah sedia diandam dari tadi. Selamba dia merasmikan katil mempelai yang sudah cantik dihias itu.

JANGAN BUNUH HATIKUWhere stories live. Discover now