Bab 8

1.2K 30 1
                                    

Pintu kereta yang baru sahaja dibuka segera ditutup kembali. Anak mata sudah melirik ke arah Akid yang baru saja memarkir motosikalnya di hadapan rumah. Sepantas kilat, Imanina melihat wajahnya di cermin kereta lalu membetulkan rambut di dahinya yang sedikit senget. Kaki menapak laju menuju ke halaman rumah jiran atau dalam erti kata lain, halaman rumah Akid.

"Awak dah buat report ke pasal kes malam semalam tu?" soal Imanina tanpa sebarang mukadimah.

"Waalaikumussalam."

Lain yang ditanya, lain yang dijawab. Gadis itu tayang muka kelat dua saat.

"Assalamualaikum..."

"Dah buat dah tadi. Tunggu tindakan selanjutnya sajalah," bicara Akid bersahaja.

"Polis cakap apa dengan awak?"

"Tak cakap apa pun. Lepas saya buat laporan, baliklah. Kenapa?"

"Hmmm, tak ada apa pun. Saya cuma rasa curious."

Akid perhati sejenak wajah lembut gadis yang masih tercegat di hadapan matanya itu.

"Awak memang tak cam ke muka siapa yang awak nampak malam semalam tu? Rambut dia panjang ke pendek?"

"Pen... Mestilah pendek! Rambut panjang tu hantu. You still don't believe me, right?"

"Tak adalah. Saya cuma nakkan kepastian."

"Saya pernah suruh awak hati-hati dulu, kan? Awak jangan rasa kata-kata saya ni cuma gurauan. Saya cakap berdasarkan apa yang saya nampak. Dan awak, tolong belajar terima pendapat orang lain sama." Sedikit sombong nada itu. Tangan memeluk ke tubuh dengan penuh gaya.

Akid hanya membalas dengan senyum senget. Entah kenapa hatinya rasa terhibur dengan bicara gadis itu.

"Abang Akid!!! Apa dah jadi malam semalam?!"

Terkocoh-kocoh Yasyira mendapatkan abang sepupunya setelah melompat keluar dari perut kereta. Adam, Haziq dan Naufal juga segera membuntuti adik sepupu mereka itu menghampiri Akid yang sudah tercengang sendiri. Imanina pula hanya termangu di situ memerhatikan keempat-empat manusia yang muncul secara tiba-tiba.

"Wah, cepat betul berita tersebar kan? Aku baru niat nak buka cerita kat rumah tok wan malam ni. Tak sangka kau orang semua dah tahu dulu." Akid tayang sengih.

"Itu bukan masalahnya sekarang, Kid. Terperanjat besar kita orang semua bila dapat tahu ada orang nak bakar rumah kau semalam. Gila betul!" celah Adam pula.

"Aku sendiri pun tak habis terperanjat lagi dari semalam. Alhamdulillah nasib baik tak jadi apa-apa."

"Mak ngah macam mana? Dia okey?" Giliran Yasyira menyoal kembali.

"Mak ngah okey. Dia ada kat dalam rumah tu. Hmmm, tok wan dah tahu ke pasal ni?"

"Kenapa? Kau nak sorok benda ni dari tok wan pula?" sampuk Haziq tak semena-mena.

"Bukan macam itulah maksud aku..."

"Habis tu apa maksud kau? Tapi macam mana kau tahu ada orang nak bakar rumah kau malam semalam, eh?" Naufal pula bersuara.

"Pak Zaka dengan keluarga dia datang rumah aku pagi-pagi buta nak bagi tahu pasal ni."

"So, kau dah buat police report?"

"Dah. Akid dah buat police report pagi tadi."

Soalan yang berpusu-pusu keluar dari mulut sepupu sepapat itu segera berhenti apabila Imanina mencelah tanpa segan-silunya. Kesemua biji mata tertumpu ke arah gadis itu sekarang. Dengan melebarkan senyuman yang manis, Imanina mengibaskan sedikit rambut panjangnya ke belakang.

JANGAN BUNUH HATIKUWhere stories live. Discover now