Bab 4

1.5K 39 0
                                    

Buat kesekian kalinya sebuah keluhan berat dibebaskan. Siapa sangka empat biji tayar kereta Imanina mendarat lagi di kampung keramat itu. Perlahan-lahan gadis itu menyusur di atas jalan raya memerhati kawasan sekeliling. Kala itu, anak matanya tertancap ke arah sebuah rumah kampung yang bermaterialkan kayu dan batu.

Rumah kampung tradisional yang memiliki reka bentuk yang cantik dan unik itu acapkali memukau mata sesiapa sahaja yang melalui kawasan itu. Terkesima sejenak Imanina dibuatnya. Bila diperhatikan dengan lebih jelas terhadap material kayu yang digunakan, sudah tahu anggaran harga bahan pembinaan untuk rumah tradisional kontemporari itu.

"Cantik!" getus gadis itu sendiri.

Biji mata melirik pula ke arah nombor rumah yang tertera di tepi pagar. Serta-merta Imanina menekan pedal brek kereta. Fail projek yang menjadi tujuan utama dia berada di kampung itu pantas disambar.

"Hmmm... So, inilah rumah tuan tanah yang keras hati sangat tak nak jual tanah dia tu. Abdul Aziz bin Sulaiman..."

Nama penuh tuan tanah yang tertera di atas geran itu dibaca satu per satu.

"Kalau tengok pada nombor kad pengenalan Abdul Aziz ni rasanya dah boleh panggil datuk. Tapi tak kesahlah siapa pun dia asalkan aku cepat-cepat siapkan kerja kat kampung ni sebelum ada orang kampung yang perasan akan kewujudan aku kat sini. Terutama sekali kumpulan silat..."

Belum sempat ayat dinoktah, kelihatan seorang lelaki memberhentikan keretanya betul-betul bersebelahan kereta gadis itu. Dari dalam kereta, berkerut dahi Imanina menoleh ke arah pemilik kereta yang sudah pun menurunkan cermin tingkapnya itu.

"Oh, crap!"

Sepantas kilat Imanina menekan pedal minyak keretanya semula meninggalkan kawasan rumah itu. Jantung yang seperti ingin gugur tadi kembali tenang. Bagai nak terkeluar biji matanya tadi bila melihat gerangan lelaki yang memberhentikan kereta di sebelah keretanya tadi.

"Fuh, nasib baik aku pakai cermin mata hitam! Harap-haraplah lelaki tu tak cam aku. Tak boleh jadi ni! Aku kena lebih hati-hati."

Imanina segera memuntahkan isi tote bagnya di atas kerusi di sebelah pemandu. Pedal minyak dilajukan menuju ke rumah keluarga Sara. Perkara pertama yang harus dibuatnya dulu adalah check-in di tempat penginapan. Lagi banyak tempat dia singgah nanti, lagi ramai orang yang dia jumpa.

"Fokus, Nina!"

"Assalamualaikum, tok wan!"

Adam meluru masuk ke dalam rumah yang sudah pun terbuka pintunya itu. Kelibat Tok Aziz tidak kelihatan di ruang tamu. Dia meneruskan misi pencarian tok wannya di kawasan dapur pula. Tatkala terlihat orang tua itu sedang memberi makan kepada ayam belaan di belakang rumah, lelaki itu pantas menghela nafas lega. Risau tak semena-mena dibuatnya tadi.

"Kenapa tok wan duduk kat belakang rumah tapi biarkan pintu depan tu terbuka?" tegur Adam seraya melabuhkan punggungnya di atas kerusi sambil melihat ayam-ayam di belakang rumah itu menikmati makanan masing-masing.

"Hai, selama ni bukan ke tok wan buka pintu depan tu nak bagi angin masuk dalam rumah? Kenapa baru hari ni kamu nak tegur?" Berkerut kecil dahi yang agak kendur itu memandang ke arah cucunya.

"Bahayalah, tok wan. Biarkan pintu depan terbuka macam tu tapi tok wan duduk kat belakang rumah. Syira pun tak ada dalam rumah, kan? Kalau ada pencuri masuk, macam mana?"

"Hesy, mana ada pencuri siang-siang ni Adam oi!"

"Tok wan ingat pencuri tu kira sangat ke malam ke siang? Tadi waktu balik kerja lalu depan rumah tok wan ni, Adam ada nampak satu kereta ni berhenti depan rumah tok wan. Dia tengok lama rumah tok wan tadi. Entah-entah ada niat yang tak baik. Tu yang Adam terus singgah rumah cari tok wan ni."

JANGAN BUNUH HATIKUWhere stories live. Discover now