Bab 3

1.5K 34 0
                                    

Dari jauh lagi sudah kedengaran suara merdu beberapa orang pemuda yang sedang mengalunkan ayat al-Quran di ruang beranda teratak Tok Aziz. Usai menunaikan solat isyak berjemaah, memang sudah menjadi rutin empat orang pemuda yang berdarah sepupu itu untuk mengaji al-Quran dengan bergurukan Tok Aziz.

"Hai, dah lupa ke iqlab kena dengung bacaannya, Haziq?"

Seperti biasa, Tok Aziz terlalu sukar untuk lalai. Walaupun umurnya sudah mencecah 70-an, namun dia lebih teliti dari cucu-cucunya sendiri. Dengan hanya mendengar tanpa melihat setiap surah yang dibaca pun dia sudah tahu di mana yang silap bacaannya. Cukup tinggi ilmu agama orang tua itu. Sehinggakan semua penduduk kampung melahirkan rasa hormat yang tinggi kepada Tok Aziz.

Dulang yang berisi lima biji cawan air kopi O panas diletakkan di sebelah Tok Aziz. Yasyira menghulurkan air yang dibancuhnya tadi kepada abang-abang sepupunya itu lalu kaki disimpuh bersebelahan dengan Tok Aziz. Sejak dari kecil lagi gadis itu tinggal bersama datuknya setelah kematian ibu bapanya dalam nahas jalan raya. Sepupu-sepupu lelakinya itu juga sudah dianggap seperti adik-beradik yang paling rapat dalam hidupnya. Merekalah yang menjadi teman sepermainan sejak kecil dan juga tempat untuk gadis itu berlindung.

"Errr... Betul ke yang Syira dengar pasal Abang Alif tu, Abang Akid?" Yasyira membuka kata sebaik sahaja pemuda-pemuda itu selesai mengemas naskhah al-Quran yang telah digunakan tadi.

Tok Aziz sudah mengalih pandang. Dihalakan tepat ke wajah cucu perempuannya itu. "Kenapa dengan Alif?"

"Syira dengar orang kampung cakap..."

Kata-kata segera mati apabila sikunya ditolak Haziq. Pemuda itu memberi isyarat mata agar Yasyira tidak menyambung ayat yang seterusnya. Gadis yang sudah mengerutkan dahinya itu hanya mampu akur. Tertelan kata-kata.

"Tak ada apalah, tok wan. Biasalah gosip-gosip liar orang kampung tu suka sangat bercerita," sampuk Akid serta-merta.

Adam segera mengerling sepupunya di sebelah. "Kau yakin ke benda ni cuma gosip, Kid? Benda ni bukan main-main tau. Aku sendiri dengar apa yang Alif bisik kat aku malam tu."

Lelaki itu separa berbisik ke telinga Akid. Dia juga tidak mahu perkara ini sampai ke pengetahuan Tok Aziz tapi pada masa yang sama, dia tidak mahu Akid ambil remeh tentang perkara ini.

"Kalau betul apa yang kau cakap, kita buat laporan polis," balas Akid perlahan dan tenang.

"Errr, tapi aku tak ada bukti nak tuduh."

"Kan? Kita tak ada bukti apa-apa pun. Sebab tu lebih baik kita tak panjangkan hal ni, Adam."

"Bukan aku nak panjangkan tapi aku nak kau percaya. Jangan ambil ringan hal ni, Kid. Bahaya. Aku pun susah nak percaya tapi apa yang Alif buat tu, entahlah. Aku pun tak tahu nak cakap macam mana."

"Hoi, apa bisik-bisik ni? Mengumpat, eh?"

Belum sempat Akid membalas kata, Naufal segera mencelah bila melihat kedua-dua pemuda itu seperti membincangkan sesuatu yang serius. Akid pantas berdehem kecil apabila semua biji mata di ruang itu sudah tertumpu ke arah dia dan Adam.

"Taklah. Nak mengumpat siapa pula malam-malam ni? Hmmm, Syira jadi tak nak kerja kat kilang abang tu? Abang dah suruh staf abang kemas bilik ofis untuk Syira duduk nanti." Tukar topik. Pandangan dialih pula ke arah adik sepupunya itu.

"Jadi. Tapi Syira masuk kerja hari Isnin minggu depan, tau? Esok Syira nak pergi ofis lama. Nak buat clearance dulu," balas gadis itu lembut. Selembut wajahnya yang cantik.

"Oh, boleh! Cuma abang nak ingatkan awal-awallah kat Syira. Kilang abang tu taklah secantik ofis Syira kat KL. Walaupun bilik yang abang bagi kat Syira tu tak selesa macam ofis lama Syira, tapi ada air cond. Syira jangan risau, eh?"

JANGAN BUNUH HATIKUWhere stories live. Discover now