Bab 4

1.7K 57 0
                                    

10 tahun kemudian...

KEMATIAN itupun sampai. Mati atau destinasi akhir sebuah kehidupan. Orang tua yang telah menahannya di rumah agam itu persis seorang banduan, akhirnya mati juga. Seperti orang suruhan yang patuh kepada tuannya, dia setia di sisi orang tua itu ketika nyawanya direntap keluar dengan begitu kasar sekali. Di hadapannya, dia menyaksikan tubuh kecut itu tersentak-sentak beberapa kali. Mulutnya terbuka luas. Matanya tegak memandang ke satu arah.

Dia menunggu dan terus menunggu sehingga tubuh kecut itu kaku dan berhenti bergerak. Kini, dia bebas keluar dari rumah agam yang menjadi penjaranya selama ini. Bebas untuk mencorakkan kehidupannya sendiri.

Dia tidak pernah sukakan orang tua itu. Dia cukup pasti yang orang tua itu juga tidak pernah sukakan dirinya walaupun sudah bertahun mereka hidup sebumbung. Malah mereka bukan sahaja hidup sebumbung tetapi turut berkongsi 'memori hitam' yang lebih kurang sama jalan ceritanya. Mungkin itu sahajalah yang telah mengikat dirinya dengan orang tua itu.

Kadangkala dia risaukan nyawanya sendiri ketika tinggal bersama orang tua itu. Dia tidak pernah rasa selamat ketika mereka tinggal sebumbung. Kerana dia tahu orang tua itu adalah manusia yang teramat kejam. Hidupnya bergelumang dendam.

Tetapi dia masih juga bertahan kerana sudah tidak ada tempat untuknya di luar sana. Berkat kesabarannya, seluruh harta kekayaan orang tua itu kini berpindah ke tangannya pula.

Kini, bolehlah dia melangkah keluar dari rumah agam itu untuk melunaskan dendam peribadinya. Bibirnya terbuka. Seulas senyuman puas tersungging di bibirnya.

"Terima kasih, puan," ucapnya kepada jenazah yang terbujur kaku di depannya.

MAIZATUL AKMA menghenyakkan punggungnya di atas kusyen. Dia kelelahan setelah terperangkap dalam kesesakan yang panjang sewaktu memandu pulang ke rumahnya dari tempat kerja. Sejurus sebelum waktu kerja tamat, hujan lebat mula turun menyirami bumi kota. Jalan yang licin itu juga telah menyebabkan beberapa kemalangan kecil berlaku di sepanjang perjalanan yang dilaluinya. Malah, dia sendiri hampir-hampir sahaja menyondol kereta di hadapannya yang membrek secara mendadak.

Mujurlah dia dan keretanya selamat sampai ke rumah sewanya ketika senja hampir menjelang tanpa sebarang kecederaan mahupun kesan calar. Hanya kepenatan sahaja yang menghurung sekujur tubuhnya kerana terpaksa duduk terlalu lama di dalam kereta.

Kadangkala muncul rasa menyesal dalam hatinya kerana telah meminta dipindahkan ke Kuala Lumpur. Kalau dia terus sahaja bekerja di Melaka, tidak perlulah dia berhadapan dengan kesesakan yang sebegini hebat.

Tapi, apa nak buat... Nasi sudah menjadi bubur. Dia membuat keputusan drastik untuk berpindah hanya kerana Hafiz, tunangnya yang bekerja sebagai seorang wartawan berpejabat di sini.

Serta-merta wajah Hafiz melintas dalam fikirannya.

Walaupun jarak pejabatnya dengan pejabat Hafiz terletak lebih kurang lima kilometer sahaja antara satu sama lain tetapi mereka bukannya dapat selalu berjumpa. Hafiz sentiasa sibuk. Tidak pernahnya dia tidak sibuk. Tugasnya sebagai wartawan majalah yang terbit dua kali sebulan membuatkan dia selalu dihantar majikannya untuk membuat liputan berita di luar daerah. Malah, kadang-kadang Hafiz terpaksa ke luar negara juga.

Walaupun dunia pekerjaan kadangkala melelahkan dengan perangai majikan dan rakan-rakan sekerja tetapi mereka terpaksa harunginya juga demi sesuap nasi. Sebab itulah Maizatul Akma berasa bahawa zaman persekolahan adalah fasa yang paling indah dalam hidupnya. Selain punya ramai kawan, tugasnya hanya perlu menumpukan perhatiannya kepada pelajaran.

10 tahun dah berlalu, bisik hati kecilnya. Sekilas wajah yang muncul dalam ingatannya menerbitkan rasa sebak dalam hati. Tidak semua orang berpeluang menikmati alam persekolahan yang indah. Dia mengeluh perlahan sambil menyedekahkan surah al-Fatihah kepada arwah Suriati yang mati tanpa kubur.

PSIKOWhere stories live. Discover now