Bab 10

1.4K 48 0
                                    

ADUHAI, sunyinya! bisik hati si bongkok.

Dia menghala di bilik tidur Suriati. Kalau dulu, dia tidak berani masuk ke bilik itu tetapi setelah Suriati pindah tinggal di Kuala Lumpur, setiap hari dia akan menghabiskan masanya di bilik itu. Malah, selalu juga dia berbaring di atas katil Suriati sambil memeluk bantal peluk gadis itu. Dalam bayangannya, dia sedang memeluk Suriati. Selalu juga dia menyembur minyak wangi kegemaran Suriati pada cadar, bantal ataupun langsir. Bau minyak wangi itu membuatkan dia rasa seperti berada berhampiran dengan Suriati.

Si bongkok panjat katil Suriati lalu baring dalam posisi mengiring. Keadaan belakang tubuhnya yang bongkok membuatkan dia sukar untuk tidur terlentang. Hidungnya kembang kuncup menghidu bau minyak wangi Suriati yang melekat pada bantal guling.

Tak dapat peluk orang, dapat peluk bantal pun cukuplah! Terubat juga sedikit kerinduannya terhadap gadis itu. Bagaimana agaknya keadaan Suriati di kota sana? Dia berharap agar Suriati segera balik dan menemaninya di rumah agam itu.

Selepas membayangkan wajah Suriati, muncul pula wajah Puan Chempaka dalam fikirannya. Si bongkok mendapati ada titik persamaan yang dikongsi oleh kedua-dua orang perempuan itu - Puan Chempaka dan Suriati adalah pendendam tegar. Nahaslah mereka yang berani membuatkan kedua-duanya marah.

Walaupun bernafas bersama mereka di dalam rumah agam itu selama bertahun-tahun tetapi si bongkok berbeza. Dia bukanlah seorang pendendam walaupun dia sering dihina dan didera akibat tubuhnya yang cacat. Dia akur dengan takdirnya. Di situ, dia hanyalah seorang pak turut yang mengikut sahaja apa yang diperintahkan oleh Puan Chempaka dan kini, Cik Suriatinya.

Walaupun hakikatnya dia boleh sahaja melaporkan kejahatan Puan Chempaka dan juga Cik Suriatinya kepada pihak berkuasa tetapi dia enggan melakukannya. Kerana dulu, dia telah termakan budi dengan Puan Chempaka. Perempuan itulah yang telah memungutnya ketika dia sedang hidup merempat. Mana mungkin dia menjadi anjing yang tega menggigit orang yang telah melepaskannya?

Dan, dia juga tidak mungkin melaporkan jenayah yang bakal dilakukan oleh Cik Suriatinya kerana gadis itu sahajalah kawannya selama 10 tahun ini. Lagipun, si bongkok rasa yang dia sudah jatuh cinta kepada Suriati. Mana mungkin dia membiarkan orang yang dicintainya meringkuk dalam penjara? Ya, mana mungkin!

JAM 10.00 pagi. Jimi menuruni tangga flat sambil bersiul-siul. Dia bercadang hendak makan roti canai di restoran yang terletak di bawah flat itu terlebih dahulu sebelum menuju ke kondominium Suriati. Langkahnya terhenti sebaik terlihat seorang perempuan sedang melangkah naik. Dia menyisih ke tepi untuk memberi laluan kepada perempuan itu.

"Hai," sapa Jimi.

Perempuan itu langsung tidak membalas sapaannya. Menoleh ke arah Jimi pun dia enggan. Jimi jongket bahu. Dia meneruskan langkah yang tadinya terhenti.

Sebaik-baik sahaja dia sampai ke bawah, telefon bimbitnya berbunyi. Dia menoleh ke skrin untuk melihat siapakah yang menelefonnya.

"Ya, cik?"

"Jimi, kau kat mana tu?" soal Suriati.

"Saya baru turun dari flat saya ni. Kenapa, cik?"

"Kau dah sarapan ke belum?"

"Saya ingat nak pekena roti canai dulu. Kenapa, cik?"

"Boleh tak kalau kau terus datang ke sini?"

"Baik, cik! Saya datang sekarang. Cik tunggu, ya? Kalau jalan tak sesak, dalam 20 minit lagi saya sampai." Jimi membatalkan niatnya hendak makan roti canai sebaliknya terus menuju ke kereta.

Mendesup keretanya menuju ke kondominium Suriati. Lebih kurang 15 minit kemudian, dia sampai ke tempat yang dituju dan mendapati Suriati sudah sedia menantinya.

"Kita nak ke mana ni, cik?" soal Jimi sebaik sahaja punggung Suriati mendarat di tempat duduk belakang. Seperti biasa, dia akan mengintai wajah cantik bos baharunya itu terlebih dahulu. Wajah yang mengilhamkan!

"Hari ini kau bawa aku ronda-ronda sekitar KL. Kita lepak-lepak, membeli-belah dan makan-makan." Suriati menjawab.

"Wah, best tu, cik! Tapi sebelum tu kita cari restoran yang bagus, ya? Saya laparlah," getus Jimi sambil tersenyum senang.

Suriati mengotakan katanya. Seharian suntuk mereka meronda sekitar kota raya sehingga Jimi yang kepenatan melayan kerenahnya. Malah, Suriati sanggup mengajak Jimi menemaninya menaiki LRT.

"Kereta kan ada. Kenapa nak naik LRT pula?" soal Jimi.

Suriati merenungnya, tajam.

"Siapa yang jadi bos ni? Engkau ke aku?" soal Suriati.

"Errr... Baiklah, bos. Kalau bos nak naik LRT, jomlah kita naik LRT." Jimi akhirnya mengalah.

Destinasi terakhir yang mereka kunjungi ialah sebuah pasar raya yang terletak berhampiran dengan kondominium Suriati kerana dia hendak membeli barang-barang dapur. Walaupun kepala lutut Jimi rasa seperti hendak tercabut tetapi dia tidak berani membiarkan Suriati keluar bersendirian. Bagaikan seekor anjing yang setia kepada tuannya, dia terus mengekori dan menemani Suriati.

"Terima kasih sebab sudi temankan aku," ucap Suriati ke arah Jimi yang menghantarnya sehingga ke muka pintu.

"Aku seronok hari ini."

"Sama-sama. Dah menjadi tugas saya, bos. Saya pun tumpang seronok. Okeylah, saya balik dulu. Jangan lupa kunci pintu. Selamat malam." Jimi kemudiannya melangkah laju meninggalkan Suriati. 

PSIKOWhere stories live. Discover now