"TERLAJAK perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya!"
Kata-kata yang terlontar dari mulut Hanna Hanani seketika tadi bergema dalam fikiran Rayyan Firdaus. Dulu, dia tidak pernah memikirkan impak akibat daripada kata-kata dan perbuatannya. Dia pernah bercakap ikut sesedap mulutnya. Dia juga tidak pernah hiraukan buruk baik akan setiap perbuatannya.
Kini, dia makin matang selaras dengan umurnya yang makin meningkat. Dia bukan lagi Rayyan Firdaus 10 tahun lalu yang suka bercakap dan bertindak semberono. Dia akan berfikir dulu sebelum membuka mulutnya kerana tidak mahu kata-katanya kelak akan melukakan hati individu yang mendengarnya. Begitu juga dengan setiap perbuatannya.
Tanpa diketahui sesiapa kecuali dirinya sendiri dan juga malaikat di bahu kiri dan kanannya, dia sering diburu rasa berdosa. Dia rasa dirinya turut terlibat dengan kematian Suriati. Pembuli! Ya, dia, Razman, Hanna Hanani dan Baizura adalah pembuli yang kejam. Mereka telah membuli Suriati secara verbal dengan mengejek-ejek dan menghinanya. Malah, Suriati bukan sahaja dibuli secara verbal tetapi mereka telah melakukan jenayah yang lebih teruk daripada itu. Dia dan kawan-kawannya telah berpakat untuk melondehkan maruah Suriati.
Cadangan itu sebenarnya terlontar dari mulut Hanna Hanani yang meluat kerana menganggap Suriati seperti perempuan tak sedar diri yang terhegeh-hegeh mahu mendampingi Rayyan Firdaus.
Peristiwa pada petang yang malang itu bagaikan baru semalam sahaja berlaku...
Imbas kembali...
Lokasi: Hutan Lipur Gasing.
SEBAIK sahaja Rayyan Firdaus menghempaskan punggungnya di sisi Hanna Hanani, temannya itu menghulurkan Tupperware berisi sandwic telur ke arahnya.
"Untunglah kau, Rayyan. Duduk aje terus dapat makan," komen Razman.
Rayyan Firdaus ketawa.
"Engkau tak dapat ke?" soalnya.
Razman menggeleng.
"Puas aku minta dengan Hanna. Langsung dia tak nak bagi. Kejap lagi aku nak mengecek mi goreng Baizura pula."
"Aku doakan selamat berjaya untuk kau," kata Rayyan Firdaus sambil menyuap sandwic telur ke mulutnya. "Ha, itupun Baizura dah sampai."
"Bai, nak mi goreng sikit. Aku laparlah," pinta Razman sebelum sempat Baizura duduk.
"Kau ni tau nak senang ajelah! Kenapa kau tak bawa bekal dari rumah?" Baizura mengherdik.
"Mak aku kerja pagi ni. Dia tak sempat nak sediakan bekal untuk aku." Itulah alasan yang diberikan Razman.
"Kalau emak kau kerja, kau boleh buat bekal kau sendiri, kan?"
"Aku lelaki. Manalah tahu hal masak memasak ni." Razman membela dirinya.
"Ala, Bai, bukannya aku nak semua mi goreng kau tu."
"Yalah... Yalah!" kata Baizura sambil mengisi sedikit mi goreng ke atas pinggan kertas lalu menghulurkannya ke arah Razman.
"Macam itulah! Orang tamak selalu rugi tau, macam anjing dengan bayang-bayang," tingkah Razman sambil mencapai pinggan kertas berisi mi goreng yang dihulurkan Baizura itu lalu makan dengan menggunakan tangan sahaja.
"Ai! Tak nak guna garpu ni ke?" soal Baizura. Di tangannya ada sebatang garpu plastik.
"Tak payah! Guna garpu asli lagi nikmat." Razman menjawab.
"Engkau ke yang goreng mi ni, Bai? Sedaplah!" komennya. Sekejap sahaja mi goreng itu habis dimakannya.
"Haah! Aku yang goreng." Baizura menjawab.
"Errrkkk!" Razman sendawa kekenyangan.
"Tengok, aku makan sikit aje dah kenyang. Tu pun kau nak kedekut dengan aku."
"Kalau aku kedekut, sedikit mi goreng pun kau tak merasa tau!" Baizura membalas.
"Eh, kau orang tengoklah perempuan terlebih muatan tu. Dari tadi aku perhatikan dia asyik mengunyah aje."
Kata-kata Hanna Hanani itu membuatkan Rayyan Firdaus, Baizura dan Razman segera menghalakan pandangan ke arah Suriati. Gadis itu kelihatan sedang duduk di bawah sebatang pokok dengan ditemani Maizatul Akma. Entah apa yang mereka bualkan. Sesekali kedengaran Suriati melontarkan tawanya.
"Apa kata kalau kita kenakan dia?"
"Kau ni, Hanna, memang nakal!" getus Baizura.
Hanna Hanani ketawa. Kemudian, matanya beralih ke wajah Rayyan Firdaus.
"Kenapa kau pandang aku macam tu?" soal Rayyan Firdaus.
"Rayyan, aku pilih kau untuk jadi watak utama dalam drama yang akan aku karang ni," ujar Hanna Hanani sambil memperincikan rancangannya kepada Rayyan Firdaus, Razman dan Baizura.
Hanna Hanani telah menyediakan sekeping surat konon-kononnya daripada Rayyan Firdaus yang hendak bertemu dengan Suriati di tepi Sungai Gasing lewat petang nanti. Sebagai pemegang watak utama, Rayyan Firdaus ditugaskan untuk melondehkan maruah gadis itu di depan kawan-kawannya.
"Aku nak ajar perempuan terlebih muatan tu, biar dia sedar diri sikit!" kata Hanna Hanani sebagai pengarah drama yang tak bertajuk itu.
Drama yang mereka rancang berjalan dengan lancar. Suriati muncul di tepi sungai semata-mata hendak bertemu Rayyan Firdaus. Dia langsung tidak tahu yang Hanna Hanani, Baizura serta Razman sedang duduk mengintai di dalam semak tidak jauh dari situ. Rayyan Firdaus juga melakonkan wataknya dengan hebat sekali sehingga memukau tiga orang kawannya yang mengintai di dalam semak.
Namun, drama yang sepatutnya diakhiri dengan gelak ketawa itu bertukar tragis apabila heroin mereka iaitu Suriati akhirnya lesap ditelan arus Sungai Gasing.
RAYYAN FIRDAUS menghalakan pandangannya ke arah Hanna Hanani yang masih berurusan di kaunter. Wajah Hanna Hanani lembut dan ayu. Jika dilihat dengan mata kasar, tiada siapa dapat meneka dosa yang telah dilakukan gadis itu 10 tahun lalu. Bukan Hanna Hanani seorang, dia, Razman dan Baizura juga turut terlibat sama.
"Rayyan, kau lainlah sekarang." Tiba-tiba Razman bersuara. Terus mata Rayyan Firdaus mencerlung ke wajah Razman.
"Lain? Apanya yang lain?"
"Kau agak pendiam. Tak macam dulu."
Rayyan Firdaus ketawa.
"Dulu aku ni becok ke?"
"Dulu kau suka juga berceloteh. Lepas tu suka berlagak macam kau tu ketua."
"Dulu lain sekarang lain, Man," sahut Rayyan Firdaus.
Razman menganggukkan kepalanya, setuju.
"Kau ingat tak dengan Hafiz? Dia dah bertunang dengan Maizatul Akma. Aku selalu jumpa Hafiz ni," beritahu Razman.
"Maizatul Akma? Bukan ke Maiza tu kawan baik..." Kata-kata Rayyan Firdaus terhenti. Tidak sanggup dia hendak menyebut nama perempuan itu. Perempuan yang sudah mereka londehkan maruahnya. Perempuan yang sudah lesap dihanyutkan Sungai Gasing.
Dia memandang wajah Razman. Jejaka itu hanya menganggukkan kepalanya.
Bagaikan lakaran kilat yang berakar di dada langit terpancar wajah Suriati persis yang muncul di dalam mimpinya malam tadi. Mata Suriati merenung tajam penuh dendam ke arahnya. Terbayang-bayang lagi di ingatannya Suriati mengacungkan pisau pemotong daging ke arahnya.
"Man, kau rasa betul ke Ati dah mati?" Entah kenapa soalan itu yang muncul dari bibirnya.
Razman memandang pelik ke arah Rayyan Firdaus.
"Apa jenis soalanlah yang kau tanya ni, Rayyan? Memanglah dia dah mati 10 tahun lepas." Razman kelihatan kurang senang membicarakan hal yang mereka telah sepakat hendak lupakan itu.
"Tapi mayatnya tak ditemui."
"Isy! Kau ni, Rayyan. Meremang bulu roma aku ni tau. Bukan semua mayat orang yang mati lemas akan ditemui. Mungkin juga mayatnya dah dibaham buaya Sungai Gasing, siapa tahu? Dahlah, kan kita berempat dah janji tak nak ungkit lagi hal tu." Razman jelas nampak bengang.
Rayyan Firdaus terpaku di kerusinya. Dia tidak membangkitkan lagi hal itu di depan Razman.
YOU ARE READING
PSIKO
General FictionTajuk: Psiko Penulis: Rosa Nur Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-62-5 Muka Surat : 512 Harga: RM23.00 (Semenanjung) // RM26.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : September 2018