"RAYYAN tak keluar dengan Eisya ke hari ni?" soal Datin Rose ke arah anak bujangnya yang kini telah kembali menetap bersamanya setelah sekian lama tinggal di Kanada. Sebenarnya, Rayyan Firdaus adalah anak Datin Rose hasil perkongsian hidup bersama bekas suaminya.
Seusai mengambil keputusan peperiksaan SPM, Rayyan Firdaus telah mengikut papanya berhijrah ke Kanada. Sesekali sahaja anaknya itu akan pulang menjenguknya di Malaysia. Kini, sudah hampir setahun Rayyan Firdaus berada di Malaysia. Dia juga sudah mendapat kerja tetap dengan gaji yang lumayan.
Datin Rose pernah juga bertanya kenapa anak bujangnya itu mengambil keputusan untuk meninggalkan Kanada dan pekerjaannya di sana? Sedangkan menurut cerita yang didengarnya daripada mulut bekas suaminya sendiri, Rayyan Firdaus selesa tinggal di Kanada dan sudah pun mempunyai seorang teman wanita berkulit putih dan berambut perang yang jelita orangnya. Kata bekas suaminya, perempuan Kanada itu bernama Cassandra.
"Apa yang nak dipelikkan, ma? Setinggi-tinggi terbang bangau akhirnya pulang ke belakang kerbau semula." Mudah sahaja jawapan yang meluncur keluar dari mulut Rayyan Firdaus.
Datin Rose pasti ada sebab yang mendorong Rayyan Firdaus mengambil keputusan untuk pulang dan menetap di Malaysia. Tetapi, dia malas hendak mendesak. Dia sebagai ibu seharusnya gembira kerana tidak perlu berjauhan lagi dengan anaknya itu. Mujur jugalah Rayyan Firdaus tidak melepaskan taraf kerakyatannya sewaktu mengikut papanya ke Kanada dahulu.
Dia juga tidak pernah bertanya kepada Rayyan Firdaus tentang Cassandra. Perempuan mat salih memanglah cantik. Tapi kalau nak memilih isteri, Datin Rose lebih suka kalau anaknya memilih perempuan Melayu. Oleh sebab itulah, dia berusaha memperkenalkan Eisya, anak bongsu kawan baiknya kepada Rayyan Firdaus.
Pada pandangan Datin Rose, pelajar tahun akhir jurusan Perakaunan di UiTM yang berkulit cerah itu boleh tahan juga cantiknya.
"Mama tanya ni. Rayyan tak dengar ke?" soal Datin Rose apabila melihat Rayyan Firdaus begitu asyik merenung telefon pintarnya.
"Ya, ma? Mama tanya apa tadi?"
Sah! Dek terlalu sibuk melayan telefon pintarnya sehingga Rayyan Firdaus tidak terdengar pertanyaannya.
"Rayyan tak keluar dengan Eisya ke?" Datin Rose terpaksa mengulang soalannya.
"Oh... Eisya!" getus Rayyan Firdaus.
"Dia ikut rombongan ke Thailand dengan kawan-kawannya, ma."
Datin Rose nampak terkejut.
"Eisya ikut rombongan ke Thailand? Dia tak ajak Rayyan ke?"
"Biarlah dia pergi dengan kawan-kawan dia, ma. Rayyan pun tak boleh ambil cuti. Sekarang ni Rayyan banyak kerja," jawab Rayyan Firdaus segera mematikan pertanyaan daripada mamanya.
"Ma, Rayyan nak keluar, ni. Nak jumpa kawan," kata Rayyan Firdaus sambil mencapai kunci keretanya.
RAYYAN Firdaus memarkir keretanya di tempat letak kereta yang terletak di bawah pusat beli-belah terkemuka itu. Dia mengilas seketika jam pada dashboard keretanya. Tepat pukul 4.45 petang. Walaupun banyak kereta yang terparkir tetapi suasana di situ agak sunyi. Dia keluar dari perut kereta lalu mengayun langkah menuju ke arah lif yang terletak agak ke hujung.
Tiba-tiba telefon pintarnya berbunyi. Tanpa menghentikan langkahnya, dia segera memekapkan telefon selebar empat jari yang sentiasa berada di dalam gengamannya itu ke telinga.
"Ya, Man? Lima minit lagi aku sampai. Kau tunggu, tau," katanya kepada orang yang menelefonnya.
Sebaik sahaja mendapat panggilan itu, dia melajukan langkahnya.
Tiba-tiba...
Tak tuk! Tak tuk!
Rayyan Firdaus terdengar bunyi 'keletak keletuk', seperti ada orang sedang berjalan di belakangnya. Dia segera menoleh. Tetapi dia tidak nampak sesiapa pun. Dia membelingas, memerhati sekitar tempat letak kereta itu. Tercari-cari kalau ada orang lain di situ selain daripada dia. Situasinya tetap sama, dia tidak nampak sesiapapun. Dia bersendirian.
Argh, agaknya hanya pendengaran aku aje. Hatinya berbisik ketika jarinya memicit butang pada lif. Tidak lama kemudian, pintu lif yang akan membawanya ke pusat beli-belah yang terletak di atas tempat letak kereta itu terbuka. Dia melangkah masuk.
Sebelum pintu lif itu tertutup semula dia terdengar ada orang seolah-olah sedang berlari menuju ke lif diikuti dengan jeritan. Tunggu! Tunggu!
Dia segera menekan butang buka di dinding lif. Pintu lif itu terbuka luas. Seorang perempuan berblaus merah dan berskirt labuh rona hitam dalam keadaan termengah-mengah melangkah masuk ke perut lif. Sempat perempuan itu menghadiahkan seulas senyuman ke arahnya. Semerbak bau minyak wangi yang dipakai perempuan itu menyelubungi kotak lif yang terhad keluasannya.
"Terima kasih, encik," ucap perempuan itu.
"Sama-sama," jawab Rayyan Firdaus sambil menghunjam pandang ke arah kasut tumit tinggi yang tersarung di kaki perempuan itu. Merah!
"RAZMAN!" Terkeluar nama itu dari mulut Rayyan Firdaus setelah hampir 10 tahun tidak menyebutnya.
"Rayyan!" Razman pula bersuara.
Kedua-dua orang jejaka itu bersalaman. Kemudian saling berpelukan. Begitulah impak kecanggihan teknologi sekarang. Kawan yang sudah berpuluh tahun tidak bertemu muka akhirnya berjaya ditemui semula.
"Wah, lama betul kita tak jumpa ya, Rayyan?!"
Rayyan Firdaus mengangguk.
"Rasa-rasanya adalah lebih kurang 10 tahun." Rayyan Firdaus mengiakan.
"Syukurlah, masih ada ruang pertemuan untuk kita."
"Yup!" Rayyan Firdaus menepuk sekali belakang Razman.
"Jom, kita minum dulu."
Mereka menuju ke sebuah restoran untuk menyambung bual.
"Rayyan, kita selfie dulu!" getus Razman sebelum sempat punggung Rayyan Firdaus mencecah kerusi.
Jejaka itu gelak. Tak disangkanya, orang jantan macam Razman suka berswafoto.
"Boleh. Apa salahnya."
Seusai mengambil gambar selfie mereka berdua, Razman kelihatan sibuk melayan telefon pintarnya. Sesudah itu barulah dia menumpukan perhatiannya kepada Rayyan Firdaus.
"Pasti ada orang terkejut bila tengok gambar kau petang ni, Rayyan," beritahu Razman.
Rayyan Firdaus menyengih.
"Siapa?" soalnya.
"Dara pujaan kau masa zaman sekolah dululah."
Rayyan Firdaus kerut kening. Kemudian ketawa besar.
"Aku ada dara pujaan ke dulu?" soalnya.
"Ah, engkau ni! Buat-buat lupa pula. Dulu bukan main lagi kau minat kat Si Hanna tu!"
"Oh, Hanna! Itu cerita lama, Man. Cinta monyet, kata orang. Kau ada jumpa dengan Hanna dan Baizura? Mesti mereka berdua tu dah kahwin, kan? Dah berderet agaknya anak mereka."
Meluncur ketawa dari mulut Razman.
"Hanna dan Baizura masih bujanglah, Rayyan. Masih sempat lagi kalau kau nak sambung cinta zaman sekolah dulu."
"Dia orang belum kahwin lagi?" soal Rayyan Firdaus. Terkejut.
"Ya, dia orang masih bujang trang tang tang!" jawab Razman. Seketika kemudian, telefon bimbitnya berbunyi. Dia mengilas seketika permukaan telefon bimbit lalu dihulurkan ke arah Rayyan Firdaus.
"Ni hah! Hanna telefon. Dia nak cakap dengan kau."
Rayyan Firdaus nampak tergamam seketika. Mungkin dia tidak menduga dapat bercakap dengan perempuan bernama Hanna Hanani petang itu.
YOU ARE READING
PSIKO
General FictionTajuk: Psiko Penulis: Rosa Nur Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-62-5 Muka Surat : 512 Harga: RM23.00 (Semenanjung) // RM26.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : September 2018