BAB 2

3.2K 46 6
                                    

"SELAMAT pagi mama..." Saif menyapa mamanya yang sedang sibuk mencuci cawan di singki.

Pinggang ramping mamanya dipeluk dari belakang dan pipi wanita kesayangannya dicium sekali. Wangi!

"Selamat pagi Saif," balas Datin Marina, membiarkan tangan Saif yang masih melingkari pinggangnya.

Sikap Saif yang manja itu tak pernah berubah sejak dari kecil sampailah sekarang. Dah boleh jadi bapa orang pun.

"Papa mana?" soal Saif perlahan.

Dia tak nampak papanya di ruang tamu ketika turun dari tingkat atas tadi. Selalunya kalau pagi hari minggu macam itu papanya akan baca surat khabar di ruang tamu.

"Papa masuk bilik bacaan lepas sarapan tadi. Semalam Saif keluar cari Reza, kan? Papa tahu Saif keluar cari Reza."

Jawapan itu buat Saif mengeluh perlahan. "Pak Abu beritahu?"

Datin Marina angguk sekali sebelum bersuara lagi.

"Papa beritahu mama dan Pak Abu yang beritahu papa. Sebab papa tanya Saif pergi mana semalam. Takkanlah Pak Abu nak menipu pulak."

Saif diam seketika. Dia letakkan dagu di bahu Datin Marina. Memerhatikan mamanya yang masih lincah mencuci beberapa biji cawan dan pinggan yang digunakan untuk bersarapan tadi. Akalnya sedang mencari jawapan untuk soalan-soalan daripada papa nanti.

"Saif pergilah makan dulu. Dah dekat pukul 10.00 ni."

Datin Marina lap tangannya dengan tuala kecil yang tersangkut di bahunya. Dia leraikan tangan Saif dari pinggangnya dan berpaling menghadap anak sulungnya itu. Dia usap pipi Saif penuh kasih.

"Mama temankan Saif makan, eh?" Saif kerdip-kerdipkan matanya beberapa kali.

Buat muka manja.

"Ermm, yalah! Jom mama temankan. Hari ni mama masak nasi dagang dengan kuih lapis," kata Datin Marina membuatkan sengihan Saif kian melebar.

Saif suka makan nasi dagang. Dan, mereka tidak menggunakan khidmat orang gaji kerana suaminya, Dato' Sayyid tak suka orang lain yang masak untuk mereka sekeluarga. Datin Marina tak kisah pun. Sebab dia memang tidak bekerja selepas diijabkabulkan dengan suaminya kira-kira 27 tahun lepas.

Saif paut bahu mamanya dan mereka beriringan ke meja makan. Datin Marina sendukkan nasi dagang ke dalam pinggan dan diletakkan di hadapan Saif. Terus Saif teguk liur.

Ketika itu mata mereka tertancap ke arah Reza yang sedang terhuyung-hayang berjalan ke arah mereka.

Mabuk lagi gamaknya! getus Saif dalam hati. Dia perhatikan saja Reza yang menguap beberapa kali sambil menggaru-garu rambutnya yang kusut-masai.

"Morning..." Reza duduk dan mukanya disembamkan di atas meja.

Kepalanya masih rasa berpusing-pusing. Kesan tequilla yang dia minum semalam masih belum hilang. Nak buka mata pun payah. Dia bangun sebab perutnya berkeroncong. Lapar!

"Reza, bangun. Nanti papa nampak kau macam ni mati aku kena marah!" getus Saif.

Dia tepuk-tepuk bahu Reza perlahan. Tapi, dia cuma mampu mengeluh deras bila Reza masih dalam posisi tadi. Hisy, Reza sengaja nak cari nahas gamaknya! getus Saif dalam hati. Dia pula yang terlajak gabra. Risau telatah Reza akan buat mama dan papa naik angin.

"Reza, bangunlah! Mama kata bangun, bangun!" Datin Marina bangun dan dia tampar belakang Reza, kuat.

"Apalah nak jadi dengan kamu ni, Reza? Asyik nak berseronok aje. Tiap-tiap malam Abang Saif nak kena keluar bawak kamu balik rumah. Cubalah jadi manusia yang tahu tanggungjawab macam abang kamu."

KALAU BETUL SAYANGTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang