BAB 7

1.4K 30 2
                                    

SELESAI makan malam, Zara mencuci pinggan di dapur. Berpuluh kali mak longnya melarang, tapi dia buat telinga kuali saja. Alah, bukannya kerja berat pun. Cuci pinggan saja kut!

Dia dah biasa buat kerja rumah sebab uminya garang macam singa. Kata umi, jadi anak dara kena rajin. Kalau malas nanti jadi anak dara tak laku. Eii, tak mahulah dia masuk dalam senarai andalusia aka andartu.

Datin Marina mengeluh bila Zara tidak beralih dari singki. Sudahnya dia ambil tuala bersih dari dalam laci kabinet dan mengelap pinggan-pinggan yang sudah dicuci oleh Zara. Kemudian, disusun dalam rak kayu di tepi singki.

"Degillah Zara ni. Kang kasar pulak tangan Zara sebab hari-hari cuci pinggan. Nanti apa pulak kata umi dengan abi."

Nada Datin Marina berisi gusar. Tak sedap hati betul bila Zara berkeras nak buat kerja rumah.

"Isy, umi dengan abi selalu pesan kena rajin tolong mak long buat kerja rumah. Mak long janganlah fikir yang bukan-bukan. Zara bukan puteri raja. Zara puteri umi dengan abi aje. Jadi, kenalah buat kerja rumah. Kalau tak, nanti jadi anak dara tak laku," balas Zara selamba tanpa memandang mak long yang sedang berdiri di sebelahnya.

Nak fokus cuci pinggan. Kalau tersalah pegang dan terjatuh nanti pecah pula. Pinggan mahal oi!

Datin Marina tergelak perlahan mendengar kata-kata Zara. Patuh sungguh dengan arahan umi dengan abinya.

"Mana boleh Zara jadi anak dara tak laku. Orang cantik macam Zara ni, ramai orang nak tau. Petik jari aje."

"Setakat ni tak ada lagi yang datang kalau Zara petik jari, mak long," seloroh Zara lagi membuatkan Datin Marina ketawa terbahak-bahak.

"Yalah tu. Zara aje yang memilih. Mak long yakin ramai lelaki yang jatuh cinta dengan Zara. Betul tak? Masa studi dulu takkan tak ada yang berkenan?"

Zara berpaling ke kanan. Membalas renungan makrifat mak longnya dengan muka yang berkerut-kerut sebelum tersenyum lebar.

"Ada tu ada mak long. Tapi, semuanya yang pakai spec tebal macam buku yang pak long selalu baca tu. Maknanya yang jatuh hati dengan Zara tu lelaki-lelaki yang rabun aje. Yang tak rabun... Memang taklah."

Sekali lagi Datin Marina meledakkan tawa mendengar jawapan Zara. Hai, Zara, Zara. Setiap kali bercakap mesti ada saja yang mencuit hati orang. Memang tak boring kalau berbual dengan Zara.

"Dah pakai spec mestilah dia orang nampak jelas muka Zara. Betul tak?" tukas Datin Marina.

Hujung matanya yang basah dengan air mata diseka dengan hujung jari. Dah lama dia tak ketawa sampai keluar air mata macam itu.

"Ermm, mungkin jugak mak long. Jadi, siapa yang rabun? Yang pakai spec ke yang tak pakai spec?" Zara buat muka keliru dan serentak itu juga ketawa mereka bersatu.

Dia suka dengan mak long sebab mak long selalu boleh faham maksud tersirat dalam kata-katanya.

"Aduh, sakit perut mak long asyik ketawa aje dari tadi. Mak long nak tanya Zara sikit boleh tak?" Datin Marina bertanya setelah ketawanya beransur hilang.

"Boleh, mak long. Nak tanya banyak pun tak apa," jawab Zara sambil mengelap tangan dengan tuala. Pinggan dah habis dicuci.

Dia berdiri menghadap Datin Marina.

"Ermm, macam mana dengan kerja? Okey tak? Zara suka tak kerja di syarikat pak long?" Datin Marina sekadar mahu merisik khabar.

Manalah tahu Zara tak suka atau tak puas hati dengan kerja yang diberikan. Sebolehnya dia nak Zara selesa tinggal di situ dan gembira bekerja di syarikat suaminya.

"Mestilah Zara suka, mak long. Semua orang di ofis tu baik dengan Zara. Dia orang cakap pejabat tu meriah sejak Zara masuk kerja," kata Zara bersungguh-sungguh.

Ya, dia tak reka ceritalah! Memang semua orang suka dengannya, kecuali Saif.

"Termasuk Abang Saif ke?"

"Tak, Abang Saif tak termasuk sebab dia kan jenis muka serius 24 jam. Tak reti senyum, tak reti cakap baik-baik dengan orang, tak reti nak ambil hati orang, tak reti nak melawak, tak reti nak cakap terima kasih walaupun Zara tolong dia buat kerja dan tak reti minta maaf kalau buat salah."

Zara lepaskan nafasnya deras sebab dia habiskan kata-katanya yang berjela itu dengan satu nafas saja. Puas hatinya dapat mengadu dengan mak long.

Senarai itu menjadikan Saif seorang lelaki yang paling teruk di alam maya. Zara tak rasa bersalah sebab itu adalah kenyataan.

Datin Marina terkebil-kebil seketika sebelum melarik senyum pendek. Amboi, teruknya perangai Saif! desisnya dalam hati.

"Dia buli Zara ke?" soalnya untuk kepastian.

Dia tahu Saif memang jenis tak reti nak bergaul mesra dengan orang. Lebih-lebih lagi dengan perempuan.

"Sikit," balas Zara, tersengih.

"Bila masa pulak aku buli kau?"

Suara parau lagi garau itu buat mata Zara terbeliak luas. Dia kenal sangat pemilik suara itu. Saif. Dalam waktu yang sama, dia boleh dengar ada suara ketawa. Dan, yang ketawa itu mestilah Reza.

Zara berpaling lambat-lambat dan dia sengih macam kerang busuk saat matanya bertembung dengan mata Saif. Aduh, kantoi sudah! Sejak bila agaknya dua orang mangkuk itu berdiri di situ?

Entah-entah Saif dengar apa yang dia cakap tadi. Alamak! Esok mesti dia kena balik naik teksi.

"Kalau dia buli Zara, kenapa tak cakap dengan Abang Reza? Abang Reza boleh luku kepala dia macam ni..." Reza ketawa sambil acah-acah nak sekeh kepala abangnya.

Tapi, niatnya terbantut bila Saif menoleh ke arahnya. Reza cepat-cepat angkat tangan tanda minta maaf.

"Betul ke Saif buli Zara?" Datin Marina jongketkan kening kanannya merenung Saif dan Zara silih berganti.

"Eloklah tu mama pun percaya sangat cakap minah kepoh ni. Dia yang lembap, lurus bendul macam tiang elektrik, lepas tu mulut tak reti nak diam. Sejak dia kerja, ofis tu dah jadi macam pasar malam tau, mama," tukas Saif.

Dia memang berangin dengan Zara. Dalam diam, Zara mengadu dengan mama. Nasib baiklah dia ikut Reza ke dapur sebab nak minum air. Kalau tidak, lagi sedaplah minah kepoh tu mengutuknya depan mama.

Zara ketap bibir. Dia kecil-kecilkan mata membalas renungan tajam Saif. Amboi, sedapnya mulut dia mengata aku! Depan-depan pula tu!

"Bagi orang yang tak reti bergaul memanglah dia rasa macam pasar malam, mak long. Tapi, sebenarnya suasana macam itulah bagus untuk bekerja. Barulah otak boleh berkembang dengan baik. Kalau senyap aje baik kerja kat bilik mayat sebab mayat memang tak boleh cakap." Spontan Zara menjawab.

Dan, sesaat kemudian suasana di dapur itu gamat dengan suara ketawa Datin Marina, Reza dan Zara. Tercuit hati mereka dengan jawapan mantap Zara tadi.

Saif kacip gigi. Geram melihat mama dan Reza yang beria-ia mentertawakannya. Si Zara lagilah sakan ketawa! Cis, tak guna punya minah kepoh. Ada saja idea nak kenakan orang. Tak apa, malam ini Zara punya. Malam esok dia punya.

Siap kau minah kepoh! Saif sempat menghitung dendam sebelum berpaling dan melangkah meninggalkan mereka yang masih tak henti ketawa. 

KALAU BETUL SAYANGTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang