The Dawn of Islam

214 1 0
                                    

Di awal-awal bab buku ini, kita telah pun membincangkan tentang dunia Islam yang kucar-kacir dan konflik-konflik yang semakin meningkat. Kita telah lihat bagaimana rakyat yang tidak bersenjata berjuang untuk meneruskan kehidupan di celah-celah pertempuran bersenjata, pen­deritaan yang dialami di kem-kem pelarian, dan kesengsaraan yang dirasai oleh mereka yang dinafikan hak beragama. Para pembaca mung­kin terkejut dengan kisah-kisah yang di­dedahkan ini. Seseorang yanga gagal berfikir sedalam-dalamnya mungkin akan melakukan kesilapan dengan menganggap adalah sesuatu yang sukar untuk mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan tersebut, dan juga menganggap apa sahaja yang dilakukan tidak akan membawa sebarang keputusan yang positif. Namun pada hakikatnya, ia berbeza sama sekali. Apa yang sedang berlaku adalah satu berita baik dan setiap inci perkara adalah satu tanda kedatangan zaman penuh rahmat yang pernah diceritakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Dengan kata lain ia adalah petanda kepada Akhir Zaman.
Segala Peristiwa di Tanah Umat Islam Adalah Petanda Akhir Zaman
Konsep "Akhir Zaman" mungkin agak asing bagi sesetengah orang. Jadi adalah penting di sini untuk menerangkan secara ringkas tentangnya. Menurut Islam, Akhir Zaman adalah satu zaman yang hampir dengan Hari Kiamat, iaitu satu waktu yang mana ajaran al-Quran diamalkan di seluruh muka bumi ini. Keadaan persekitarannya akan dapat memuaskan hati semua pihak. Manusia hidup dengan aman dan selamat. Kemewahan, kekayaan dan keadilan akan menggantikan segala masalah yang pernah wujud dahulu. Segala masalah moral, penipuan dan kebejatan sosial akan lenyap. Ini adalah satu zaman yang meriangkan, yang telah dinanti buat sekian lama, apabila ajaran moral al-Quran mendominasi dunia.
Hadith (kata-kata) dari Nabi Muhammad s.a.w. telah mene­rangkan segala perkara tentang peristiwa Akhir Zaman. Ramai ulama-ulama Islam terkenal yang telah memberikan kenyataan berharga tentang perkara ini. Ini semua menandakan bahawa pertama sekali dunia akan melalui zaman yang penuh bencana dan huru-hara, lalu diikuti dengan satu zaman yang mana manusia mengamalkan ajaran Islam sebenar, satu zaman yang dipenuhi kemewahan, satu zaman yang mana kebaikan teknologi dapat dinikmati dengan sebaik-baiknya, suatu zaman kemajuan saintifik dan perubatan, suatu zaman kesenian yang agung.
Pada zaman-zaman awal Akhir Zaman, berlaku kerosakan kerana wujud sistem-sistem falsafah yang cuba menafikan kewujudan Allah. Manusia lari dari tujuan sebenar penciptaan mereka, lalu membawa kepada keruntuhan spirituil dan psikologi. Bencana yang maha dahsyat, seperti peperangan, konflik dan kebuluran, akan berlaku satu demi satu. Manusia meratap berharap agar itu semua dijauhkan dari mereka. Perkara yang sama turut berlaku terhadap konflik-konflik yang terjadi di dunia Islam. Umat Islam yang cuba hidup bebas dengan mengamalkan Islam dan menurut segala rukun-rukunnya berhadapan dengan penindasan yang melampau-lampau. Wanita, kanak-kanak dan warga tua dibunuh dengan sekejam-kejamnya. Kuasa-kuasa anti-Islam yang melakukan keganasan ke atas umat Islam dan cuba menghalang penyatuan dunia Islam semakin meningkatkan lagi aras kezaliman mereka hari demi hari. Walaupun demikian, zaman penuh peperangan dan konflik ini tidak bertahan lama. Allah telah berjanji akan melepaskan manusia dari kekacauan Akhir Zaman dan membawa mereka kepada satu zaman yang lebih meng­gembirakan.
Zaman ini akan berlaku dengan kepulangan Nabi Isa a.s. Ini bermakna zaman kegelapan Islam akan pergi dan tibalah zaman kebangkitan ummah. Menurut hadith, zaman ini yang sebagai "zaman tanpa senjata," dan keamanan akan memerintah bumi ini. Beberapa hadith dari Nabi s.a.w. berkenaan dengan berita baik di zaman baru itu adalah seperti berikut:
...kedengkian dan saling membenci akan diangkat (hilang)... Bumi akan dipenuhi keamanan seperti mana sebuah bekas yang diisi dengan air. (Sunan Ibnu Majah)
Pertempuran akan meletakkan senjatanya (Sunan Ibnu Majah)
Seperti yang telah diberitahu oleh hadith tersebut, sewaktu Zaman Keemasan, wujud sebuah ikatan yang baik di antara masyarakat yang berbagai-bagai, terutama sekali mereka yang pernah berkonflik, dan persaudaraan serta kasih sayang akan menggantikan konflik yang pernah berlaku.

Umat Islam Pernah Menghadapi Kesukaran yang Sama Dahulu
Sepanjang buku ini kita telah melihat banyak penerangan-penerangan terperinci tentang penderitaan yang berlaku di negara-negara Islam, termasuk pengeboman hospital bersalin di Chechnya, pembunuhan kejam ke atas wanita hamil di Bosnia, dan pembunuhan ke atas kanak-kanak kecil yang dilakukan oleh askar-askar Israel di Palestin. Namun harus diingat bahawa contoh yang serupa malah lebih teruk lagi pernah dirasai oleh masyarakat Islam di zaman dahulu. Para pemerintah ateis atau pun pemimpin terkenal dari pelbagai bangsa telah mendera utusan-utusan yang dihantar kepada mereka dan juga masyarakat yang beriman. Mereka telah mengusir rakyat yang tidak bersenjata dari tanah air mereka dan terus menindas mereka. Salah satu contoh paling jelas ialah Firaun. Sewaktu Firaun menikmati hidup yang penuh mewah, pemerintah Mesir purba ini telah menyebabkan penderitaan ke atas umat Islam di waktu itu, dengan kata lain ke atas kaum Bani Israel. Allah telah menggambarkan penderitaan kaum Bani Israel di dalam al-Quran:
Dan (ingatlah) ketika Kami menyelamatkan kamu dari (Firaun) dan para pengikutnya; mereka mengenakan seksaan berat ke atas kamu, mereka menyembelih anak-anak lelakimu dan membiarkan anak-anak perempuanmu hidup. Dan pada yang demikian itu ada ujian-ujian yang besar dari Tuhanmu. (Al-Baqarah, 2:49)
Satu rahsia penting telah diberitahu menerusi ayat ini: Kekejaman Firaun adalah untuk menguji keimanan seseorang. Dengan cara yang sama, Allah mahu menguji umat Islam pada hari ini dengan kekejaman yang sama. Ujian-ujian ini memerlukan usaha umat Islam untuk mendapatkan keredaan Allah di dunia ini dan juga syurga-Nya yang penuh dengan segala nikmat di Hari Akhirat nanti. Kenikmatan yang tidak terbatas di syurga adalah sebagai balasan ke atas orang-orang beriman yang telah hidup di dalam dunia yang sementara ini. Banyak masyarakat Islam yang telah mengalami kepayahan serupa di zaman dahulu, dan ia diuji lagi ke atas umat Islam hari ini. Allah telah menerangkannya seperti berikut:
Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum lagi datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya dengan orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa dengan malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam ujian) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datang pertolongan Allah?" Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. (Al-Baqarah, 2:214)
Seperti yang kita dapat lihat menerusi ayat ini, orang-orang beriman akan sentiasa diuji oleh Allah dengan kesusahan dan masalah, namun Allah sentiasa memberikan bantuan. Di samping itu, seperti yang diterangkan oleh ayat tersebut, pertolongan itu pasti datang segera.

RAHSIA & KONSPIRASI : DEUXWhere stories live. Discover now